HomeKomunitiAnimasi, industri kreatif penuh kreativiti
164,827FansLike
4,964FollowersFollow
603FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Animasi, industri kreatif penuh kreativiti

“Dipertanggungjawabkan untuk mengarah siri animasi Didi & Friends pada tahun 2019, ia bukanlah perkara yang mudah walaupun sebelum ini saya pernah mengarah siri animas lain kerana selain berisiko, matlamat dan tujuannya (setiap siri animasi) juga adalah berbeza.”

Itulah reaksi Pengarah siri animasi Didi & Friends, Khairul Ammar Jamal, apabila ditanya mengenai kerjayanya sebagai pengarah cerita animasi.

Dia yang telah memulakan kerjaya dalam bidang animasi sejak 2004 turut berkongsi cerita di mana katanya, ‘beban’ yang dipikulnya sebagai seorang pengarah bukanlah ringan kerana siri animasi bukanlah seperti drama ataupun filem yang berurusan dengan manusia.

Tambahnya lagi, menjadi pengarah siri animasi dengan pengarah drama mahupun filem pastinya berbeza.

“Sesiapa yang terlibat dalam dunia animasi, perlu mempunyai ‘otak kartun’ bagi menghidupkan siri animasi yang diarahkannya.

“Bukan itu sahaja malah ia juga menuntut seseorang itu berkeyakinan tinggi.

“Yang pasti industri kreatif sememangnya memerlukan individu yang penuh dengan kreativiti,” ulasnya.

IKLAN

Selain Pengarah Didi & Friends, Pak Atan juga merupakan watak yang dibawakan oleh Khairul Ammar.

Bercerita lanjut kerjayanya sebagai seorang pengarah, Khairul Ammar berkata, selain mengarah dia juga merupakan seorang penulis skrip, penulis lirik lagu dan juga individu yang menentukan konsep.

Pada masa sama dia juga merupakan pelakon suara latar Pak Atan.

Nampaknya Khairul Ammar, begitu komited dengan kerjayanya hinggakan mampu memikul pelbagai tanggungjawab selain mengarah.

IKLAN

Mengulas lanjut mengenai pendidikan untuk menjadi seorang pengarah, jelas Khairul Ammar, buat masa ini tidak ada mana-mana institusi yang menawarkan kursus dalam bidang pengarahan.

Bagaimanapun, mereka yang berminat boleh mengikuti kursus di bawah fakulti seni atau seumpamanya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Limkokwing, Kolej Komuniti, dan Kolej The One Academy.

Tambah Khairul Ammar, untuk mereka yang berminat dalam bidang animasi pula tidak menjadi masalah kerana hari ini banyak insititusi yang menawarkan kursus-kursus berkaitan animasi.

“Hari ini dapat dilihat banyak institusi yang menawarkan kursus-kursus seni kreatif dan di bawah bidang ini terdapat pelbagai kursus yang boleh diikuti sekiranya mereka berminat dalam bidang animasi mahupun pelakon suara latar.

IKLAN

“Jika dilihat pada permintaan industri kreatif hari ini, masih banyak ruang yang boleh diterokai dan ia pastinya menjanjikan keseronokkan dan pengalaman yang tidak ternilai.

“Yang penting, minat dan kesungguhan mesti ada malah dua kriteria ini tidak hanya untuk bidang pengarahan, pelakon suara latar dan animasi tetapi dalam apa juga bidang yang ingin diceburi,” ujarnya lagi.

Khairul Ammar meminjamkan suaranya untuk watak Pak Atan.

Berbicara lanjut mengenai bidang animasi, Khairul Ammar berkata, dirinya amat bertuah kerana pengajiannya dalam bidang Sains Komputer telah menjadikan dirinya seperti hari ini.

Mengakui animasi satu bidang yang menyeronokkan, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini menjelaskan tanpa kreativiti segala yang ingin dilakukan pasti tidak menjadi dan ia akan menjadi sukar.

Hari ini dengan penggunaan teknologi digital yang canggih, segala kerja animasi dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat seterusnya mampu menjadikan sesiapa sahaja yang berminat dalam industri ini berjaya.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA