HomeGen ZHala tuju pelajar sekolah tahfiz cerah
165,220FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Hala tuju pelajar sekolah tahfiz cerah

Kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama seperti sekolah tahfiz, sekolah pondok atau sekolah agama pada masa kini dipuji ramai.

Ini kerana, anak-anak yang mendapat pendidikan agama akan mempunyai jati diri, keperibadian serta sahsiah yang terpuji dalam kehidupan seharian berlandaskan ajaran Islam sepenuhnya.

Menurut Pengarah Urusan Sekolah Kiblah, Dr Ismail Omar, perkara tersebut bukanlah satu trend sebaliknya ibu bapa hari ini sudah pandai menilai selain mahukan yang terbaik buat anak masing-masing.

“Mereka memilih sekolah agama sebab hendak seimbangkan antara dunia dan akhirat.

“Ini kerana, sejak kecil lagi, anak-anak sudah dibekalkan dengan pendidikan akademik. Jadi, sudah tiba masanya untuk mereka mencari pendidikan agama untuk anak. Sekurang-kurangnya, apabila pelajar dalami bidang agama, mereka akan mendapat ilmu daripada sumber yang sahih kerana asas utama belajar di sini adalah kembali kepada pendidikan Islam dan al-Quran,” katanya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Dr Ismail

Dr Ismail berkata, kesungguhan ibu bapa yang mahukan anak-anak mendalami ilmu agama perlu dimulakan dari sekarang supaya kehidupan pelajar berada di landasan yang betul.

“Dulu, kesedaran tentang aliran sebegini tidak menyeluruh. Kita sendiri dapat melihat, ramai wanita tidak menutup aurat.

“Tapi sekarang, kita sudah didedahkan dengan pelbagai ilmu agama. Segala info di hujung jari. Tinggal lagi kita rajin atau tidak untuk mencarinya,” ujarnya.

Jelas Dr Ismail, pelajar lepasan sekolah aliran agama tidak seharusnya bimbang dengan masa depan mereka.

Bagi pelajar daripada aliran agama, rutin harian mereka sememangnya sentiasa padat dengan pengajian al-Quran.

Ini kerana, ramai majikan di luar sana mencari graduan dari sekolah agama dan bagi mereka, golongan ini lebih bersifat amanah, integriti, bertanggungjawab, telus dan memiliki ciri-ciri positif yang lain.

“Misalnya pelajar lepasan Sekolah Kiblah. Kita ada data yang mengatakan alumni sekolah ini menjadi pilihan majikan.

“Ini kerana, alumni Kiblah ada ilmu dalam bidang akademik, ilmu tahfiz dan ilmu dalam kurikulum agama. Boleh dikatakan, mereka ada pakej lengkap,” jelasnya.

Apabila ditanya hala tuju pelajar aliran ini pula, Dr Ismail berkata, peluang mereka untuk menyambung pengajian cukup luas.

“Sebaik sahaja tamat pengajian dari mana-mana institusi pendidikan agama, pelajar boleh sambung ke pusat pengajian lain untuk mengikuti aliran akademik atau sambung aliran agama.

“Kita banyak kolej, yayasan dan universiti yang menawarkan pelbagai jurusan. Sekiranya cemerlang, anak-anak boleh sambung belajar ke universiti di Timur Tengah seperti di Mesir, Jordan, Yaman dan banyak lagi. Jadi tidak timbul soal bagaimana mereka mahu meneruskan pengajian yang seterusnya,” sambung beliau.

Bagaimana pula dengan pelajar yang tidak cemerlang? Apakah hala tuju mereka selepas itu?

Menurut Dr Ismail, Sekolah Kiblah ada menawarkan kemahiran untuk meneruskan pengajian sekiranya mereka ‘kurang cemerlang’.

“Tidak semua dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran. Ada yang hafaz lima juzuk, 10 juzuk dan hafazan ini bergantung kepada kemampuan dan kebolehan pelajar itu sendiri.

IKLAN

“Di Kiblah, kita tawarkan mereka ikuti Sijil Kemahiran Malaysia 3 dengan tiga jurusan iaitu Pengurusan Masjid, Pengurusan Tahfiz dan Pengajian Tahfiz. Insya-Allah, dengan ilmu-ilmu ini, pelajar memperoleh banyak ilmu bermanfaat yang boleh digunakan untuk kerjaya mereka kelak,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Ismail mengakui pelajar tahfiz ini banyak kelebihan berbanding pelajar aliran akademik yang lain.

“Memang ada pelajar yang memasuki tahfiz seawal umur 8 tahun dan mereka berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika berumur 12 tahun.

“Namun begitu, hafaz al-Quran ini bukan mudah. Kena ada disiplin tinggi dan ikut kemampuan pelajar itu sendiri.

“Begitu juga bila hendak menghantar anak-anak ke sekolah ini. Keluarga kena tengok minat dan kecenderungan mereka. Jangan disebabkan trend, terus hantar ke tahfiz, akibatnya anak-anak gagal belajar dengan sempurna,” tutur beliau.

Dalam pada itu, bercerita peranan ibu bapa pula, tambah Dr Ismail, mereka tidak boleh lepas tangan dalam mendidik anak-anak selepas menghantar ke pusat tahfiz.

Ini kerana katanya, mendidik adalah tanggungjawab bersama. Guru dan ibu bapa saling berkait dalam memastikan anak-anak menjadi insan yang cemerlang.

Dalami ilmu agama

Sementara itu, alumni Kiblah, Mohd Syazwan Muhsin Negara, 32, berkata, sejak kecil dia memang meminati aliran agama.

“Masa di Sekolah Rendah Islam ABIM Sg. Ramal, Selangor, saya sudah memasang impian untuk sambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana mahu dalami ilmu agama. Itu impian utama saya,” kata anak kelahiran Kajang, Selangor ini.

Mohd Syazwan yang kini bekerja sebagai Peguam Sivil dan juga telah menghafaz 30 juzuk al-Quran berkata, perjalanan pendidikannya dalam bidang agama cukup panjang, namun semua itu bukanlah satu kesukaran buat dirinya.

Mohd Syazwan

“Selepas Sekolah Rendah Islam ABIM, saya sambung ke Maahad Tahfiz Kiblah Sg Merab, Selangor. Kemudian saya ke Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat Pasir Mas, Kelantan, untuk belajar ilmu pondok pula.

“Ramai yang kata, belajar di pondok sangat susah. Tapi saya hendak juga belajar kitab-kitab pondok, hafaz al-Quran, belajar teknikal ayat al-Quran, belajar bahasa Arab dan sebagainya.

“Tiga tahun saya di sini dan bila selesai semuanya, saya kembali semula ke Sekolah Kiblah untuk ikuti aliran akademik sebagai persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya lagi.

IKLAN

Mohd Syazwan bersama ibu bapanya ketika Majlis Pentauliahan Diterima Masuk dan Didaftar-rai sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2016.

Mohd Syazwan yang kini bekerja di Tetuan Maziana & Associates, Kota Bharu, Kelantan, berkata, dengan keputusan SPM 4A, 6B, 2C, dia terpilih untuk mengikuti kursus Bahasa Arab di Pusat Bahasa, Universiti Sains dan Teknologi Andalus, Sanaa’, Republik Yaman.

“Lebih kurang sembilan bulan saya belajar di Yaman. Banyak ilmu yang saya dapat sehingga melayakkan saya memperoleh sijil bahasa Arab,” jelasnya.

Selepas tamat di Pusat Bahasa, Republik Yaman, Mohd Syazwan meneruskan pengajian ke Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Petaling Jaya, Selangor, bagi mengikuti Asasi Undang-Undang sebelum menyambung ke peringkat ijazah.

Mohd Syazwan (dari kiri, belakang) ketika Majlis Pentauliahan diterima masuk dan didaftar-rai sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Melihat sisi akademik Mohd Syazwan, ternyata semuanya teratur dan boleh dikatakan bekas pelajar aliran agama dan akademik ini sangat cemerlang dalam setiap pengajiannya.

Beliau yang kini menetap di Kota Bharu, Kelantan, berkata, hari ini masa depan pelajar tahfiz sangat cerah.

“Jangan bimbang dan jangan terlalu fikir mengenai masa depan masing-masing. Saya sendiri pun tidak pernah terfikir akan bergelar peguam sivil.

“Masa dulu, saya hanya fikir hendak belajar dan dalami ilmu dalam tahfiz, pondok dan akademik sahaja. Tak terlintas langsung tentang kerjaya.

“Ada yang cakap lulusan agama hanya akan jadi imam, ustaz dan bilal sahaja. Tapi lihatlah sekarang, sudah ramai yang hafaz 30 juzuk al-Quran dan bekerja dalam bidang profesional seperti doktor perubatan, pensyarah, peguam, arkitek, pengurus syarikat, jurutera dan perunding motivasi,” ujarnya lanjut.

IKLAN

Ditanya tentang rahsia kejayaannya, Tokoh Kepimpinan Sukan UIAM 2015 ini berkata, tiada sebarang rahsia cuma jaga solat lima waktu, memperbanyakkan solat sunat dan sentiasa hormat guru serta jaga pemakanan kerana ia akan memudahkan proses mengingati dan menghafal formula dalam semua subjek.

Mohd Syazwan turut menasihatkan pelajar yang masih belajar tidak kira dalam apa juga aliran agama agar menghabiskan pengajian dalam masa yang telah ditetapkan.

Bijak bahagi masa

Bagi Muhammad Alif Zuhairi Kamarudin, 19, bekas pelajar Sekolah Kiblah, pembelajaran di sekolah berasrama penuh dan sekolah harian biasa, memang berbeza.

“Sekolah Kiblah adalah sekolah berasrama penuh. Saya belajar di sini dan menduduki peperiksaan SPM pada 2019 dengan keputusan 8A dan 4B.

Muhammad Alif Zuhairi

“Selain ilmu akademik, saya juga mendapat ilmu tahfiz daripada guru-guru yang berpengalaman. Dengan kedua-dua ilmu ini (agama dan akademik), saya berjaya menyambung pengajian ke Kolej Matrikulasi Perlis dalam aliran Sains,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini lagi.

Muhammad Alif Zuhairi yang bercita-cita bergelar seorang doktor dan hufaz al-Quran turut memberitahu, sekolah aliran agama ini sememang bagus.

Nakal semasa kecil, kini sudah hafaz 30 juzuk al-Quran

“Saya sendiri pun tidak menyangka dapat melanjutkan pelajaran ke UIAM dalam jurusan Bahasa Arab Komunikasi Antarabangsa memandangkan ketika kecil saya seperti kanak-kanak lain, seorang yang nakal dan sederhana dalam pelajaran,” kata Abdurrahman Mohd Redzuan.

Berusia 20 tahun, Abdurrahman yang memperoleh 7A dalam SPM 2018 berkata, dia dimasukkan ke Maahad Tahfiz Kiblah dan Sekolah Kiblah disebabkan mempunyai masalah peribadi.

“Masa sekolah rendah, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana dan Sekolah Rendah Agama Taman Putra Perdana.

Abdurrahman

“Lepas itu, saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Putra Perdana sebelum ke Maahad Tahfiz Kiblah dan Sekolah Kiblah.

“Bila berada dalam lingkungan rakan-rakan daripada aliran agama, saya rasa hidup terisi. Banyak yang saya pelajari dan akhirnya banyak mengubah kehidupan menjadi lebih baik,” tuturnya lagi.

Bercakap pula mengenai hala tuju pelajar tahfiz, Abdurrahman berkata, laluan dan masa depan golongan ini cerah.

Abdurrahman (tiga dari kiri, belakang) ketika mengikuti Muktamar Badar sesi 2017/2018 di Sekolah Kiblah.

“Saya sendiri pun tidak percaya akan berjaya ke menara gading. Dengan cabaran dan dugaan yang dilalui satu masa lalu, yakinlah bahawa susunan Allah itu sangat cantik.

“Nasihat saya, jika ada masalah hadapilah dengan tenang. Jangan risau dengan masa depan dan jangan buat ‘kerja Allah’ kerana segala-galanya telah ditentukanNya,” katanya yang pernah menerima Anugerah Tokoh Uthman bin Affan, Anugerah Tokoh Pelajar Kiblah dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Terbaik 2018.

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA