Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZCabaran mahasiswa dan persediaan graduan era digital
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Cabaran mahasiswa dan persediaan graduan era digital

Era digital membawa bersama cabaran yang tidak pernah dihadapi oleh era lain sebelumnya.

Kepantasan penyampaian maklumat dan kemudahan melaksanakan pelbagai aspek kehidupan secara dalam talian telah menghadirkan pelbagai cabaran dan peluang kepada tamadun manusia ketika ini.

Walaupun komputer mula digunakan sejak tahun 1940-an, dengan sistem komputer ENIAC di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, namun impaknya kepada masyarakat belum dirasai sehinggalah peningkatan populariti komputer peribadi sekitar 1970-an.

Internet juga dicipta pada 1980-an dengan hasil penyelidikan ketenteraan mengenai rangkaian komputer, namun impaknya kepada kehidupan seharian manusia hanya benar-benar dirasai di awal kurun ke-21.

Perkembangan ini antara lainnya dibantu dengan kemunculan telefon pintar dan kemajuan teknologi komunikasi yang membolehkan hampir segenap urusan aspek kehidupan kita dijadikan lebih pantas dan mudah.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Apa sahaja boleh didapati dan diuruskan di telapak tangan masing-masing, pada bila-bila masa.

Adakah revolusi komunikasi yang memberi kesan kepada cara manusia berhubung ini sesuatu yang bermanfaat atau memudaratkan terutamanya kepada golongan pelajar dan mahasiswa?

Apakah yang boleh dilakukan oleh mahasiswa untuk mempersiapkan dirinya menghadapi era digital ini?

Apakah benar masa depan mereka lebih muram, terutamanya apabila ditambah dengan malapetaka pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia?

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri, 46, mengakui cabaran untuk generasi milenial ini tidak boleh dipandang ringan.

“Pada masa yang sama, terdapat banyak lagi ruang untuk mahasiswa terokai bagi mempersiapkan mereka untk masa hadapan yang penuh dengan ketidaktentuan,” ujarnya yang juga merupakan Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, UM.

Dr Nahrizul Adib

Peluang untuk berinteraksi dan belajar secara langsung dengan pelbagai lapisan pengguna internet, dari saintis peringkat dunia, sehinggalah rakan sebaya dari negara yang beribu batu jauhnya, semuanya dapat dilakukan.

IKLAN

“Perkongsian idea dan perbincangan dapat dilakukan dalam masa sebenar (real-time), tanpa mengira sempadan geopolitik dan kekangan masa,” sambungnya lagi.

Walaupun demikian, Dr Nahrizul Adib mengingatkan mahasiswa agar tidak terlalu terburu-buru dalam mengejar cita-cita dan kemahuan, dek kepantasan sistem komunikasi ini.

“Sebagai belia, jadikan tempoh masa di kampus untuk mempersiapkan diri menjadi seorang dewasa yang bakal menjadi ahli masyarakat kelak.

“Asah bakat dan gilap sahsiah diri melalui interaksi yang positif, selain tidak lupa memenuhi tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa,” katanya lagi.

Media sosial, yang diakui menjadi sebahagian daripada kehidupan mahasiswa seharusnya digunakan sebagai medium yang membantu pembangunan diri dan bukannya tempat untuk melarikan diri daripada tanggungjawab serta realiti kehidupan.

“Persekitaran ekosistem pembelajaran mahasiswa di era digital ini diakui lebih ‘berat’ berbanding sebelumnya, terutamanya dengan penggunaan online learning yang meluas disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Mahasiswa, tidak dapat tidak, perlu tangkas menerima perubahan, dan melatih diri untuk menjadi kuat dengan tekanan dan cabaran bentuk baharu di era digital ini,” tutur Dr Nahrizul Adib lagi.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

IKLAN

Mengakhiri temu bual, beliau menyarankan beberapa panduan yang boleh digunakan mahasiswa untuk menangani cabaran-cabaran bergelar mahasiswa di era digital ini.
Antaranya, mahasiswa perlu mempunyai visi dan cita-cita yang jelas.

“Apabila mempunyai sudut pandang yang jelas mengenai kejayaan yang diingini, seorang mahasiswa tidak akan mudah terganggu dengan pelbagai tarikan yang ditawarkan oleh aplikasi di peranti masing-masing.

“Visi ini juga akan menjadikan mahasiswa itu lebih berdisiplin dengan masa dan tidak menghabiskannya untuk perkara yang tidak mendokong penghasilan cita-citanya kelak.
“Akhir sekali, latih diri untuk faham mengenai keperluan dan berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap apa yang dilakukan, jika ingin mendapatkan sesuatu. Bak kata pepatah, yang bulat tidak akan datang bergolek, dan yang pipih tidak akan datang melayang,” ujarnya.

Pantas ambil peluang

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Politeknik Nilai, Negeri Sembilan, Azizul Azrin Mahmor, 45, pula sependapat yang graduan seharusnya tangkas mencipta dan mengambil peluang sedia ada, termasuklah yang disediakan kerajaan.

“Walaupun mungkin agak tertekan dengan keperluan untuk melengkapkan diri mengharungi dunia pekerjaan, graduan seharusnya tidak mengambil mudah terhadap insentif peningkatan kebolehpasaran, seperti Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (Penjana KPT-CAP).

“Usaha ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan kaya dengan kemahiran yang diperlukan dan mengurangkan pengangguran,” katanya.

Azizul Azrin

Majikan kini tidak lagi memandang kecemerlangan akademik semata-mata dalam membuat pemilihan, tetapi juga melihat kepada nilai tambah yang ada pada diri graduan dari segi pengetahuan dan kemahiran tertentu.

Menurutnya lagi, graduan perlu terus komited dalam melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran digital, selari dengan kehendak industri era digital dan Revolusi Industri 4.0.

IKLAN

“Majikan yang memiliki pekerja mahir dalam bidang digital sudah tentu mempunyai kelebihan dalam meneruskan kelangsungan perniagaan terutama ketika pandemik.

“Ketika banyak syarikat gulung tikar kerana tiada permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan, perubahan besar yang dilaksanakan ke atas kaedah dan mekanisme pengurusan serta pemasaran berlandaskan digital mampu menjana pendapatan yang baik dan berterusan.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

“Jelas kini selain kemahiran berkomunikasi, kemahiran digital adalah merupakan satu bentuk kemahiran insaniah yang perlu ada di dalam resume graduan.

“Dan tidak menjadi kejanggalan andai iklan pekerjaan pada masa kini menuntut kemahiran digital sebagai elemen nombor satu yang wajib ada pada setiap calon,” kata Azizul Azrin lagi.

Antara kemahiran digital yang dicadangkan termasuklah pemasaran digital, pengaturcaraan, copywriting, pembangunan perisian dan perundingan pemasaran digital.

“Graduan yang memiliki kemahiran ini bukan sahaja mempunyai kelebihan dalam mendapatkan pekerjaan, malah ada antara mereka yang mampu menjana pendapatan yang lumayan dengan menubuh syarikat yang bersifat global dan kekal bersaing dalam industri.

“Graduan yang dilengkapi dengan kemahiran digital dilihat berbeza dengan mereka yang tidak diberi pendedahan.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

“Pandangan mereka tentunya lebih luas dan dilihat lebih cenderung untuk membangunkan syarikat sendiri daripada bekerja dengan orang lain.

“Sedikit sebanyak ini bakal menyelesaikan masalah pengangguran yang melanda negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA