HomeKomuniti400 pelajar daripada golongan B40 mengikuti proses pengajaran selama 600 jam
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

400 pelajar daripada golongan B40 mengikuti proses pengajaran selama 600 jam

KUALA LUMPUR – Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berlangsung sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini, telah menyumbang kepada risiko kemerosotan tahap pembelajaran anak-anak.

Perubahan secara mendadak yang berlaku dalam kehidupan hari ini, secara tidak langsung memberi impak kepada kanak-kanak yang membesar dalam komuniti B40.

Ini kerana, jumlah pendapatan isi keluarga yang tidak mencukupi mengekang mereka untuk mencari inisiatif lain bagi membantu proses pembelajaran anak-anak di rumah.

Namun, dengan kemunculan Deloitte KidsEdu sejak Jun 2019, sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan tahap penguasaan kanak-kanak dalam sesetengah mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik.

Inisiatif yang dilancarkan ini telah memberi perubahan positif kepada 400 orang pelajar daripada golongan B40.

Sehubungan itu, pada Jun 2020, sebanyak RM80,000 telah dikumpulkan bagi memastikan proses pembelajaran secara dalam talian berjalan lancar.

Melalui dana tersebut, sebanyak 120 tablet telah diagihkan kepada kanak-kanak KidsEdu di beberapa kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Antara PPR yang terlibat adalah PPR Desa Mentari, PPR Sri Pantai, dan Sekolah Kanak-kanak Terencat Akal (SKTTA) di Pulau Pinang.

Kesemua tablet yang disumbangkan telah mempunyai kelengkapan data internet 40GB, tajaan Yayasan YTL.

IKLAN

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng, disebabkan rangkaian internet dan peralatan IT bagi kebanyakan keluarga di PPR adalah terhad, maka masalah ini tidak mudah diatasi.

Namun, dengan kerjasama antara Deloitte KidsEdu, pihak NGO, sektor awam, dan swasta, cabaran ini mampu diatasi dengan baik sekali gus dapat mencapai matlamat utama Deloitte KidsEdu.

Oleh itu, dengan bantuan tablet-tablet ini, Deloitte KidsEdu mampu melancarkan kelas mingguan secara dalam talian dengan sepenuhnya menggunakan aplikasi Zoom.

Jika dahulu proses pengajaran dikendalikan secara fizikal, namun dengan pertukaran cara pengajaran melalui Zoom ini mampu memberi peluang kepada para pelajar lain di mana kelas-kelas ini tidak lagi terhad sekitar Lembah Klang sahaja.

IKLAN

Susulan itu juga, bermula Mac lalu, hasil kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan, Sarawak, seramai 250 pelajar dari kawasan itu berpeluang mengikuti kelas yang dilancarkan oleh Deloitte KidsEdu.

“Peningkatan pelajar dari 100 ke 400 orang dengan 60 orang guru sukarelawan yang melancarkan 600 jam sesi pengajaran, memberi kegembiraan kepada kami.

“Keadaan pada masa ini telah membuka peluang kepada kami untuk melakukan apa sahaja usaha demi memastikan manfaat dapat dirasai oleh mereka yang tinggal di luar Lembah Klang,” ujar Wing Peng.

Menurut Presiden Pengasas, Institute for Democracy and Ecomomic Affairs (IDEAS), Tunku Zain Al- Abidin Tuanku Muhriz, melalui program ini, hubungan erat para sukarelawan dan kanak-kanak yang terjalin tanpa sengaja mampu menjadikan program ini berjalan dengan baik kerana keakraban mampu melahirkan perasaan ikhlas sekali gus mengukuhkan lagi komitmen mereka dalam menjalankan tugas.

“Pada masa ini, selain pembelajaran secara formal sama ada bagi subjek bahasa, Matematik atau Sains, mereka juga terdedah dengan perbezaan budaya, pandangan dunia, agama, bahasa dan kawasan geografi.

IKLAN

“Ini merupakan cara kami mewujudkan empati, meningkatkan kesedaran dalam diri mereka mengenai isu-isu yang dialami oleh masyarakat di dunia sekali gus mewujudkan kerjasama antara anak muda walaupun secara dalam talian,” tambah Tunku Zain.

Untuk itu, program ini turut diperkenalkan kepada 20 orang pelajar dari MPKK Taman Tun Sardon, Bukit Gelugor dan kini telah mencecah 60 orang pelajar.

Terbaharu Deloitte Pulau Pinang berjaya mengumpul dana berjumlah RM26,000 bagi membeli 20 komputer untuk disumbangkan kepada program Malaysian Semiconductor Industry Association’s Care bagi kemudahan para pelajar yang memerlukan.

Naib Presiden, SKKTA dan Presiden Malaysian Semiconductor Industry Association, Datuk Seri Wong Siew Hai menyatakan beliau sangat bersyukur dengan usaha dan semangat para guru dalam mendidik murid-murid ini.

Sumbangan 20 tablet daripada Deloitte Malaysia pada tahun lalu telah membolehkan proses pembelajaran berjalan dengan lancar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Program Deloitte KidsEdu ini sangat bermakna untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Ramadan lalu, Deloitte turut menganjurkan Ramadan Challenge, kempen penjanaan dana di mana mereka telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM40,000 dan sebahagian dana itu diagihkan kepada 100 keluarga KidsEdu dari PRR Desa Mentari dan PPR Sri Pantai bagi tujuan menaiktaraf teknologi atau menambahkan nilai pelan data manakala baki dana akan digunakan untuk pembelian tablet IT bagi keperluan pelajar.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA