HomeGen ZUniversiti disaran tubuh kelab berbasikal, cungkil bakat baharu wakili negara
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Universiti disaran tubuh kelab berbasikal, cungkil bakat baharu wakili negara

Sukan berbasikal kini menjadi sukan pilihan ramai tidak kira di kota atau desa, tua atau muda, orang biasa atau selebriti apatah lagi tatkala sukan lain tidak dapat dilakukan kerana kekangan pandemik Covid-19.

Golongan mahasiswa juga tidak mahu ketinggalan memeriahkan arena sukan tersebut apabila ramai penuntut universiti turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kayuhan anjuran universiti atau persendirian.

Kegiatan aktif mahasiswa dalam sukan berbasikal mendorong mereka untuk mencadangkan kepada universiti bagi menubuhkan kelab berbasikal secara rasmi di peringkat pengajian tinggi supaya ia dapat dijalankan secara lebih berfokus selain mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohammad Hafizulhelmi Mohd Hanafi, 24, yang mula bergiat aktif dalam sukan berbasikal sejak semester satu lagi berkata, penubuhan kelab di peringkat universiti akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mengetengahkan bakat masing-masing.

“Sekiranya universiti mempunyai kelab sendiri, sudah tentu proses pengurusan bakat baharu dalam kalangan pelajar menjadi lebih tersusun malah mahasiswa mungkin mendapat bimbingan atau latihan daripada tenaga pakar.

“Selain itu, pelajar yang mempunyai bakat dalam sukan ini juga dapat dilatih dengan menyertai kejohanan peringkat kebangsaan atau antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi,” katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Mohammad Hafizulhelmi (dua dari kiri) yang mula bergiat aktif dalam sukan berbasikal sejak semester satu pengajian di UPM.

Mohammad Hafizulhelmi memilih bergiat aktif dalam sukan berbasikal jenis mountain bike kerana meminati acara berkenaan selain ia lebih bersesuaian dengan persekitaran kampus dan kampung halamannya di Masjid Tanah, Melaka, yang bersawah padi, kebun, dan jalan berbecak.

IKLAN

Universiti sedia rebat

Berkongsi peranan universiti untuk mahasiswa yang meminati sukan berbasikal ini, pelajar semester akhir Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu itu berkata, UPM menyediakan rebat untuk pembelian basikal melalui Koperasi UPM.

“Pada asasnya rebat ini diberikan untuk menggalakkan penggunaan basikal dalam kalangan mahasiswa bagi memenuhi misi universiti sebagai kampus hijau tetapi dalam masa yang sama, saya lihat inisiatif ini turut membuka peluang kepada kami untuk menggunakannya bagi tujuan riadah atau bersukan.

“Saya sendiri yang dilantik sebagai Duta Basikal Elektrik UPM turut menggunakan rebat berkenaan ketika berada di semester dua pengajian bagi memudahkan pergerakan di dalam kampus dan saya dapati pendekatan itu banyak memberi manfaat kepada pelajar,” tambahnya lagi.

Abdul Khalim Al-Azizi pernah berkayuh sejauh 80 kilometer sepanjang aktif dalam sukan berbasikal jalan raya.

IKLAN

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Abdul Khalim Al-Azizi Syahril, 23, pula berkata, meskipun universiti tidak menyediakan kelab rasmi sukan berbasikal untuk mahasiswa, sukan itu tetap digerakkan melalui inisiatif pelbagai pihak termasuklah kakitangan dan pengurusan tertinggi.

“Canselor UniMAP iaitu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan mantan Naib Canselor, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad juga memberi galakan dengan menganjur serta megambil bahagian dalam acara berbasikal dan kayuhan amal di sekitar Perlis.

“Selain itu, Pusat Sukan UniMAP juga menyediakan perkhidmatan sewaan basikal kepada pelajar yang berminat dengan caj bayaran yang sangat murah bagi menggalakkan aktiviti riadah berbasikal di pusat berkenaan sebelum kedatangan virus Covid-19 ini,” tuturnya yang membelanjakan hampir RM4,000 untuk membeli basikal bagi memenuhi minatnya dalam sukan berkenaan.

Peranan pusat sukan

Atlet berbasikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nur Deena Safia Nor, 22, pula memberitahu walaupun tidak menyertai sebarang kelab sukan di peringkat universiti, dia bertuah kerana mendapat kelebihan daripada Pusat Sukan setiap kali mewakili universiti dalam sebarang kejohanan.

IKLAN

“Sebagai atlet UiTM, pihak sukan akan memberikan elaun makan dan menampung kos pengangkutan serta penginapan saya setiap kali menyertai kejohanan yang dianjurkan di peringkat universiti seperti Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

“Selain itu, saya turut mendapat peralatan seperti tayar dan jersi tetapi memandangkan saya sudah mempunyai penaja sendiri, semua insiatif daripada pihak universiti adalah bonus kepada saya sepanjang bergelar atlet berbasikal UiTM,” sambung anak kepada bekas pelumba berbasikal lebuh raya kebangsaan, Nor Effendy Rosli.

Nur Deena memilih untuk bergiat aktif dalam acara mountain bike.

Berkongsi pembabitannya dalam sukan berbasikal, Nur Deena menjelaskan, memandangkan bapanya atlet dalam sukan berkenaan, sudah tentu dia mula mendapat pendedahan mengenainya sejak kecil lagi.

Berbeza dengan ayahnya yang aktif dalam sukan berbasikal lebuh raya satu ketika dulu, pelajar Diploma Sains Sukan dan Rekreasi (Pengajian) itu memilih untuk bergiat aktif dalam acara basikal gunung (mountain bike).

“Saya memilih acara ini kerana minat dan lebih gemarkan suasana bersukan dalam persekitaran hutan yang lebih tenang tetapi mencabar kemahiran yang ada berbanding berbasikal di jalan raya.

“Bakat yang dimiliki ini bukan saja membuka peluang kepada saya untuk bergelar atlet UiTM tetapi saya juga terpilih sebagai atlet Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Kuala Lumpur dan kini saya menyasarkan untuk pemilihan ke Sukan SEA Vietnam pula,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA