Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeKomunitiCikgu Mohd Dhiauddin bangga sertai PBSM, aktif dalam PBSM sejak di bangku...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Cikgu Mohd Dhiauddin bangga sertai PBSM, aktif dalam PBSM sejak di bangku sekolah

Jika kebanyakan individu gemar memilih badan beruniform yang kelihatan segak dengan pakaian seragam masing-masing seperti askar atau polis, lain pula halnya dengan Ketua Guru Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dari Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, Cikgu Mohd Dhiauddin Othman.

Beliau memilih PBSM kerana sudah bergiat aktif dalam pasukan berkenaan ketika masih menuntut di bangku sekolah lagi.

Memandangkan hatinya lebih minat, tertarik dan menjiwai aktiviti yang ada dalam PBSM berbanding pasukan uniform lain, Cikgu Mohd Dhiauddin meneruskan penyertaan sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan mula menjawat jawatan sebagai guru pemimpin PBSM sejak tahun 2008.

Berkongsi serba sedikit mengenai peranan sebagai guru pemimpin PBSM, cikgu yang mengajar subjek Matematik itu berkata, beliau bertanggungjawab dalam mendidik pelajar aktiviti berkaitan PBSM.

“Ia termasuklah memimpin, mengajar, membawa pasukan sekolah menyertai setiap acara yang dianjurkan atau dipertandingkan dalam daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Cikgu Mohd Dhiauddin bersama pasukan PBSM sekolahnya.

“Guru pemimpin seharusnya mendidik pelajar berkaitan disiplin dalam PBSM supaya mereka dapat mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.

“Contohnya, ilmu Bantuan Mula dalam kemalangan sangat berguna. Jika pelajar mengaplikasikan kemahiran berkenaan, banyak manfaat boleh didapati kerana ia dapat mengurangkan kecederaan bertambah serius sekali gus menyelamatkan nyawa,” katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

IKLAN

Raih pelbagai anugerah

Sepanjang menceburi badan beruniform itu, guru yang dilahirkan di Melaka ini pernah meraih beberapa kejayaan termasuklah Naib Johan Pertandingan KAGUM Insitut Perguruan Kebangsaan pada tahun 2008.

Sebagai jurulatih dan pengurus peserta pula, beliau pernah membantu sekolahnya menjadi Johan Kawad Kaki BSMM Daerah Kubang Pasu (12 Tahun Lelaki) pada tahun 2018, Johan Kumpulan Kawad Kaki Antarabangsa (12 Tahun Lelaki) dan Naib Johan Mewarna (12 Tahun Perempuan) 2019.

Cikgu Mohd Dhiauddin juga kini dalam permohonan mendapatkan kelayakan sebagai Jurulatih Skim Lencana Kecekapan Belia & Kanak-Kanak.

IKLAN

Cabaran guru PBSM

Menceritakan mengenai cabaran yang pernah dihadapi sepanjang menceburi PBSM, anak ketiga daripada empat adik beradik itu berkata, kejadian seorang pelajar patah kaki ketika mengadakan latihan lumba lari untuk rumah sukan adalah perkara yang sukar dilupakan.

“Berbekalkan sedikit ilmu yang saya ada, pelajar berkenaan berjaya diselamatkan mengikut prosedur yang sepatutnya sebelum bantuan ambulans sampai.

“Bayangkan sekiranya saya tidak mempunyai ilmu pertolongan cemas, sukar untuk membantu mangsa. Saya juga bergegas ke hospital, menunggu dan memaklumkan kepada waris pelajar mengenai kejadian berkenaan serta memohon maaf di atas kecederaan yang berlaku,” kongsinya.

IKLAN

Cikgu Mohd Dhiauddin bergambar sempena Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Peringkat Daerah Kubang Pasu.

Mengulas mengenai kepentingan menyertai badan beruniform di peringkat sekolah, Cikgu Mohd Dhiauddin berkata, kemahiran yang diperoleh akan memberi nilai tambah kepada pelajar apabila mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau memulakan kerjaya masing-masing.

“Ilmu kepimpinan, kawad kaki, balutan, ikatan, perkhemahan, masakan, kemasyarakatan dan menguruskan organisasi yang perlu diaplikasikan setiap pelajar dalam pasukan PBSM ini sebenarnya sangat berguna dalam kehidupan terutama membabitkan situasi kecemasan yang memerlukan pertolongan cemas.

“Oleh itu, bagi pelajar yang berminat menceburi PBSM, saya sarankan supaya mereka teruskan minat berkenaan sehingga ke peringkat tertinggi kerana ilmu yang bakal diperoleh sangat luas dan diperlukan walau di mana kita berada,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Profil
Nama Penuh: Mohd Dhiauddin Othman
Tarikh Lahir: 29 April 1980
Tempat Lahir: Kem Terendak, Melaka
Kedudukan dalam keluarga : Anak ketiga daripada empat orang adik beradik
Status: Berkahwin
Kelulusan: Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan)
Nama Sekolah: Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah
Jawatan yang disandang di sekolah: Ketua Guru PBSM
Jawatan yang pernah disandang di peringkat daerah: Ketua Guru PBSM sekolah rendah daerah Kubang Pasu
Subjek yang diajar di sekolah : Matematik, Sejarah dan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan
Pengalaman mengajar : 14 tahun
Pencapaian/Anugerah yang pernah diraih : 1996 Naib Johan Pertandingan Pertolongan Cemas Kebangsaan
2008 Naib Johan Pertandingan KAGUM Insitut Perguruan Kebangsaan
2018 Johan Kawad Kaki Daerah Kubang Pasu 12 Tahun Lelaki (Jurulatih/Pengurus Peserta)
2019 Naib Johan Mewarna 12 Tahun Perempuan (Jurulatih/Pengurus Peserta)
2019 Johan Kumpulan Kawad Kaki Antarabangsa 12 Lelaki (Jurulatih/Pengurus Peserta)
2021 Jurulatih Skim Lencana Kecekapan Belia & Kanak-kanak (Dalam Permohonan)

Artikel Berkaitan

MESTI BACA