HomeKomunitiPdPR: Beri lebih banyak ruang belajar
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

PdPR: Beri lebih banyak ruang belajar

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 di seluruh negara secara berperingkat bermula tahun lalu, pelbagai sektor terjejas dan sektor pendidikan tidak terkecuali.

Ini menyaksikan perubahan landskap dunia pendidikan negara di mana pembelajaran secara bersemuka yang dilaksanakan selama ini telah digantikan dengan kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Suka atau tidak, inilah pilihan yang ada ketika ini bagi memastikan pendidikan dan pembelajaran terus berjalan agar tidak ada pelajar tercicir dalam mendapatkan ilmu.

*****

Meskipun kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di dalam bilik darjah adalah yang terbaik, namun ramai tidak menyedari kaedah PdPR juga mampu memberikan kejayaan kepada pelajar.

PdPR tidak hanya berlangsung secara dalam talian semata-mata malah kaedah pembelajaran ini boleh dilakukan secara luar talian atau secara off-site.

Berdasarkan manual PdPR yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PdPR secara luar talian berlaku apabila murid belajar menggunakan peranti elektronik seperti komputer peribadi, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian internet.

Ia juga boleh berlaku apabila murid belajar menggunakan buku teks atau bahan pembelajaran lain di mana guru boleh memuat naik bahan-bahan Pembelajaran dan Pengajaran (PDP) dalam bentuk video, audio, slaid, nota, dan juga latihan.

Manakala pembelajaran off-site boleh berlaku dengan kendiri atau dengan bimbingan Academic Support Team (AST) yang terdiri daripada pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau guru sekolah yang dilantik.

Selain guru-guru membimbing, memberi latihan dan menyediakan tugasan projek, murid-murid boleh mengakses pembelajaran melalui TV Pendidikan, DELIMa, Cikgootube, dan EduwebTV (koleksi video) sebagai tambahan.

Fahami konsep

“Kegusaran ibu bapa terhadap kaedah PdPR yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan kurangnya pemahaman secara jelas,” kata Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

IKLAN

Justeru katanya, ibu bapa perlu faham bahawa PdPR dilaksanakan bagi membantu anak-anak mendapat pendidikan yang sewajarnya kerana mereka tidak lagi bersekolah seperti biasa.

“Kita telah menyaksikan banyak pengorbanan guru sepanjang tempoh PdPR ini. Mereka begitu kreatif dalam memastikan proses pembelajaran norma baharu ini dapat diterima pelajar.

“Program PdPR ini pula tidak terikat pada satu hala, ia boleh didapati melalui banyak cara seperti talian video, aplikasi WhatsApp, TV Pendidikan dan sebagainya.

“Sebenarnya ia membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk menggandakan ilmu pengetahuan,” ujarnya.

Pengorbanan guru

Contoh terbaik boleh dilihat melalui kejayaan Norfarahana Amir, 37, guru Sekolah Menengah Agama Jawahir Al-Ulum, Batu Pahat, Johor, mengendalikan PdPR kepada pelajar-pelajarnya yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Modul ‘belajar sendiri’ yang dihasilkan guru subjek Sains ini untuk pelajar-pelajarnya yang tidak dapat mengikuti sesi dalam talian membuahkan hasil apabila 22 daripada 29 pelajarnya memperoleh gred A untuk subjek itu.

IKLAN

Bukan itu sahaja, beliau juga sanggup mengeluarkan duit sendiri dan menyediakan koleksi peperiksaan SPM tahun-tahun sebelumnya dan koleksi soalan yang dikongsi guru-guru lain.

Modul itu pula dihasilkan secara customised dan personalised mengikut tahap prestasi murid-murid.

Beliau turut ‘mendekati’ pelajar di luar waktu sesi pembelajaran untuk memberi nasihat dan motivasi serta tambahan tunjuk ajar.

Bagi Dr Salbiah Mohamed Salleh, 40, guru Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan, melihat PdPR mampu menyokong pembelajaran ketika waktu genting seperti ini.

Katanya, pelaksanaan PdPR mampu melahirkan pelajar lebih bertanggungjawab dan berdikari tanpa bergantung harap kepada guru semata-mata.

“Sebenarnya PdPR ini sebagai persediaan mereka sebelum masuk ke alam universiti yang memerlukan kemahiran pembelajaran kendiri.

IKLAN

“Keberkesanan PdPR sebenarnya bergantung kepada murid itu sendiri kerana ia memerlukan disiplin yang tinggi bagi menjayakannya,” katanya.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib, 40, pula menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan keberkesanan PdPR.

“Peringkat awal, saya guna platform Google Meet, Zoom dan sebagainya. Kemudian saya sediakan borang kaji selidik mengenai PdPR untuk mengetahui kekangan murid-murid.

“Apabila saya dapat tahu kekangan mereka daripada segi capaian internet, saya gunakan pendekatan secara luar talian bagi memudahkan proses PdP,” katanya.

Sementara itu, guru SK Permatang Tok Mahat, Pulau Pinang, Zazolnizam Zakaria, 43, berkata, guru yang menjalankan PdPR harus meningkatkan lagi mutu pengajaran menjadi lebih kreatif.

Ujarnya, dengan meningkatkan mutu pengajaran ia mampu memberikan impak yang positif terhadap pelajar.

“Saya lakukan pelbagai inisiatif dan tidak bergantung kepada pembelajaran dalam talian. Saya sediakan modul khas kepada pelajar. Guru harus menyesuaikan diri dengan situasi terkini bagi memudahkan proses PdP,” katanya.

Terima terbuka

Berdasarkan kelebihan yang ditemui menerusi kaedah PdPR, bolehlah disimpulkan bahawa cara pembelajaran ini secara tidak langsung memberi ruang yang lebih baik kepada ibu bapa, guru, dan pelajar.

Sesi pembelajaran lebih fleksible membolehkan guru-guru memilih waktu yang sesuai untuk mengajar dan berinteraksi dengan anak didik mereka.

Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada ibu bapa melihat potensi, kelebihan, dan kemahiran anak-anak ketika sama-sama membimbing mereka di rumah.

Jadi, berhentilah melihat PdPR sebagai beban tetapi lihatlah dari sudut yang positif kerana banyak kebaikan ditawarkan jika benar-benar dihayati dan dimanfaatkan.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA