Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeKomunitiAmalan membuat keputusan dalam kalangan pengetua dan guru besar, Cikgu Osman kongsi...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Amalan membuat keputusan dalam kalangan pengetua dan guru besar, Cikgu Osman kongsi tipnya!

“18 Februari lalu, genaplah setahun saya menjawat jawatan sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Segali, Simunjan, Sarawak.

“Pelbagai kenangan manis dan pahit saya lalui sepanjang memegang tampuk tertinggi ini di sekolah. Semuanya mendewasakan saya dan ia akan dijadikan pengalaman bermakna untuk masa akan datang,” kata Cikgu  Osman Zaini.

Kerana pengalaman yang mahal itu, Cikgu Osman tampil dengan perkongsian yang cukup menarik untuk dijadikan panduan buat guru-guru yang sedang dan bakal bergelar guru besar dan juga pengetua.

“Saya menulisnya daripada hati. Semoga berguna buat semua,” ujarnya.

Terdahulu, GPSBestari pernah menyiarkan kisah perjuangannya sebagai guru besar menerusi artikel ‘Baru berusia 32 tahun, Osman kini guru besar termuda di Malaysia. Rezeki dan tahniah cikgu!’

Artikel tersebut mendapat ribuan perkongsian, komen dan tanda suka daripada warga maya.

Rata-ratanya terinsipirasi dengan perjalanan hidup Cikgu Osman yang sudah menjawat jawatan tertinggi itu pada usia yang masih muda.

*****

Aturan hidup masyarakat abad kini semakin mencabar. Masyarakat hari ini adalah masyarakat yang berorganisasi, yakni masyarakat yang tersusun dan berperaturan.

Manusia dilahirkan di dalam organisasi, menerima pelajaran di dalam organisasi dan kebanyakan daripada masa dihabiskan di dalam organisasi seperti di rumah, sekolah, jabatan, persatuan dan sebagainya.

Oleh kerana masyarakat moden pada hari ini lebih mengutamakan rasionalisasi, keberkesanan dan prestasi, maka peranan organisasi semakin kritikal dan mencabar.

Justeru, kaedah mengkordinasikan kegiatan organisasi manusia haruslah di tentukan dan disalurkan melalui kepimpinan atau pengurusan yang berkesan.

Pada era globalisasi kini, pendidikan di Malaysia semakin mencabar dan sedang bergerak seiring negara maju ke arah globalisasi pendidikan.

Peranan dan tugas guru amatlah besar dan luas. Pemimpin sekolah adalah agen utama untuk memastikan perjalanan sekolah sentiasa dalam laluan kejayaan. Salah satu tugas penting pengurus dalam melaksanakan fungsi pengurusan ialah pembuatan keputusan.

Pengetua atau Guru Besar berhadapan dengan pelbagai situasi pada setiap hari yang memerlukan keputusan dibuat.

Keputusan adalah satu pilihan daripada pelbagai alternatif set tindakan untuk berhadapan dengan masalah.

Masalah pula adalah perbezaan antara situasi sebenar dengan situasi yang dikehendaki.  Jika situasi sebenar adalah sama dengan situasi yang dikehendaki, maka organisasi tidak menghadapi masalah.

Salah satu tugas penting pengurus (Pengetua atau Guru Besar) dalam melaksanakan fungsi pengurusan ialah membuat keputusan.

Pengurus berhadapan dengan pelbagai situasi pada setiap hari yang memerlukan keputusan dibuat. Keputusan adalah satu pilihan daripada pelbagai alternatif set tindakan untuk berhadapan dengan masalah. Masalah pula adalah perbezaan antara situasi sebenar dengan situasi yang dikehendaki.

Jika situasi sebenar adalah sama dengan situasi yang dikehendaki, maka organisasi tidak menghadapi masalah.  Masalah utama para pengurus ialah ketidakcekapan prestasi pekerja, unit, jabatan, bahagian dan organisasi. Masalah ini terjadi apabila prestasi sebenar tidak sama ataupun kurang dengan prestasi yang dikehendaki.

Pengetua atau Guru Besar sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam membuat keputusan.

Jika kita fikirkan bersama, boleh dinyatakan di sini bahawa setiap apa jua keputusan diputuskan dan diarahkan oleh Pengetua atau Guru Besar mempunyai signifikannya sendiri.

Secara lahiriahnya kita sedar bahawa sebelum membuat sesuatu keputusan banyak aspek yang perlu diambil kira. Contohnya perlu mengambil kira atmosfera semasa, emosi, tujuan, impak sebelum dan selepas, kepentingan dan sebagainya.

IKLAN

Perkara sebeginilah yang berlegar-legar dan menjadi dilema bagi para Pengetua atau Guru Besar semasa mempertimbangkan sesuatu keputusan. Ini disokong oleh Samsudin Wahab (2005), menyatakan antara ciri-ciri atau perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pentadbir apabila membuat keputusan ialah keputusan tersebut perlu diputuskan oleh seseorang yang benar-benar layak serta sesuai dengan jawatannya dan keputusan itu tidak bertentangan dengan dasar organisasi serta perlu menyokong pencapaian matlamat organisasi.

Selain itu, untuk mencapai keputusan efektif memerlukan masa yang mencukupi namun tidak bermakna boleh ditangguhkan.

Dalam membincangkan hal ini, empat aspek utama perlu dititikberatkan iaitu keadaan

1) Emosi

2) Kesediaan mengambil risiko

3) Penerimaan kritikan

4) Faktor-faktor membuat keputusan

Keempat-empat aspek ini sememangnya amat penting. Aspek-aspek inilah yang dapat membentuk dan memperlihatkan kematangan kepimpinan dalam membuat keputusan dalam kalangan Pengetua atau Guru Besar

Emosi merupakan faktor yang amat penting. Dalam apa-apa jua perkara, faktor emosi amat diutamakan. Ia mudah sahaja, jika emosi sentiasa dalam keadaan yang stabil, segala perjalanan kerja dan aktiviti akan berjalan dengan lancar.

Emosi terbahagi kepada dua iaitu emosi positif dan emosi negatif. Untuk melancarkan pengurusan dan pentadbiran serta melicinkan perjalanan proses pembelajaran dan pengajaran, Pengetua atau Guru Besar haruslah menjadi orang pertama yang mempunyai emosi yang positif.

Contohnya dalam situasi guru yang lewat hadir atau tidak dapat hadir bertugas. Sebagai seorang pemimpin sekolah, mereka haruslah sentiasa dalam keadaan emosi yang positif. Pengetua atau Guru Besar haruslah mendengar dahulu permasalahan mereka dan baharulah dapat membuat keputusan yang membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

Apabila membuat keputusan, pengurus perlu melalui beberapa langkah supaya keputusan yang dibuat adalah baik dan tepat.

Oleh itu, pentadbir perlu mempunyai kemahiran membuat keputusan kerana setiap keputusan mempunyai impak ke atas mereka yang berada di bawah kepimpinannya. Keupayaan seorang pentadbir membuat keputusan yang betul dan tepat boleh menjadi ukuran keberkesanannya sebagai pemimpin organisasi.

Keputusan silap yang dibuat oleh pentadbir tidak akan meningkatkan pencapaian organisasi.

IKLAN

Seterusnya adalah kesediaan mengambil risiko. Umumnya kita mengetahui bahawa tahap penglibatan guru dalam membuat keputusan masih rendah dan tidak berani membuat keputusan.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada faktor tersebut ialah pentadbir takut untuk mengambil risiko. Setiap perkara yang kita lakukan sememangnya akan memberi risiko kepada kita.

Selepas seseorang individu membuat keputusan, antara kesannya ialah kekesalan atau kepuasan hati.

Sagi dan Friedland (2007) membuktikan seseorang akan menyesal sehubungan dengan bagaimana keputusan telah dibuat, dan tahap kekesalannya adalah bergantung kepada bilangan pilihan yang ada semasa proses membuat keputusan.

Kajian Sagi dan Friedland ini menyimpulkan individu berasa menyesal kerana ia merasakan boleh membuat keputusan yang lebih baik dengan meneliti lebih banyak maklumat dan menimbangkan pro dan kontra bagi setiap pilihan.

Inilah antara contoh risiko yang terpaksa di tanggung oleh Pengetua atau Guru Besar semasa membuat keputusan. Baik dan buruk sesuatu keputusan adalah tanggungjawab yang harus dipikul dan dijadikan risiko.

Ini bermakna, Pengetua atau Guru Besar haruslah mempunyai satu mentaliti yang kuat berkaitan risiko ini iaitu berani menghadapi risiko sama ada memberi impak yang positif atau negatif.

Penerimaan kritikan juga merupakan salah satu elemen yang penting. Pengetua atau Guru Besar haruslah memainkan peranan yang penting dan menunjukkan satu contoh sebagai “role model” dalam membuat keputusan.

Umum kita ketahui bahawa, setiap tindakan dan kata-kata dari seseorang sama ada orang biasa atau kenamaan akan mendapat kritikan.

Dalam menerima kritikan ini dalam skop pendidikan, Pengetua atau Guru Besar haruslah bersedia dengan respon yang bernas agar dapat meyakinkan para guru dan memberi imej yang positif kepada dirinya sendiri.

Kritikan yang dilontarkan biasanya bersifat menegur ke arah yang lebih baik dan kehadapan. Jelaslah di sini bahawa Guru Besar haruslah bersedia dengan segala kritikan apabila membuat sebarang keputusan.

Secara umumnya, teori membuat keputusan terbahagi kepada dua aliran iaitu normatif dan deskriptif.

Teori normatif menerangkan apakah keputusan yang patut dibuat, manakala teori deskriptif menerangkan bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat.

IKLAN

Daripada teori yang dikemukakan, lahirlah model membuat keputusan yang mampu memahami dan menerangkan sesuatu perkara, isu atau masalah yang dihadapi dalam organisasi.

Di sini dapatlah kita jelaskan bahawa sikap guru yang positif akan ditunjukkan sekiranya diberi peluang untuk terlibat dalam membuat keputusan di sekolah.

Oleh itu, guru-guru perlu diberi peluang yang seimbang dalam proses membuat keputusan dan peluang tidak seharusnya dibatasi dengan kriteria-kriteria tertentu.

Hal ini adalah bagi memastikan keputusan tersebut dapat diterima dan dilaksanakan oleh setiap warga sekolah dengan lebih efektif.

Walaupun guru digalakkan untuk turut melibatkan diri dalam proses membuat keputusan tetapi pengetua tetap mempunyai akauntibiliti dan keputusan terakhir masih di tangannya.

Justeru, galakan pengetua adalah penting memandangkan setiap keputusan yang dibuat akan memberi implikasi kepada warga sekolah khususnya murid dan guru.

Memang tidak dinafikan bahawa banyak halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi dalam mencapai sesuatu kejayaan.

Tiada kejayaan yang akan datang bergolek. Walau apa pun halangan dan cabaran, pastinya akan ada penyelesaian yang positif.

Para pentadbir dan guru haruslah memainkan peranan yang amat penting dalam proses membuat keputusan untuk mencapai objektif budaya kerja dan  pembelajaran dan pengajaran murid yang diidamkan dan sekali gus dapat mencerminkan gaya kepimpinan yang baik oleh pentadbir sekolah.

Secara tuntasnya di sini, bolehlah kita nyatakan bahawa amalan membuat keputusan ini akan memberi impak yang baik dan membawa keuntungan serta peningkatan prestasi organisasi sekolah.

Ini merupakan  salah satu ciri yang penting kepada kepimpinan seseorang Pengetua atau Guru Besar.

Pentadbir dan guru-guru perlu sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar agar menghasilkan modal insan yang berkualiti demi pembangunan negara dan ummah.

Dalam merealisasikan visi dan matlamat yang dirangka dan memupuk budaya sekolah yang cemerlang, warga sekolah sentiasa berhadapan dengan banyak keputusan yang dibuat oleh pentadbir.

***Terima kasih Cikgu Osman Zaini atas perkongsian ini.

– Cikgu Osman Zaini merupakan Guru Besar SK Segali iaitu salah sebuah sekolah luar bandar dalam Daerah Simunjan, Sarawak. Beliau juga merupakan graduan lulusan Sarjana Pendidikan dalam bidang Pengurusan Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman bin Ahmad (2005). Pengurusan Hadari Satu Anjakan Paradigam ke Arah Pembaharuan Pengurusan di Malaysia

Seri Kembangan : Human Resources Academy

Brent Davies & Linda Ellison (2010). Strategi Memasarkan Sekolah.

Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad

Ismail Mustafa (2008). Kepimpinan Pendididikan Teori dan Amalan.

Shah Alam: Penerbitan Seri Kota.

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA