Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeKomunitiCovid-19: Jurang pendidikan yang perlu diperhalusi - Pensyarah Kanan UiTM, Nurul Fatma
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Covid-19: Jurang pendidikan yang perlu diperhalusi – Pensyarah Kanan UiTM, Nurul Fatma

Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi tahun ini, telah berlangsung hampir beberapa bulan lamanya (sehingga tarikh 14 September).

Walaupun kelas secara dalam talian telah dilalui pada tahun lepas, namun PdPR kali ini dirasakan berbeza kerana tuntutan kerja ibu bapa semakin bertambah berikutan kebanyakan organisasi pekerjaan sudah selesa dengan kemudahan dalam talian.

Maka, kebanyakan ibu bapa mengalami kesukaran untuk memberikan tumpuan yang lebih baik kepada proses pembelajaran anak-anak.

Di saat kemelut ibu bapa, terdapat segelintir pelajar yang didapati terjejas teruk dengan proses pembelajaran online ini.

Pelajar dari keluarga B40 khususnya mengalami kesukaran untuk memberikan tumpuan PdPR disebabkan beberapa faktor iaitu faktor fasiliti dan sokongan ibu bapa.

Faktor fasiliti merupakan faktor utama di mana kebanyakan para pelajar tidak memiliki telefon pintar apatah lagi kemudahan komputer bagi memudahkan pembelajaran di rumah.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Tidak dapat dinafikan pembelajaran menggunakan komputer atau komputer riba adalah jauh lebih baik daripada menggunakan telefon pintar dalam memahami pembelajaran.

Malah ada segelintir pelajar yang terpaksa berkongsi telefon pintar dengan ibu bapa dan adik beradik yang lain dan ini menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih rumit dan pelajar sukar untuk menumpukan perhatian.

Ketiadaan kemudahan intenet yang baik juga menyukarkan pelajar untuk terus memberikan tumpuan kerana data yang terhad.

Di samping itu, keadaan rumah juga memainkan peranan dalam memastikan proses PdPR berjalan lancar.

Rumah yang sempit dan mempunyai ramai ahli akan mengekang anak-anak untuk memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.

Baca juga Cikgu Sam lambang penyatuan, didik anak murid orang asli tanpa putus asa

Baca juga Guru Cemerlang kongsi 4 fasa mendidik anak-anak gaya Rasulullah SAW. Ibu bapa mohon hadam

Saban hari semakin banyak rungutan yang diterima oleh ibu bapa dalam menguruskan anak-anak ketika proses PdPR berlangsung.

Ada di antara mereka mempunyai kekangan masa untuk membantu anak-anak dan ada juga mengalami kesukaran untuk mengajar mereka terutamanya kursus-kursus yang memerlukan kemahiran seperti bahasa Arab dan subjek-subjek agama yang lain.

Justeru, timbul persoalan, sejauh mana ibu bapa dapat memberikan sokongan kepada para pelajar terutama yang bekerja di pejabat dan menghantar anak-anak ke pusat asuhan?

Wujud jurang pendidikan

Dalam konteks ini, kesan di hadapi adalah wujud jurang pendidikan dan ia akan menjadi lebih besar.

Pelajar yang berkemampuan akan terus ke hadapan dan mengungguli pencapaian di dalam kelas dan pelajar lain, akan ketinggalan.

Golongan ini akan mengalami kesukaran untuk keluar dari kemelut kesusahan kerana perkara asas pendidikan tidak dapat dikuasai dengan baik.

Kesannya, ekonomi keluarga tidak dapat ditingkatkan kerana anak-anak tidak mendapat pekerjaan yang baik bagi membantu ibu bapa.

IKLAN

Malah lebih menggusarkan masalah sosial juga semakin meningkat.

Kehadiran ramai ahli keluarga di dalam sesebuah rumah akan membuka jalan-jalan kepada masalah rumah tangga, penderaan, penceraian dan sumbang mahram.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Ini semua berbalik kepada didikan agama yang telah diterapkan kepada anak-anak sejak kecil.

Kepincangan di dalam rumah tangga ini bukanlah suatu perkara yang baru, namun kewujudan pandemik ini membuka lagi pekung di dada.

Penyelesaian kepada isu ini perlu dilihat dan diambil kira oleh banyak pihak.

Usaha dan tindakan

Suka untuk saya mengetengahkan usaha dan tindakan yang perlu diambil oleh individu termasuk diri saya sendiri. Kita tidak boleh mengubah perkara ini dengan mendesak orang lain.

Tugas saya sebagai ibu bapa adalah dengan menghormati usaha murni guru-guru yang penuh jerih menyediakan yang terbaik kepada murid-muridnya.

Di samping mengajar, perlu diingatkan yang guru-guru ini juga ada anak-anak yang perlu dikendalikan di rumah.

Pada hemat saya, tidak perlu ditambah bebanan guru-guru dengan persoalan atau rungutan yang tidak membawa kepada apa-apa penambahbaikkan.

Jika tidak mampu menyiapkan kerja rumah yang diberi, selagi mana ia tidak menganggu proses pembelajaran, tidak mengapa untuk tidak menyiapkannya.

Ibu bapa perlu memberikan sokongan kepada anak-anak untuk mencuba yang terdaya di saat ini.

IKLAN

Ibu bapa perlu mendisplinkan anak-anak agar dapat mengikuti sebahagian kelas.
Jika tidak mampu ikuti semua, jangan tinggal kesemuanya. Ini penting agar guru-guru tahu kewujudan pelajar tersebut.

Ibu bapa tidak perlu terlampau tertekan sekiranya anak-anak tidak mengikuti pembelajaran sepenuhnya. Pembelajaran itu sifatnya santai dan seronok.

Pada pandangan saya, suasana yang tegang dan mendesak bukanlah suatu bentuk pendidikan yang baik.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Bagi tanggungjawab sebagai pendidik, empati yang tinggi perlu diterapkan. Letakkan diri kita di pihak pelajar.

Beri kerjasama sewajarnya dan berikan kata motivasi yang berterusan agar anak-anak terus bersemangat untuk ke kelas.

Sekiranya didapati ada anak-anak yang keciciran, berikan sedikit masa untuk bertanya khabar dan menghulurkan bantuan.

Saya sangat percaya, dengan perhatian para guru, anak-anak ini akan tertarik dan akan kembali semula ke kelas. Malah, ibu bapa pelajar ini juga boleh dihubungi untuk menunjukkan keperihatinan kita.

Sedikit cakna kita ini mampu memberikan impak yang besar kepada ibu bapa yang bekerja dan tidak mampu untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak mereka.

Seterusnya, tugas sebagai penjawat awam yang tidak terkesan gajinya kerana pandemik wajar diperhalusi.

Kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyumbang kepada kelancaran pendidikan.

Sumbangan boleh diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan PIBG sekolah yang banyak bekerjasama untuk membantu pelajar tanpa gajet.

IKLAN

Pembelajaran dengan telefon pintar berbanding komputer pastinya berbeza. Sumbanglah sebanyak yang boleh, saya pasti setiap sumbangan itu akan mengalir semula kepada kita sebagai saham akhirat dan keberkatan di dunia.

Seperkara lagi yang wajar dibangkitkan, walaupun kita tidak lagi menghantar anak-anak ke pusat jagaan atau taska, berilah sumbangan seadanya agar perniagaan mereka dapat diteruskan.

Saban hari, kita mendengar banyak pusat jagaan dan taska yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung perbelanjaan terutamanya sewa dan gaji guru-guru.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Pada saat ini, sebahagian kecil gaji penjawat awam telah dipotong untuk membantu negara membaik pulih situasi ini, namun saya percaya kesannya tidaklah begitu ketara.

Sebahagian daripada tanggungjawab sebagai masyarakat, saya perlu memberikan sokongan penuh kepada NGO yang sanggup turun padang untuk memberikan bantuan.

Saya sendiri mungkin tidak mampu untuk membantu secara langsung kerana batasan waktu dan tenaga. Saya sarankan untuk memberikan bantuan sebanyak yang mungkin, dalam bentuk apa pun, wang mahupun sokongan moral.

Pada saat ini, semua orang memerlukan kata-kata semangat untuk terus melangkah dan menjaga diri masing-masing.

Di saat ini, apa yang sepatutnya di benak kita adalah untuk menyumbang sebanyak-banyaknya. Usah menunding jari, semua bermula daripada kita.

Jadilah ibu bapa yang mengambil berat, jiran yang cakna, guru yang bertimbang rasa dan masyarakat yang prihatin. Setiap amal kebajikan perlu dimulakan dengan niat dan azam, maka laluan-laluan untuk kita menyumbang itu akan datang dan dimudahkan.

Kita tidak tahu umur kita setakat mana. Gunakan masa yang berbaki untuk menjadi manusia yang berguna kepada orang lain.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Burung pipit dan peristiwa Nabi Ibrahim dibakar

Saya akhiri nukilan ini dengan kisah seekor burung pipit dan peristiwa Nabi Ibrahim dibakar.

Sebaik melihat peristiwa tersebut, burung pipit ini terus terbang berulang-alik mencari air. Burung kecil itu menyedut dan mengisi air di dalam paruhnya lalu dilepaskannya ke atas unggun api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Itulah yang dilakukannya berulang-ulang kali, sehinggalah Nabi Ibrahim a.s. dikeluarkan daripada api.

Perbuatan burung kecil itu diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain, lantas ditanya kepada burung kecil itu,

“Mengapakah kamu bersusah-payah berulang-alik mengambil air, sedangkan kamu tahu api besar yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan sedikit air yang kamu siramkan itu?

Lalu dijawab oleh burung kecil, “Walaupun aku tahu aku tidak berupaya memadam api tersebut, namun aku mesti berusaha untuk menegakkan kebenaran atas kemampuan yang terdaya oleh diriku sendiri, Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak! Tapi yang menjadi persoalan, apakah usahaku mencegah kemungkaran.

Kita mungkin tidak mampu untuk menyelesaikan semua masalah. Namun, kita harus memainkan peranan di atas kapasiti kita sebagai ibu bapa, pendidik, penjawat awam dan ahli masyarakat. Allah tidak lihat hasilnya tetapi lihat usaha kita.

Maklumat penulis

Nurul Fatma Aziz @ Awang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Perakaunan, UiTM Puncak Alam, Selangor.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA