HomeKomunitiHentikan ‘body shaming’ dengan segera!
168,577FansLike
4,980FollowersFollow
637FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Hentikan ‘body shaming’ dengan segera!

Isu ‘body shaming’ dalam kalangan warga masyarakat kita bukanlah sesuatu isu yang terpencil sejak akhir – akhir ini. Terdapat pelbagai ‘modus operandi’ yang diguna pakai oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah ini; termasuklah menerusi media sosial yang semakin berleluasa tanpa rasa bersalah.

Kesannya, si mangsa akan mengalami pelbagai kesan negatif dari segi mental dan masalah psikologi termasuklah kemurungan, bersifat pendendam, mudah marah, kehilangan daya keyakinan diri (motivasi kendiri), kecelaruan fikiran, kelesuan tubuh badan dan sebagainya. Lebih teruk lagi, terdapat kebarangkalian yang si mangsa akan mengambil jalan mudah dengan menamatkan riwayat hidup sendiri akibat tidak tahan dengan tekanan tersebut (bunuh diri).

Antara contoh kes yang dilaporkan adalah; seorang pelakon wanita tanahair telah membuat laporan polis terhadap individu kerana terdapat unsur penghinaan dan buli siber terhadap anak angkat beliau menerusi media sosial (Sinar Harian, 16 Mac 2020). Selain itu, seorang lelaki telah membuat ciapan mengenai rupa fizikal (body shaming) seorang remaja Albino supaya ‘diburu dan dikerat bagi tujuan ritual sihir’ (Astro Awani, 20 Oktober 2019).

Di samping itu, seorang personaliti media sosial atau lebih dikenali sebagai influencer telah membuat satu rakaman video secara ‘live streaming’ dan mengeluarkan kata – kata kesat kepada seorang wanita dan menyamakan bentuk tubuh badan wanita tersebut dengan haiwan; temasuklah memaparkan gambar wanita itu dan anaknya sebelum video tersebut tular. Ini berlaku setelah beliau meninggalkan komen di ruangan komen personaliti terbabit di media sosial.

Sejak menularnya paparan video tersebut yang menghina bentuk fizikal beliau di media sosial, beliau telah mengalami tekanan perasaan, trauma, masalah kemurungan dan gangguan emosi yang akhirnya dinasihati oleh peguamnya supaya mengambil tindakan sivil terhadap influencer tersebut di mahkamah.

Namun, influencer tersebut telah membuat permohonan maaf secara tersebut di laman Facebooknya selepas itu dan mendakwa bahawa beliau telah gagal untuk mengawal emosi sewaktu mengeluarkan kata – kata kesat yang bersifat hinaan dan cercaan terhadap si mangsa (18 Ogos 2020, Sinar Harian).

IKLAN

Jika ditinjau dari segi kerangka legislatif, Malaysia secara dasarnya masih agak terkebelakang berkaitan dengan undang – undang anti buli siber jika dibandingkan dengan negara jiran yang lain yang lebih spesifik lagi sistematik seperti Singapura dan Filipina.

Buat masa sekarang, sebarang isu dan aduan berkaitan dengan jenayah buli siber adalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Oleh yang demikian, tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan hukuman yang setimpal lagi bersesuaian dengan jenayah tersebut masih kabur dan lemah.

Dari sisi yang lain, antara kerangka legislatif sedia ada yang boleh digunapakai sebagai punca kuasa adalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Kanun Keseksaan 1950.

Menurut konteks ini, Dr. Mazlena Mohamad Husain, Pensyarah Kanan daripada Kuliyyah Undang – Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan bahawa semua tindakan pembuli siber yang akhirnya menyebabkan si mangsa bertindak membunuh diri dikategorikan sebagai suatu jenayah buli siber dan boleh dikenakan hukuman berdasarkan kepada Kanun Keseksaan.

IKLAN

Beliau turut menyatakan bahawa pembuli siber tersebut boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 306 di bawah akta tersebut iaitu ‘Persubahatan bagi kesalahan membunuh diri’.

Namun demikian, keabsahan peruntukan klausa tersebut dianggap tidak relevan kerana tidak mengandungi sebarang terma ‘buli siber’. Selain itu, perbuatan menghina rupa fizikal seseorang menerusi aplikasi teknologi turut boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) & (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika didapati bersalah, pelaku yang telah disabitkan kesalahannya boleh dihukum iaitu denda tidak melebihi RM50, 000.00 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua – duanya sekali. Sementara itu, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) pula memperuntukkan denda yang tidak melebihi RM100 bagi setiap kesalahan.

Kesimpulannya, isu body shaming atau perbuatan mengejek atau menghina bentuk fizikal seseorang tidak seharusnya dipandang sepi oleh warga masyarakat pada hari ini; apatah lagi untuk dijadikan sebagai bahan gurauan. Ini kerana; ia boleh diklasifikasikan sebagai satu jenayah memandangkan bahawa terdapat pelbagai kesan negatif yang turut melibatkan kes bunuh diri oleh si mangsa.

IKLAN

Namun demikian, tidak dinafikan bahawa perundangan negara masih agak terkebelakang dalam menangani isu sensitif ini memandangkan bahawa tiada sebarang akta atau klausa yang spesifik dalam menangani jenayah ini.

 

Penulis:

Mohd Ab Malek bin Md Shah
Pensyarah Kanan
Jabatan Undang – Undang
UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah
017-3561280

Sulaiman bin Mahzan
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Komputer dan Matematik
UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin
0 19-684 3707

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

MESTI BACA