HomeGen AlphaPernah hidup susah, Cikgu Murni nekad bantu orang ramai
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Pernah hidup susah, Cikgu Murni nekad bantu orang ramai

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berlanjutan sejak sebulan lalu menyebabkan ramai individu yang terjejas.

Kehabisan bekalan makanan dan wang ringgit menjadikan segelintir mereka buntu untuk mencari punca pendapatan.

Perasaan segan dan enggan menyusahkan orang sekeliling, menyebabkan ada di antara mereka yang sanggup mengikat perut menahan lapar. Situasi ini sudah pasti memberi kesulitan berganda buat mereka yang berkeluarga lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak kecil.

Kesempitan hidup yang dialami oleh segelintir masyarakat ini, telah menyentuh hati seorang guru apabila dirinya juga pernah merasai keperitan hidup yang sama.

Mempunyai adik-beradik yang ramai dan terpaksa mencatu makanan untuk kelangsungan hidup pada suatu ketika dahulu, cukup membenihkan perasaan empati dalam dirinya pada hari ini.

Guru mata pelajaran bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni Visual, Sekolah Kebangsaan (SK) Assunta Convent, Kuantan, Pahang, Cikgu Murnizam Muda, 42, telah mewujudkan ‘food bank’ di hadapan rumahnya bagi membekalkan bahan makanan asas kepada golongan yang memerlukan.

IKLAN

Biarpun terpaksa mengeluarkan sebanyak RM500 setiap hari, namun Cikgu Murni berpuas hati kerana usahanya sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan seharian masyarakat daripada terpaksa menahan kelaparan.

Paling menariknya, usaha murni ini turut mendapat perhatian daripada jiran dan rakan guru yang lain untuk turut serta berbakti kepada masyarakat.

Menurut Cikgu Murni, kadangkala sebanyak 17 pek beras dalam sehari, disumbangkan dan bantuan sampingan daripada rakan-rakan sedikit sebanyak meringankan beban beliau dalam usaha membantu orang ramai.

IKLAN

Menyentuh mengenai pembahagian masa, Cikgu Murni berkata, tanggungjawab sebagai seorang guru dan ibu kepada empat cahaya mata tidak menjadi penghalang untuk dirinya berbakti kepada masyarakat.

“Pada mulanya saya akui sedikit sukar untuk saya membahagikan masa di mana saya perlu mengajar, dan pada masa yang sama saya perlu memastikan bekalan makanan sentiasa cukup, tapi alhamdulillah berkat bantuan suami dan anak-anak saya, semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya kepada GPSBestari ketika dihubungi, baru-baru ini.

IKLAN

Mengulas mengenai segelintir masyarakat yang segan untuk menerima bantuan, Cikgu Murni mengatakan, tujuan utama ‘food bank’ itu diadakan adalah bagi mengelakkan golongan ini berasa rendah diri dengan kesusahan yang dihadapi.

“Salah satu sebab saya letak makanan secara terbuka tanpa perlu menulis nama atau menyatakan sebab adalah untuk menggalakkan mereka datang ambil bantuan yang dihulurkan tanpa rasa malu,” jelasnya.

Demikian itu, keprihatinan ini telah memberi sinar harapan kepada kehidupan masyarakat sekeliling untuk meneruskan kehidupan getir semasa musim pandemik ini.

Cikgu Murni berharap, usaha yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Biarpun tidak semewah yang disangka, namun sekurang-kurangnya bantuan ini mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi masyarakat sepanjang PKP 3.0 ini.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA