Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeKomunitiPdPR: Ke manakah hala tuju pembentukan nilai pelajar sekarang? Dr Mohd Syaubari...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

PdPR: Ke manakah hala tuju pembentukan nilai pelajar sekarang? Dr Mohd Syaubari beri pandangan ini

Pandemik Covid 19 telah menjejaskan ekonomi negara, mengganggu kehidupan seharian dan telah mengubah dunia pendidikan dengan begitu ketara.

Menerusi tempoh jangka masa yang singkat, para pendidik di pelbagai peringkat perlu mengubah mod pembelajaran dan mempelajari penggunaan platform dalam talian untuk mengoptimumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Persoalan sama ada bersedia atau tidak bukan sesuatu yang perlu dibahaskan, sebaliknya sebagai pendidik keperluan untuk perubahan paradigma ini perlu dilaksanakan dan penerokaan pelbagai kemungkinan perlu dipastikan demi memastikan kelangsungan pendidikan.

Pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin secara berkala mengenai pengoperasian sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semasa era penularan Covid-19 adalah bersumberkan kepada realiti semasa.

Untuk itu, pihak KPM menerusi perancangan rapi mengambil kira pelbagai kemungkinan yang berlaku berasaskan keadaan dunia berhadapan dengan suasana tidak menentu disebabkan penangan pandemik Covid-19 ini.

Gambar hiasan daripada Pexels.

KPM telah menyediakan pelbagai pendekatan atau kaedah pengoperasian institusi pendidikan berasaskan keadaan yang mungkin berlaku, dengan mempertimbangkan risiko serta langkah penyelesaian terlebih dahulu.

Namun dengan berbagai pendekatan untuk memastikan sama ada dari aspek teknologi, penjajaran kurikulum, amalan pedagogi dan pentaksiran bilik darjah membantu kepada proses PdPR dilaksanakan secara berkesan, isu pembentukan nilai menjadi suatu yang tidak boleh diabaikan.

Persoalan sejauh manakah PdPR ini membantu kepada pembentukan nilai pelajar adalah perlu dianalisis secara holistik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu berkaitan nilai sentiasa menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat.

Terdapat berbagai salah laku dan kemerosotan nilai yang berlaku, ini ditambah dengan penggunaan media sosial secara meluas telah membentuk pendedahan setiap isu dengan begitu meluas.

Tidak guna bagi kita mempunyai infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya masih mempunyai mentaliti kelas ketiga, ini dibuktikan dengan beberapa sindrom negatif seperti gagal mematuhi peraturan, tabiat membuang sampah di merata tempat, memandu kurang sopan, kurangnya kesedaran sivik terhadap harta benda awam dan kekasaran terhadap pelanggan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

IKLAN

Negara kita perlu memiliki rakyat berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, beramanah, jujur dan berintegriti kerana sistem nilai murni itu menjadi kayu pengukur sebenar sebuah negara maju.

Pembangunan dilaksanakan dengan begitu pesat dan maju tidak bermakna tanpa sistem nilai sewajarnya.

Untuk itu, terlaksananya PdPR ini, tugas ibu bapa menjadi sepenuhnya dalam memastikan aspek nilai dibentuk dan dihayati oleh pelajar.

Jika sebelum ini guru adalah antara individu terlibat secara bersama dengan ibu bapa dalam proses penyemaian nilai namun dengan kekangan yang wujud, aspek tanggunjawab ini telah beralih arah.

Ibu bapa perlu sentiasa prihatin dan mengawasi anak mereka, pada masa sama, mempertingkatkan komitmen bagi membina sebuah keluarga yang harmoni, memupuk nilai positif supaya anak masing-masing menjadi warga negara yang produktif dan sihat dari segala segi sama ada mental dan fizikal.

Perlu dilengkapkan dengan kemahiran

Komitmen dan pengaplikasian motivasi dalam membangunkan akhlak anak dan remaja tidak boleh diabaikan.

IKLAN

Sikap dan sistem nilai harus dipupuk kepada setiap anggota keluarga seterusnya bagi memastikan anak dibesarkan dalam suasana harmoni dan baik serta diserapkan nilai murni untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Ibu bapa era pandemik ini harus dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran tertentu seperti kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran nilai, kemahiran memahami situasi dan kemahiran emosi.

Kemahiran ini bermatlamat untuk memahami keadaan fizikal, mental, emosi dan nilai dalam setiap ahli dalam sesebuah keluarga, ini adalah penting bagi memastikan kejayaan (institusi kekeluargaan) sebagai benteng untuk memerangi masalah sosial dan keruntuhan akhlak.

Pengukuhan institusi kekeluargaan, harus mengambil kira aspek mengenai pendidikan dan kemajuan pelajaran anak.

Sikap suka mendengar serta berinteraksi dengan anak secara terbuka dengan memberikan beberapa pandangan supaya dapat meningkatkan pemahaman serta memajukan lagi diri mereka di dalam bidang pelajaran adalah penting.

IKLAN

Ruang dan masa semasa PdPR adalah peluang terbaik untuk ibu bapa untuk menyemai nilai-nilai yang baik dan murni di kalangan anak-anak seiring dengan amalan yang di ajar di sekolah.

Secara keseluruhannya, perubahan drastik dalam lanskap pendidikan ini mempunyai implikasi dalam proses PdP dan pentaksiran serta pemupukan nilai dalam merealisasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Pendekatan PdPR kini berbentuk hibrid, justeru membataskan interaksi bersemuka antara guru dan murid dan bagaimana elemen nilai dapat diterapkan dengan berkesan dalam kerangka norma yang baharu ini.

Namun begitu, proses pendidikan bukanlah setakat guru menyampaikan ilmu kepada murid, tetapi merupakan proses berterusan dalam memastikan ilmu, kemahiran dan nilai dapat dibangunkan dalam diri murid tersebut.

Menerusi konteks ini, Anjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menjadi semakin penting apabila ibu bapa/penjaga perlu mengambil alih tugas guru terutama dalam memastikan anak masing-masing melibatkan diri dalam proses PdPR.

Pastinya sekarang ini, pihak sekolah sudahpun menjalankan sesi libat urus dengan ibu bapa/penjaga bagi menerangkan bagaimana PdPR dilaksanakan dan mengoptimunkan platform media sosial untuk menyalurkan maklumat.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Sebagai pendidik, guru dan ibu bapa perlu berkerjasama dan sentiasa bersedia dengan segala ketidak tentuan yang melanda dunia sekarang.

Asas yang penting adalah anak-anak yang mengikuti pendidikan di negara ini diberikan yang terbaik demi memupuk potensi mereka bagi menjadi pemimpin masa akan datang dengan kekukuhan nilai menjadi suatu yang diserapkan dalam setiap diri.

Adalah menjadi harapan suasana penuh ketidak tentuan ini, perlu digunakan dengan sebaik-baik untuk pihak KPM bersama-sama ibu bapa untuk menilai semula sejauh manakah agenda pembentukan nilai diterjemahkan dalam kerangka pengalikasian oleh murid dalam kehidupan seharian.

Maklumat penulis

Dr Mohd Syaubari Othman merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Artikel Berkaitan

MESTI BACA