HomeKomuniti'Tanam sifat empati dalam setiap tindakan'. Ini kata Kaunselor Berdaftar tentang ‘self-lockdown'
164,827FansLike
4,964FollowersFollow
603FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

‘Tanam sifat empati dalam setiap tindakan’. Ini kata Kaunselor Berdaftar tentang ‘self-lockdown’

Perkongsian daripada Kaunselor Berdaftar Politeknik Merlimau Melaka, Hasbullah Mustafa mengenai ‘self-lockdown’, mungkin boleh dijadikan panduan untuk guru dan pelajar di luar sana.

Ini kerana, tentu ada antara mereka yang tidak memahami secara menyeluruh tentang ‘self-lockdown’ dan juga sikap empati yang perlu ada pada semua masyarakat.

“Dalam kaunseling, istilah empati sudah menjadi kebiasaan. Cuma mungkin ada yang jarang mendengar.

“Jadi saya berharap, dengan perkongsian ini, semua pihak termasuk warga pendidik dan pelajar dapat mematuhi apa yang disarankan kerajaan,” ujarnya.

Mari ikuti apa kata Hasbullah mengenai perkara ini.

*****

IKLAN

Anda biasa dengar perkataan empati? Empati merupakan satu istilah yang biasa digunakan dalam kaunseling. Ia membawa maksud daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain dari sudut pandang orang tersebut. Berbeza dengan simpati. Istilah biasa yang digunakan oleh masyarakat awam.

Sekatan pergerakan kendiri atau ‘self lockdown’ merupakan langkah proaktif yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, susulan kes harian melebihi 6,000 kes dalam tempoh beberapa hari berturut-turut sejak kebelakangan ini.

Melalui saranan dan penekanan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ini juga, rakyat turut diminta untuk tinggal di rumah selain mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. Keluar apabila benar-benar perlu sahaja.

Di sinilah sikap empati yang tinggi dapat diterjemahkan seperti maksud di atas, yang mana memerlukan kita membuat sekatan pergerakan kendiri atau ‘self lockdown’ sebagai tanda kita menyokong, memahami dan menyelami perasaan semua petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus berjuang melawan Covid-19 yang masih belum berkesudahan.

IKLAN

Mungkin ramai yang meminta untuk kerajaan menjalankan ‘lock down’ sepenuhnya seperti yang dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0, namun adakah kita terfikir apa kesannya terhadap ekonomi negara, rakyat yang bergantung hidup dengan kerja sendiri dan mereka yang perlu keluar rumah bagi memenuhi keperluan hidup?

Pada sudut simpati kita mungkin merasakan ‘lock down’ adalah jalan terbaik berdasarkan pengalaman lepas, namun dari sudut kerajaan dan pihak yang terlibat, mereka melihat dari sudut pandang yang lebih jauh, terutama mudarat lebih besar boleh berlaku impak daripada ‘lock down’ sepenuhnya. Kaca mata kita sebagai rakyat dan ‘teropong’ kerajaan jauh bezanya.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa KKM akan membentang dan menasihatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya atau ‘total lockdown’. Rujukan daripada pakar akan diambil dalam proses membuat sebarang keputusan. Ini bukan soal yang main-main.

Sebenarnya, langkah terbaik yang difikirkan relevan dilaksanakan sekarang ini adalah ‘self lockdown’. Semua orang mampu untuk melaksanakannya tanpa melibatkan mana-mana pihak. Ini tanggungjawab dan sumbangan besar yang boleh dilakukan oleh setiap rakyat Malaysia. Kita ada peranan untuk memutuskan rantaian Covid-19 daripada terus merebak.

IKLAN

Mendesak diri sendiri untuk ‘self lockdown’ adalah lebih mudah dan berkesan daripada terus memaksa pihak kerajaan untuk membuat ‘total lockdown‘.

Kita sama-sama mengambil langkah proaktif dalam masa yang sama pihak kerajaan juga melaksanakan tanggungjawab mereka sebaiknya. Marilah kita mulakan langkah pencegahan ini daripada diri kita dahulu. Moga-moga ianya menjadi ikutan kepada yang lain.

Tanamlah sifat empati dalam setiap tindakan kita. Insya-Allah di sana akan ada kebaikan buat semua. Sekarang bukan masa untuk kita melihat kepentingan diri kita sahaja, tetapi yang jauh lebih penting adalah untuk kebaikan semua demi masa depan yang lebih baik. Kita pasti menang!

*****Hasbullah Mustafa merupakan Kaunselor Berdaftar Politeknik Merlimau Melaka

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA