HomeGen ZTeringin bergelar pendidik, graduan UUM impi dapat mengisi kekosongan 18,702 yang diperlukan
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Teringin bergelar pendidik, graduan UUM impi dapat mengisi kekosongan 18,702 yang diperlukan

CHANGLUN – Pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ tidak lama lagi, membawa kegembiraan kepada graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Azwaadiey Rosli.

Ini kerana, Nur Azwaadiey yang mempunyai pengalaman mengajar selama tiga tahun, tidak akan melepaskan peluang untuk mengisi permohonan berkenaan.

Merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kepujian (Teknologi Maklumat) UUM, Nur Azwaadiey berkata, kerjaya guru amat diminati sejak daripada kecil lagi.

“Walaupun saya bukan lulusan pendidikan, namun saya sangat berharap dapat bergelar pendidik satu hari nanti. Ini kerana, kerjaya guru sentiasa ada cabaran dan saya sangat suka pada perkara yang mencabar,” ujarnya.

Kata Mantan Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa TM ini, selepas berakhirnya konvokesyen pada 2019, dia mendapat tawaran mengajar di Pondok Moden Darussalam Changlun, Kedah.

IKLAN

“Saya mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah malah turut mengajar subjek Teknologi Maklumat bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia.

“Alhamdulillah, pelajar dapat menerima apa yang disampaikan dan ramai kalangan mereka mendapat keputusan cemerlang ketika ujian subjek dilakukan,” katanya yang aktif sebagai pemidato, pelakon, penulis skrip dan dokumentasi ketika di UUM.

Terdahulu, KPM akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

IKLAN

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.

Katanya, iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.

Tambah beliau, usaha berkenaan adalah perancangan KPM bawah Pelan Pemulihan Negara yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Dr Radzi berkata, KPM berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran.

IKLAN

“Kekurangan guru bagi negeri-negeri terlibat membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Agama Islam.

“Bagi sekolah rendah, terdapat lima mata pelajaran mengalami kekurangan guru iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi,” katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Ahad.

Biarpun bukan graduan pendidikan, Nur Azwaadiey amat berharap agar KPM dapat membuat pengambilan secara menyeluruh dengan mengambil kira latar belakang pendidikan calon yang bersesuaian dengan kekosongan guru mengikut mata pelajaran yang diperlukan.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA