Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZRahsia kejayaan Uyaina Arshad sebagai pengacara, para pelajar mohon hadam dan fahamkan
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Rahsia kejayaan Uyaina Arshad sebagai pengacara, para pelajar mohon hadam dan fahamkan

“Tidak semestinya wajib miliki ijazah dalam jurusan komunikasi sekiranya mahu menjadi seorang pengacara.

“Hari ini, ramai sahaja artis yang bukan lulusan komunikasi tetapi hebat di pentas pengacaraan. Lihat sahaja Datuk Aznil Nawawi dan Lisa Surihani, masing-masing lulusan Ijazah Sarjana Ekonomi dan Ijazah Undang-Undang tetapi kini gah dan telah mencipta nama dalam bidang penyiaran,” demikian kata Uyaina Arshad, 29, atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Pelakon dan pengacara popular itu berkata, graduan lulusan komunikasi dianggap  ‘insan bertuah’ kerana sudah dibekalkan dengan pengetahuan asas.

“Tapi, yang bukan lulusan berkenaan, jangan pula berasa rendah diri, masih belum terlambat untuk anda belajar dan mengikuti kelas atau kursus yang berkaitan di luar sana,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Malaya ini lagi.

Berkongsi pula kemahiran yang perlu dimiliki oleh seseorang pelajar jika mahu menjadi  pengacara, Uyaina berkata, perkara pertama yang perlu ada ialah kemahiran berucap.

Baca juga 8 tip mengawal gemuruh di atas pentas

Baca juga Dua dekad ceburi bidang pengacaraan, Ally Iskandar tetap merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu

“Kemahiran berucap ataupun lebih dikenali sebagai pengucapan awam sangat penting terutamanya dari segi penyebaran maklumat, membimbing dan untuk mempengaruhi orang lain.

“Pengucapan awam ini banyak pecahan. Pelajar kena fahami dengan sebaik mungkin. Seperkara lagi, personaliti yang berketerampilan juga turut mempengaruhi kemahiran berucap seseorang. Jadi, penting untuk kita menjaga personaliti,” katanya.

Kemahiran kedua sambungnya, pelajar wajib ada ilmu pengetahuan dalam semua isu.

“Yana kongsikan ini berdasarkan pengalaman sebagai pengacara Wanita Hari Ini (WHI). Di sini, Yana mesti cakna semua elemen seperti isu semasa, hiburan, sukan, politik dan sebagainya.

“Bila kita tahu semua perkara, senanglah untuk berinteraksi dengan panel dan juga penonton. Memang bukan mudah, tapi jika mahu berjaya, anda perlu lakukan pengorbanan dan bersedia bersekang mata untuk belajar semua ini,” kata bekas Juara Pencarian Nona Manis 2015 ini lagi.

Seterusnya, kemahiran penyampaian suara dengan berkesan.

IKLAN

“Suara memainkan peranan penting semasa kita ke udara. Sesi pemanas badan dan vocalization untuk menghasilkan ton, intonasi dan lontaran wajib dipelajari.

“Ini kerana, setiap program yang kita kendalikan adalah berbeza. Ada yang memerlukan nada gembira, serius, sedih dan lain-lain lagi. Macam Yana sendiri, pertama kali bersiaran, ada juga salah dan silap, tapi kita cepat belajar serta anggap itu semua proses pembelajaran,” jelasnya.

Ulas anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak, ini menjadi pengacara kadangkala terikat dengan skrip yang diberikan.

“Tengok jenis program. Jika siaran langsung, pengacara hanya hafal beberapa perkara, selebihnya semula jadi.

“Kalau ikut skrip, kita kena betul-betul faham dan jangan gelabah jika berlaku kesilapan,” jelasnya.

Ikuti kelas

Memandangkan Uyaina bukan graduan komunikasi, beliau mencari alternatif sendiri untuk menjadi seorang pengacara berjaya.

“Pelajar mungkin boleh berguru dengan otai yang ada di Malaysia. Macam Yana sendiri berguru dengan senior iaitu Nurfarahin Jamsari dan Ally Iskandar.

“Kemudian, Yana ikuti kelas, bengkel dan kursus yang berkaitan. Ada juga Yana jadikan YouTube sebagai panduan. Pendek kata, ilmu dalam bidang pengacaraan ini luas dan mudah diperoleh. Tinggal lagi, untuk kita berusaha mendapatkan apa yang kita mahu,” sambungnya yang menggemari aktiviti sukan lasak.

IKLAN

Selain menjadi pengacara Nona, WHI dan bergelar pelakon,  Uyaina seorang model muslimah.

Personaliti cantik ini sememangnya seorang yang petah berbicara dan semakin matang apabila beraksi di depan kamera sehingga berjaya menawan hati penonton.

Mengagumi artis seperti Yuna, Lisa Surihani dan Sharifah Amani, bergelar Juara Pencarian Nona Manis 2015 pastinya membawa tuah buat gadis manis ini apabila ditawar mengendalikan rancangan Nona pada 2016 menggantikan Fouziah Gous.

Uyaina turut mengembangkan bakatnya menjadi seorang pelakon dan telah muncul dalam beberapa drama televisyen antaranya Lelaki Kiriman Tuhan, Perempuan Tanpa Dosa, Curi-Curi Cinta dan Love Elsa.

Akhir sekali, Uyaina menasihatkan kepada semua pelajar yang ingin menjadi pengacara supaya belajar bersungguh-sungguh dan berusaha realisasikan impian.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

IKLAN

“Kalau mahu menjadi seorang pengacara, cari ilmu dan kelas berkaitan bermula sekarang.

“Sekiranya ada program atau pertandingan berkaitan dunia pengacaraan, jangan malu dan takut untuk sertai.

“ Ia mungkin menjadi permulaan untuk mengejar karier dalam pengacaraan dan rezeki tidak pernah salah alamat,” ujarnya.

PROFIL

Nama: Saidatul Naseha Uyaina Arshad

Asal: Kuala Kangsar, Perak

Akademik: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, UM

Pencapaian:

  1. Menceburi dunia seni sejak tahun 2015.
  2. Selain berlakon, beliau juga aktif sebagai pengacara, wartawan penyiaran, model dan usahawan.
  3. Bekas juara Pencarian Nona Manis 2015 dan pemenang pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018.

 

 

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA