Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeKomunitiMencipta ruang dan kelebihan pendidikan di rumah semasa pandemik
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Mencipta ruang dan kelebihan pendidikan di rumah semasa pandemik

Pendidikan tidak pernah berhenti. Proses pendidikan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Dalam suasana pandemik, pendidikan di rumah perlu dimanfaatkan secara optimum oleh semua pihak terutamanya ibu bapa.

Kita seringkali mengaitkan pendidikan dengan sekolah dan pembelajaran formal. Ia penting tetapi bukan segala-galanya. Masih banyak ruang kosong yang perlu ditampung untuk mencapai matlamat pendidikan.

Dalam konteks ini, pendidikan di rumah semasa musim pandemik berperanan untuk memenuhi ruang lompong tersebut. Antara aspek yang sesuai untuk diangkat dalam pendidikan di rumah pada masa kini ialah pendidikan kerohanian, pendidikan nilai, kemahiran hidup, dan pemikiran kreatif.

Pelaksanaan pendidikan di rumah sangat berkait rapat dengan kemampuan ibu bapa menyusun strategi yang bersesuaian bagi menjadikannya sebuah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang unik.

Untuk merealisasikan perkara tersebut, ibu bapa perlu sedikit pendedahan tentang syarat-syarat tertentu untuk membolehkannya mereka bentuk pendidikan di rumah tanpa perlu terikat dengan sistem dan silibus sekolah. Bahkan pendidikan keluarga ini seharusnya lebih nyata dan memenuhi secara langsung keperluan hidup anak-anak.

Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi jika anda berminat untuk mengisinya? Secara formal syaratnya banyak tetapi kita ambil yang paling penting dan praktikal sahaja.

IKLAN

Antara yang terpenting ialah mempunyai matlamat yang jelas. Ibu bapa hendaklah memiliki kefahaman yang jelas tentang tujuan terakhir pendidikan anak-anak yang ingin mereka capai.

Sebagai contoh, ibu bapa yang ingin melaksanakan pendidikan nilai seharusnya telah mengenalpasti beberapa nilai penting dan dianggap utama yang ingin diterapkan dalam diri anak-anak. Demikian juga dalam konteks kemahiran hidup dan pemikiran kreatif. Objektif yang jelas sangat membantu ibu bapa untuk melaksana proses pendidikan seterusnya.

Syarat kedua pula ialah melaksanakan apa jua aktiviti yang munasabah dan berkaitan untuk mencapai objekif tersebut secara sedar. Ini bermakna ibu bapa perlu merancang apa jua aktiviti yang bersesuaian dengan objektif yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, nilai amanah perlu diikuti dengan pemberian tugasan atau kemahiran memasak disusuli dengan latihan penyediaan bahan, dan pemikiran kreatif dibuktikan dengan penghasilan sesuatu atau penyelesaian masalah dengan cara yang baharu.

IKLAN

Ringkasnya, ibu bapa perlu sedikit perancangan dan diikuti dengan langkah yang praktikal. Jika anak-anak sudah besar dan remaja, perbincangan aktiviti bersama adalah langkah yang terbaik. Pendidikan di rumah seharusnya bersifat jelas di lapangan, menarik, menyeronokkan, dan sedikit mencabar.

Manakala syarat terakhir ialah ibu bapa perlu melakukan sedikit penilaian untuk melihat setakat mana pencapaian objektif telah berlaku. Penilaian tersebut boleh dilakukan secara tidak formal mengikut kesesuaian konteks. Melalui penilaian juga, proses penambahbaikan boleh dilakukan.

Satu kelebihan pendidikan di rumah yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa ialah pendidikan fardu ain. Kefahaman konsep ilmu fardu ain dalam kalangan masyarakat awam khususnya ibu bapa perlu diluruskan semula.

IKLAN

Menurut Imam al-Ghazali, ilmu fardu ain bersifat dinamik dan berkembang mengikut alur kehidupan seseorang dan tidak pernah berhenti.

Dalam suasana pandemik di mana pendidikan berlaku di rumah, ibu bapa adalah individu terpenting yang memikul tanggungjawab untuk memastikan anak-anak memahami, menguasai, dan mengamalkan ilmu fardu ain tersebut.

Pada ketika inilah ibu bapa boleh menyemak bacaan al-Quran, memantau pelaksanaan solat lima waktu bahkan melaksanakannya bersama-sama, memerhatikan amalan kebersihan dan fiqh yang berkaitan secara khusus untuk anak lelaki dan perempuan serta pelbagai lagi.

Pendidikan di rumah seharusnya tidak formal, santai, menarik, berorientasikan amalan, terancang, dan berobjektif.

Sebenarnya, pandemik telah menjadikan insan yang bergelar ibu dan ayah kembali kepada peranannya yang asal sebagai pendidik utama di samping pernah menjawat sebagai pendidik terawal pada suatu ketika dahulu – BERNAMA

Maklumat Penulis: Dr Noor Hisham Md Nawi merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA