HomeKomunitiSisi positif penggunaan gajet, beri peluang pelajar teroka konsep baharu PdP
168,577FansLike
4,980FollowersFollow
637FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Sisi positif penggunaan gajet, beri peluang pelajar teroka konsep baharu PdP

Gajet pada masa kini bukan sahaja menjadi satu keperluan malah penggunaannya semakin meluas tidak sekadar kepada golongan dewasa tetapi juga kepada pelajar dan kanak-kanak.

Jika dahulu penggunaan gajet terutama telefon pintar atau tablet dilihat terhad kepada tujuan komunikasi dan penyebaran maklumat tetapi lain pula halnya pada hari ini kerana hampir kebanyakan urusan harian dibuat menerusi gajet seiring dengan berkembangnya capaian internet dan penciptaan pelbagai aplikasi perkhidmatan secara dalam talian.

Tatkala dunia dilanda pandemik Covid-19, penggunaan gajet dilihat semakin meluas dan dimanfaatkan sebaiknya oleh segenap lapisan masyarakat untuk pelbagai tujuan termasuklah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian membabitkan pelajar sekolah dan universiti.

Hal ini berikutan aktiviti pembelajaran yang terpaksa dilakukan secara dalam talian kerana penutupan sekolah akibat penularan kes Covid-19 di seluruh negara sekali gus menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Rentetan itu, gajet kini menjadi satu keperluan kepada pelajar sebagai alat pembelajaran dan ini memberi ruang kepada mereka untuk meneroka pelbagai aplikasi dan melayari internet.

Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan gajet memberi faedah yang besar kepada pembelajaran pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus membolehkan mereka meneroka dan mengadaptasi pembelajaran norma baharu berasaskan teknologi.

Pakar Perunding Psikiatri, MSU Medical Centre (MSUMC), Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi.

Pakar Perunding Psikiatri, MSU Medical Centre (MSUMC), Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi berkata, penggunaan gajet dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti, terutamanya semasa pandemik Covid-19 sudah menjadi keperluan dan bukan lagi kemewahan, walaupun bukan semua individu mampu memilikinya.

Menurut beliau, situasi itu berlaku kerana hampir kesemua proses PdP malahan aktiviti ko-kurikulum dan sosial juga terpaksa dilakukan secara maya kerana kekangan pandemik dan pelaksanaan PKP.

“Namun begitu, perkara pokok yang menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat pada hari ini ialah sama ada penggunaan gajet ini memberi kesan buruk kepada pelajar.

“Ini kerana gajet seperti sudah sinonim dengan golongan remaja malah mereka kini lebih terbiasa bersosial dan menghiburkan diri melalui teknologi termasuklah bermain permainan video dan berbagai bentuk hiburan lain yang disajikan melalui media elektronik,” katanya kepada GPSBestari.

Kelebihan penggunaan gajet

Berkongsi mengenai sisi positif penggunaan gajet yang jarang dibincangkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini, Dr Muhammad Najib menjelaskan antara kesan positif penggunaan gajet termasuklah membolehkan pelajar mengakses bahan-bahan pembelajaran dengan lebih mudah dan pada bila-bila masa untuk membantu proses ulang kaji, menyiapkan tugasan dan meningkatkan pemahaman.

Ujar beliau, memiliki gajet juga bererti pelajar lebih mudah untuk berbincang secara maya dengan rakan-rakan malahan penggunaan aplikasi persidangan video yang pelbagai pada hari ini menjadikan perbincangan secara maya sudah hampir menyamai perbincangan langsung di dalam kelas.

“Semua kemudahan yang ada kerana kecanggihan teknologi ini boleh mengurangkan stres akibat kurang bahan rujukan dan kesunyian kerana tidak dapat bersua dengan rakan-rakan berikutan kekangan pelaksanaan PKP.

IKLAN

“Namun begitu, penggunaan gajet yang berlebihan boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif kepada kesihatan. Ini termasuklah gangguan tidur kerana terlalu menumpukan perhatian kepada gajet sehingga larut malam dan kerosakan mata kerana terlalu lama melihat skrin pada jarak dekat,” jelas beliau.

Antara kesan lain ialah ketagihan kepada gajet boleh menyebabkan amalan gaya hidup sihat semakin terabai malah ramai pelajar mengalami obesiti dan masalah postur tubuh kerana kurang melakukan aktiviti fizikal dan berada dalam tempoh yang lama dalam postur yang tidak sihat seperti tunduk terlalu lama dan cara duduk yang tidak betul.

