HomeGen ZUiTM FC dan UPM FC teruskan saingan, kelab bola sepak universiti bantu...
168,577FansLike
4,980FollowersFollow
634FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

UiTM FC dan UPM FC teruskan saingan, kelab bola sepak universiti bantu cungkil bakat baharu

Pencarian pemain pelapis dalam sukan bola sepak adalah langkah berterusan yang perlu dilakukan supaya arena sukan negara tidak ketandusan bakat baharu bagi meneruskan saingan dalam pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara.

Penubuhan Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari dilihat menjadi salah satu usaha kerajaan melahirkan bintang muda dalam sukan bola sepak selain inisiatif beberapa kelab bola sepak negeri yang turut mempunyai akademi masing-masing.

Selain itu, penubuhan kelab bola sepak di peringkat universiti juga menjadi satu cara untuk mengasah bakat mahasiswa dalam sukan yang popular di seluruh dunia itu selain mendidik mereka mengenai aspek pengurusan, kepegawaian dan pembangunan atlet.

Di Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah antara salah satu universiti awam (UA) yang memiliki kelab bola sepak sendiri dikenali dengan nama UiTM FC dan berjaya meneruskan saingan sehingga ke peringkat Liga Super.

Bermula dari tahun 2008 sehingga 2012, UiTM FC beraksi di Liga FAM, seterusnya 2013-2019 di Liga Premier dan pada tahun 2020, kelab ini mencipta sejarah apabila layak bermain dalam Liga Super.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UiTM FC kepada GPSBestari, penubuhan kelab bola sepak itu membantu membina ‘self of belonging’ terhadap jenama pasukan bola sepak UiTM dalam kalangan warga universiti, penduduk setempat dan masyarakat secara keseluruhannya kerana ia sangat dekat kepada mereka.

Katanya, kelab itu juga memberi satu kelebihan kepada pelajar yang ingin mengembangkan bakat dalam sukan bola sepak secara serius tetapi dalam masa yang sama dapat meneruskan pembelajaran mereka di UiTM.

Cungkil bakat baharu

IKLAN

“Sejarah juga telah membuktikan bahawa UiTM turut menjadi antara penyumbang kepada nama-nama besar yang pernah mewakili pasukan ternama dan pasukan kebangsaan dalam banyak peringkat umur.

“Antaranya ialah pemain senior kebangsaan iaitu Amiridzwan Taj Tajudin dan Hisyamudin Sha’ari serta empat pemain bawah 23 tahun yang mewakili Malaysia seperti Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Muhammad Amirul Asyraf Ariffin, Adib Zainuddin dan Muhammad Zulkhairi Zulkaply.

“Selain itu, tiga pemain bawah 19 tahun turut menyarung jersi kebangsaan iaitu Muhammad Al Imran Abdul Halim, Muhammad Nizarruddin Jazi dan Zainul Ariffin Ahmad Latifi,” ujarnya.

Sejak awal penubuhan UiTM FC pada 2008, pelbagai kejayaan berjaya dicipta termasuklah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records di atas pencapaian menjadi universiti pertama yang bermain dalam semua liga bola sepak di Malaysia.

Pada 2018, UiTM FC terpilih untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan KELME 2018 Asian Universiti Football Cup di Jinjiang, China di mana UiTM FC berjaya layak ke peringkat suku akhir dan menamatkan kejohanan di tempat ke-7.

IKLAN

Selain UiTM, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga menubuhkan kelab bola sepak sendiri iaitu UPM FC seiring dengan peranan Pusat Sukan yang bertanggungjawab dalam membangun dan membudayakan pelbagai sukan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengurus Pasukannya, Muhammad Al Amin Mustafha, turut bersetuju bahawa penubuhan kelab bola sepak di peringkat universiti dilihat mampu untuk melahirkan pemain bertaraf kebangsaan dan antrabangsa.

“Perkara ini dapat dibuktikan menerusi penganjuran kejohanan liga Bola Sepak IPT yang membuka ruang penyertaan pasukan ke peringkat antarabangsa melalui penganjuran oleh Badan Sukan Universiti Antarabangsa seperti Asean University Sports Council dan Asian University Sports Federation.

“Menerusi penglibatan ini juga, ramai pemain Liga Bola Sepak IPT berjaya menyarung jersi kelab bola sepak negeri mahupun terpilih mewakili pasukan kebangsaan,” ujar beliau.

Perancangan masa depan

UPM FC yang dikenali dengan nama jolokan “The Killer Bees” mula bertanding dalam kejohanan Liga Bola Sepak IPT dan kejohanan Bola Sepak MASUM pada 2010 hingga kini.

IKLAN

Pencapaian menjadi Naib Juara dalam Kejohanan Bola Sepak Liga IPT Divisyen 1 2017 juga telah memberi peluang kepada pasukan UPM FC untuk menyertai kejohanan AUSF Football Cup pada 2018 di Jinjiang, China.

Dalam pada itu, bagi UiTM FC, perancangan akan terus dibuat untuk melahirkan pemain bola sepak profesional untuk negara dan kelab serta dalam masa yang sama mampu melahirkan graduan peringkat sijil, diploma dan ijazah dalam bidang bola sepak.

UiTM FC juga merancang untuk menjadi kelab bola sepak yang berjaya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan dan inovasi serta menjadi rujukan serantau dalam aspek pengurusan, pembangunan dan penyelidikan.

Muhammad Al Amin pula berkata, sebagai pelan jangka masa panjang, pengurusan pasukan UPM FC akan lebih giat untuk mencari bakat-bakat baharu dalam kalangan atlet bagi menjadikan UPM sebagai IPT pilihan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.

“Kami juga akan terus mempromosikan UPM sebagai sebuah IPT yang serius dalam membangunkan sukan bola sepak dari segi aspek kepegawaian dan pembangunan atlet serta membina infrastruktur yang lebih sistematik dan bertaraf kebangsaan seperti pembinaan mini stadium dan penginapan atlet,” tuturnya.

Pencapaian UPM FC dalam Kejohanan Bola Sepak Piala MASUM
2013- Naib Johan
2014 – Johan
2015 – Johan
2016 – Naib Johan

Pencapaian UiTM FC dalam Liga IPT
Johan Piala Sumbangsih 2019
Johan Divisyen 1 2010, 2011, 2017, 2018 dan 2019

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

MESTI BACA