HomeKomunitiKeputusan STAM 2020, mengikut tanda aras baharu
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Keputusan STAM 2020, mengikut tanda aras baharu

KUALA LUMPUR – Seramai 27 daripada 5,589 calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 memperoleh keputusan 10 Mumtaz (cemerlang) yang diumumkan semalam.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (LPKPM), Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, keputusan STAM 2020, merekodkan gred purata nasional dengan nilai 3.04.

Tambah beliau, memandangkan format dan sukatan mata pelajaran baharu telah ditukarkan bermula tahun lalu, maka keputusan calon kali ini merupakan satu penanda aras baharu bagi calon-calon STAM.

“Buat pertama kalinya selepas format dan sukatan mata pelajaran baharu digunakan, pencapaian calon berada pada tahap yang agak baik ekoran nilai GPN yang menghampiri 1 menunjukkan pencapaian calon semakin baik.

“Selain itu, STAM 2020 juga turut dilakukan pembaharuan dalam pengurusan peperiksaan untuk memastikan kelancaran pentadbiran peperiksaan dan pada masa yang sama mengurangkan pergerakan pemeriksaan bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan STAM 2020 secara dalam talian, semalam.

IKLAN

Bagaimanapun, menurut beliau bilangan calon yang mendaftar STAM bagi tahun 2020 menurun daripada 9,826 orang pada 2019 kepada 7,277 orang.

Ujar beliau lagi, masalah ini bukan satu perkara baharu apabila masalah ini seolah-olah menjadi ‘trend’ dalam kalangan pelajar.

Ini kerana, setiap tahun jumlah pelajar yang mendaftar sering berkurangan kerana segelintir daripada mereka telah memasuki institusi lain apabila mendapat tawaran baharu.

IKLAN

Mengulas mengenai kelayakan mendapat sijil, beliau menyatakan, calon-calon mestilah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan di mana mereka mestilah mengambil kesemua sepuluh mata pelajaran.

Syarat penganugerahan sijil STAM ialah mempunyai empat pangkat sijil iaitu pangkat Mumtaz (cemerlang), Jayyid Jiddan (sangat baik), Jayyid (baik) dan Maqbul (lulus).

Oleh itu, bagi calon yang layak mendapat sijil, mereka mestilah sekurang-kurangnya memperoleh pangkat Maqbul.

IKLAN

Manakala bagi calon yang tidak hadir sekurang-kurangnya satu mata pelajaran atau kesemuanya gagal, mereka akan diberikan slip keputusan STAM sebagai rekod bahawa mereka pernah menduduki STAM 2020.

Berikutan itu, seramai 442 (7.9%) orang calon berjaya mendapat sijil pangkat Mumtaz, 1,226 (22.0%) calon mendapat pangkat Jayyid Jiddan, 1,758 (31.5%) mendapat pangkat Jayyid, 230 (4.1%) mendapat pangkat Maqbul, dan seramai 1,918 (34.4%) orang pelajar tidak layak mendapat sijil.

Bagaimanapun, Pkharuddin menegaskan, keputusan STAM 2020 tidak akan dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya kerana format dan sukatan pelajaran baharu digunakan.

Menyentuh mengenai semakan keputusan, beliau berkata, memandangkan negara masih lagi berada di bawah kawalan virus Covid-19, maka pembaharuan dalam pengurusan peperiksaan terpaksa dijalankan di mana semakan keputusan STAM dilakukan melalui dua cara iaitu menerusi pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my, dan calon juga boleh membuat semakan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ke talian 68886.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA