HomeKomunitiAsah bakat seawal usia 5 tahun, Sissy Imann anak seni yang miliki...
165,220FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Asah bakat seawal usia 5 tahun, Sissy Imann anak seni yang miliki potensi besar!

Ralit seketika tatkala melihat jari jemari si cantik manis menekan piano mengalunkan lagu ‘Mungkin Kamu’, kemudian beralih pula memetik gitar sambil ‘melayan’ arahan jurugambar.

Sememangnya seorang yang profesional, sesi pengambaran Sissy Imann Mohammad Kamil sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu berjalan lancar dengan cukup mudah.

Sissy Imann, seorang anak seni yang berbakat besar kerana bukan sahaja boleh menyanyi tetapi juga boleh bermain pelbagai jenis alat muzik.

Bakatnya dalam bidang seni cukup versatil. Anak muda berusia 26 tahun ini turut berbakat dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

Bagaimanapun, bercakap mengenai bidang seni muzik, menurut anak kedua daripada tiga adik beradik ini, walaupun dilahirkan dalam susur galur keluarga seni namun akui Sissy Imann bakatnya diasah oleh ayahandanya sejak dia berusia 5 tahun.

Mengakui tidak meminati muzik pada awal pembabitannya, bagaimanapun segala-galanya bertukar apabila dia ‘dipaksa’ berlatih setiap hari.

“Apabila setiap hari ‘dipaksa’ berlatih bermain piano dan perlu menduduki peperiksaan bagi setiap tahap, pastinya lama kelamaan perkara yang kita tak suka akan bertukar menjadi suka.

“Dengan disiplin, semangat dan sokongan penuh keluarga terutama ayahanda, alhamdulillah inilah Sissy hari ini.

“Dan tuah Sissy dalam bidang seni muzik ini bermula ketika berumur 16 tahun apabila lagu ‘Mungkin Kamu’ telah memenangi lagu OST pilihan DFKL dan juga tersenarai Top 5 Anugerah Planet Muzik,” ujarnya.

Pendidikan Muzik

Sissy Imann bukanlah calang-calang anak seni kerana dia lengkap dengan pengetahuan.

Kini Sissy Imann melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Petah berkata-kata, Sissy Imann mempunyai kelayakan untuk mengajar di sekolah terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana sibuk dengan jadual harian yang padat sebagai seorang pelajar Sarjana dan juga guru persendirian.

IKLAN

Namun Sissy Imann pernah bergelar guru sementara dan seronok dipanggil Cikgu Sissy.

Bercerita mengenai kerjaya sementaranya itu, Sissy Imann memberitahu ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga kerana berhadapan dengan kanak-kanak pelbagai ragam membuatkan dirinya lebih bersedia apabila menyampaikan ilmu.

“Sissy menyokong sepenuhnya mata pelajaran muzik diajar di sekolah rendah dan berharap agar mata pelajaran tersebut dapat diteruskan di peringkat sekolah menengah juga,” katanya.

Berpendapat muzik boleh merehatkan minda kanak-kanak, secara tidak langsung ia juga boleh menjadi terapi kepada kanak-kanak.

“Muzik satu bidang yang dikaitkan dengan kemahiran di mana ia memerlukan latihan yang berterusan untuk menjadikan diri kita mahir.

“Walaupun ada ibu bapa yang beranggapan muzik adalah satu mata pelajaran yang membuang masa tetapi hakikatnya tidak benar kerana ia banyak manfaat yang mungkin ramai tidak nampak.

“Yang pasti, kerjaya dalam bidang seni muzik ini juga luas, kita boleh jadi seorang tenaga pengajar ataupun bekerja di belakang tabir,” tuturnya lembut.

Bercerita lebih lanjut mengenai bidang seni muzik ini lagi, Sissy Imann tidak menafikan muzik adalah satu bidang yang ‘mahal’ pelaburannya namun berbaloi untuk dipelajari.

IKLAN

“Peralatan muzik semuanya mahal termasuk yuran pembelajaran.

“Bagi yuran pembelajaran, semakin tinggi gred, yuran bulanan juga semakin naik dan ia bermula serendah RM60 untuk kelas selama setengah jam dan ia boleh mencecah sehingga RM300.

“Begitupun segala-galanya tertakluk kepada pusat seni itu mahupun tenaga pengajar itu sendiri dan bergantung kepada jenis pelajaran yang dipelajari,” terang Sissy Imann.

Sekadar memberi pandangan peribadinya, bagi kelas muzik cukup jika sekadar mempelajarinya dua jam seminggu.

Sikap dan bakat

Sissy Imann turut berkongsi pandangan katanya, muzik segala-galanya berkaitan dengan sikap kerana bakat yang diperlukan hanyalah sekadar 30 peratus.

Selebihnya bergantung kepada sikap seperti disiplin diri, rajin atau malas untuk berlatih dan juga penerimaan diri sama ada susah atau mudah.

Yang pasti, muzik yang berkaitan dengan kemahiran memerlukan latihan dan komited yang berterusan

IKLAN

PROFIL

Nama sebenar: Sissy Imann Binti Mohammad Kamil

Umur: 25 tahun

Tarikh lahir: 24/10/1995

Asal: Kuala Lumpur

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Muzik). Kini Sedang menyambung Ijazah Sarjana Muzik

Anak ke berapa daripada berapa beradik: 2 daripada 3 adik beradik

Pekerjaan: Penyanyi, Pengacara

Anugerah yang pernah diterima dalam bidang seni
1) Lagu OST pilihan DFKL 2016
2) Top 5 Artis Baharu Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2015
3) 3 Anugerah Emas, 4th Bali International Choir Festival 2015
4) Peserta Big Stage

Syarikat rakaman
1) Seni Unggul Production (Management)
2) Warner Music (Song production)

Media sosial
Twitter/FB/Instagram/Youtube : sissyimann

Artikel Berkaitan

MESTI BACA