Ulas Dr Muhammad Najib, kesemua amalan yang kurang sihat ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain seperti penyakit gaya hidup iaitu diabetes mellitus, penyakit jantung, sakit belakang dan leher.

Jelasnya lagi, penggunaan gajet secara berlebihan dan terlalu lama juga boleh memberi kesan kepada emosi dan tingkah laku pelajar.

“Terdapat pelajar yang menjadi ganas kerana banyak bermain permainan video yang melibatkan keganasan dan pergaduhan.

“Pelajar lain pula mungkin hilang minat terhadap pelajaran, persekitaran dan hobi-hobi yang mungkin sebelum ini diminati selain tidak dapat membentuk kemahiran bersosial yang sihat kerana kurangnya berinteraksi secara langsung dengan masyarakat,” ujar beliau.

 

 

 

IKLAN

Gajet bantu pembelajaran kendiri

Sementara itu, Pensyarah Teknologi Pendidikan, Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Nurbiha A Shukor berkata, gajet pada masa kini bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi dan hiburan tetapi sebagai medium membantu proses pembelajaran itu berlaku.

Menurut beliau, proses pembelajaran yang berlaku pula bukan hanya melibatkan penyampaian pengajaran bersama pensyarah semata-mata tetapi juga membabitkan pembelajaran secara kendiri dalam kalangan pelajar.

“Gajet membolehkan pelajar merancang aktiviti pembelajaran masing-masing dengan lebih teliti dan sistematik. Contohnya, fungsi kalendar yang boleh dikongsi bersama rakan dan pensyarah. Ia dapat meningkatkan kesedaran pelajar tentang tarikh-tarikh penting PdP bagi mengelakkan pelajar daripada keciciran dalam merancang masa masing-masing.

“Gajet juga membolehkan pelajar memantau aktiviti PdP secara kendiri. Melalui kewujudan analitik pembelajaran, pelajar dapat mengenalpasti tahap pembelajaran, tugasan yang perlu disiapkan, nota dan bahan pembelajaran yang perlu dibaca dan bahan yang perlu diulang kaji.

“Selain itu, gajet juga membantu pelajar melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan akses internet bagi pencarian maklumat dan penghasilan tugasan yang dilaksanakan bersama rakan melalui dalam talian,” sambung beliau.

Pensyarah Teknologi Pendidikan, Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Nurbiha A Shukor.

Mengulas mengenai kepentingan penggunaan gajet dalam PdP di masa depan, Dr Nurbiha yang juga Pengerusi, Majlis Ketua-Ketua e-Pembelajaran Universiti Awam Malaysia (MEIPTA) berkata, semuanya bergantung kepada literasi digital di negara ini.

“Sekiranya literasi digital pelajar, pensyarah, guru dan ibu bapa dapat ditingkatkan serta persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat disediakan, penggunaan gajet dalam PdP boleh diperluas dan diteruskan pada masa hadapan.

“Jika kedua-dua faktor ini belum dapat dicapai, penggunaan gajet dalam PdP boleh diteruskan melalui amalan pembelajaran secara teradun bagi mengimbangi pendidikan secara tradisional dan penggunaan gajet supaya manfaat daripada kedua-dua kaedah pengajaran dapat diperolehi,” kongsi beliau lagi.

IKLAN

Kawal penggunaan gajet

Memandangkan isu penggunaan gajet ini membabitkan pelajar dan peranan yang dimainkan oleh ibu bapa dalam mengawal anak masing-masing, tidak lengkap sekiranya GPSBestari tidak mendapatkan pandangan daripada mereka.

Suri rumah, Siti Nurazlinee Azmi, 37, berkata penggunaan gajet tidak dapat dielakkan ketika ini kerana penutupan sekolah sepanjang tempoh PKP menyebabkan anak-anak terpaksa mengikuti pembelajaran secara PdPR.

Siti Nurazlinee Azmi.

Meskipun begitu, ujar ibu kepada tiga orang anak itu, kawalan berterusan daripada ibu bapa sangat penting supaya anak-anak tidak terlalu taksub atau ketagihan dengan gajet sekali gus mendatangkan kesan negatif kepada fizikal, emosi, kesihatan dan perkembangan sosial mereka.

“Dalam pada itu, tidak dinafikan bahawa penggunaan gajet ini juga turut mempunyai sisi positif apabila membantu memudahkan proses PdPR berjalan lancar, boleh dijadikan sebagai alat untuk anak-anak mencari ilmu tambahan dan menyertai program atau bengkel motivasi dan keagamaan secara dalam talian.

“Selain itu, saya turut menggalakkan anak-anak mencari maklumat tambahan untuk pembelajaran mereka. Contohnya, apabila anak-anak diminta guru untuk membuat buku skrap mengenai tokoh sejarah, mereka diajar mencari maklumat atau bahan ilmiah daripada internet dan tidak bergantung kepada maklumat di dalam buku teks semata-mata,” tuturnya mengakhiri perbualan.

5 tip penting penggunaan gajet secara sihat untuk pelajar

  1. Seimbangkan penggunaan gajet dengan masa yang digunakan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan bersosial secara bersemuka dengan ahli keluarga dan rakan-rakan (bila keadaan mengizinkan).
  2. Tetapkan waktu tidur secara terancang. Ini termasuklah biasakan untuk berhenti menggunakan gajet menjelang waktu tidur, misalnya jam 11 malam.
  3. Kurangkan bermain permainan elektronik di gajet kerana ia boleh menyebabkan ketagihan dan mengganggu rutin kehidupan yang lain, termasuklah pembelajaran.
  4. Hadkan waktu penggunaan gajet misalnya setakat dua hingga lima jam sehari menurut peringkat umur kanak-kanak atau pelajar tersebut. Pelajar sekolah rendah sebaik-baiknya tidak diberikan gajet lebih dari dua jam sehari.
  5. Seimbangkan waktu seharian anda di antara waktu dengan gajet dan waktu terlibat dengan aktiviti kehidupan lain yang tidak menggunakan teknologi.

 

5 kriteria penting memilih gajet untuk PdP dalam talian

  1. Pelajar perlu mengenalpasti kadar penggunaan masing-masing dalam urusan seharian. Jika gajet digunakan sangat optimum dengan penggunaan pelbagai aplikasi secara serentak, kelajuan memproses yang lebih tinggi bagi gajet diperlukan.
  2. Pelajar juga boleh melihat kitaran penggunaan bateri bagi gajet di mana tempoh gajet perlu dicas pada satu-satu masa dan ketahanan bateri setiap kali penggunaan.
  3. Saiz skrin juga boleh dijadikan faktor yang perlu dititikberatkan dalam pemilihan gajet. Jika mata pelajaran yang dipelajari melibatkan pemerhatian dan penelitian di skrin, pelajar mungkin cenderung untuk mendapatkan gajet dengan saiz skrin yang lebih besar.
  4. Ruang penyimpanan bagi gajet boleh juga diteliti. Jika kebanyakan dokumen disimpan di ruang penyimpanan awan, ruang penyimpanan yang besar dalam gajet tidak diperlukan.
  5. Sekiranya pelajar telah mempunyai akses internet di rumah/lokasi tetap dan tiada keperluan untuk mendapatkan servis internet di tempat lain, pelajar boleh memilih gajet yang mempunyai kelebihan sambungan wifi sahaja. Tetapi jika pelajar mengakses internet menggunakan talian prabayar telefon bimbit masing-masing, gajet yang mempunyai sambungan cellular diperlukan.

5 tip ibu bapa kawal penggunaan gajet anak-anak

  1. Penggunaan telefon atau komputer riba mengikut waktu yang ditetapkan sahaja.
  2. Sebagai ibu bapa, gunakan kuasa mutlak untuk memegang semua gajet sebaik saja anak-anak selesai menggunakannya.
  3. Semak setiap hari history dalam pencarian internet seperti Google dan YouTube yang dibuat anak-anak. Wujudkan sesi soal jawab berhubung soalan berbangkit seperti kenapa perlu buka laman web berkenaan dan sebagainya.
  4. Semak setiap perbualan dalam aplikasi Whatsapp dan Telegram antara anak-anak bersama kawan-kawannya.
  5. Setiap penyertaan yang tidak membabitkan pihak sekolah atau pembelajaran yang ingin disertai oleh anak-anak secara dalam talian perlu meminta izin daripada ibu bapa terlebih dulu.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

MESTI BACA