Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeKomuniti10 tip penting sepanjang PdPR berlangsung, Guru bahasa Arab kongsi apa yang...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

10 tip penting sepanjang PdPR berlangsung, Guru bahasa Arab kongsi apa yang patut kita lakukan!

“Saya seorang isteri, ibu, guru, penulis, dan sukarelawan lapangan. Diakui, sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berlangsung, kadang-kadang saya juga ‘tewas’ dalam melalui saat-saat ini.

“Walau bagaimanapun, apa yang berlaku ini, saya lihat dan pandang daripada sudut positif. Untuk kekal positif, saya kongsikan 10 tip yang diamalkan ketika tempoh PdPR agar semua pihak dapat meringankan sedikit tekanan yang dihadapi,” kata Guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gebu, Penaga, Pulau Pinang, Ustazah Mawaddah Mohd Nor.

Mari ikuti perkongsian Ustazah Mawaddah menerusi laman Facebooknya, baru-baru ini.

*****

Perjuangan masih panjang

Mak-mak, ibu-ibu, mama-mama dan mommy-mommy sekalian,
PdPR dijangka berterusan sehingga September.
Kita semua kena kuat!!
Perlu bertenang.
Jangan serabutkan fikiran.
Masa untuk berjuang kita masih panjang.
Tarik nafas dan sebut Allahu Akbar!!
Allah Maha Besar. Allahlah Maha Berkuasa mengatur segala putaran kehidupan manusia.

Saya mahu berkongsi beberapa tip yang sering saya amalkan sepanjang tempoh PdPR berlangsung.
Bukanlah mahu menunjukkan kehebatan. Hakikatnya, saya juga kadang-kadang tewas melalui saat ini.
Namun percayalah, sedikit sebanyak persediaan yang kita lakukan sebenarnya mampu meringankan tekanan mental dan fizikal kita sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, isteri, dan juga wanita bekerjaya.

1) Rumah siap diurus pada malam menjelang waktu tidur. Kemas rumah termasuk dapur, ruang tamu, dan tempat belajar anak-anak. Sapu dan moop supaya bersih dan selesa dipijak keesokan harinya. Ajaklah anak-anak bersama membantu menguruskan hal ini. Kebersamaan itu sangat penting agar bebannya tidak terletak pada satu bahu sahaja.

2) Tidur awal supaya esok pagi boleh bangun lebih awal berbanding anak-anak. Bangun dan solatlah dua rakaat sebelum azan Subuh berkumandang. Jangan terlalu memikirkan hal makan anak-anak sahaja. Utamakan kefarduan paling utama iaitu solat. Makanlah pagi dengan sarapan yang mudah dan sekadarnya sahaja. Jangan meletihkan diri membuat pelbagai juadah yang memenatkan kerana energy kita masih banyak diperlukan meneruskan agenda kehidupan sepanjang hari. Simpan energy dan jaga emosi sejak dari awal pagi. Saya biasanya memilih menu roti atau nasi goreng simple sahaja. Kadang-kadang, saya minta suami belikan saja di kedai berhampiran rumah juadah sarapan pagi.

IKLAN

3) Sebelum anak-anak masuk tidur, telefon kami collect sebelum jam 9 malam. Anak-anak perlu tidur dalam keadaan zon bebas phone. Mana-mana kerja sekolah yang belum siap, sambung saja esok pagi. Tiada aktiviti menonton You Tube, Netflix atau drama televisyen pada waktu malam. Malam adalah waktu rehat secara total.

4) Set di minda anak-anak semuanya wajib bangun solat Subuh berjemaah. Paling tidak, wajib solat Subuh. Pesan kepada anak sebelum mereka masuk tidur.
Anak paling kecil iaitu Darjah Satu setiap malam saya bisikkan perlahan di telinganya, “Esok kita bangun awal, naa. Bangun, mandi dan solat. Lepas tu, kita makan dan buat kerja sekolah sama-sama.”
Jadi, ketika mengejutkan anak-anak bangkit pagi, mereka akan mudah bangkit.
Saya menetapkan giliran anak-anak masuk ke bilik air. Jika hari ini kakak bangun dulu, maka esok giliran kak ngah. Ada tolak ansur di situ.

IKLAN

Sebahagian hasil kerja murid-murid Ustazah Mawaddah ketika sesi kelas PdPR, baru-baru ini.

5) Jam 8 pagi semuanya dimestikan berada di ruangan belajar di luar bilik tidur. Tiada siapa dibenarkan berada dalam bilik tidur sepanjang PdPR berlangsung. Semuanya berada di luar agar mudah dipantau. Sama ada berada di meja studi masing-masing atau berada di mana-mana lokasi yang dirasakan selesa. Berikan kebebasan dengan kawalan.

6) Memandangkan jam 8 pagi, anak-anak sudah berada di ruangan belajar, maka mereka perlu bersarapan sebelum jam 8 pagi. Pukul 8 pagi ke atas, saya tutup dapur. Jam 10 pagi barulah dibuka semula. Jam 10 hingga 10.30 pagi adalah waktu rehat. Pada awalnya agak kelam kabut juga. Namun, lama kelamaan, anak-anak mampu mengikut peraturan yang saya sediakan. Kadang-kadang anak ke dapur, saya tidak melarang. Mereka minum air. Makan biskut atau kuih. Maklum sajalah, anak-anak sedang membesar. Lapar, lapar, dan lapar. Cuma peraturan tetaplah peraturan.

7) Anak-anak hanya berhenti belajar mengikut jadual PdPR yang guru mereka berikan. Anak-anak saya tepat jam 1 tengah hari, semuanya bersorak gembira kerana sesi pembelajaran hari berkenaan tamat. Sebiji seperti perangai anak-anak murid saya di sekolah.

8) Saat mereka membuat tugasan masing-masing, saya akan menyelit memasak di dapur. Kelebihan saya, saya tidak perlu menguruskan anak-anak kecil yang masih dalam dukungan. Anak-anak saya tiga orang di peringkat sekolah rendah. Dan seorang di peringkat menengah. Maka, agak mudah mereka menurut arahan.

IKLAN

9) Marah-marah itu lumrah. Namun, suami sering memberi nasihat supaya jangan terlalu marahkan mereka. Suruh dan terapkan disiplin. Emosi anak-anak perlu dijaga.
Kerja sekolah yang tidak sempat dihabiskan setiap hari, saya tidak menjadikan tekanan dan isu menekan anak-anak. Cukuplah apabila mereka membuat tugasan dan hadir ke kelas online atau offline setiap hari tanpa gagal. Kerja-kerja sekolah yang tidak sempat siap, saya minta mereka siapkan pada ruang masa selepas waktu PdPR. Tetapi, rata-rata kerja-kerja itu banyak juga terbengkalai. Namun, saya sudah berpuas hati jika mereka membuat kerja walaupun tidak sempat siap.

10) Dua hari waktu cuti hujung minggu, saya dan suami memberikan kebebasan anak-anak beraktiviti sendiri. Anak-anak yang masih kecil saya dan suami pandu dan pantau. Waktu santai mereka adalah hak mereka yang tidak boleh diganggu-gugat.

Saya dan suami bukanlah contoh teladan ibu bapa yang hebat. Tetapi kami berkongsi tip yang saya dan suami amalkan ini agar dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa yang belum lagi mendapat rentak yang harmoni untuk menguruskan anak-anak sepanjang PdPR.

Semoga sedikit sebanyak ada kebaikannya. Jom, kita tenang-tenang ajaa…

[Saya seorang isteri, ibu, guru KPM, penulis dan sukarelawan lapangan.]

Sumber: Facebook Mawaddah MN

Artikel Berkaitan

MESTI BACA