Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZTambah baik pendidikan automasi dan robotik di Malaysia, IPT lahir tenaga mahir...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Tambah baik pendidikan automasi dan robotik di Malaysia, IPT lahir tenaga mahir untuk masa depan

Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang rancak berlaku di seluruh dunia pada hari ini membawa perubahan kepada ekosistem ekonomi dan industri pekerjaan global yang dilihat berubah kepada pengunaan sistem automasi dan robotik.

Menurut Pengasas dan Pengerusi Eksekutif World Economic Forum (WEF), Klaus Schwab, menerusi bukunya The Fourth Industrial Revolution menjelaskan IR 4.0 mengubah gaya hidup dan cara kita bekerja.

Perubahan ini dipacu tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak Industri 4.0, merangkumi simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisis data dan automasi robot.

Di Malaysia, penerimaan terhadap teknologi automasi serta robotik bagi membantu manusia dalam bidang pekerjaan membabitkan 3d (dull, dirty, dangeous) dan 3h (hot, heavy, hazardous) menunjukkan perkembangan yang agak baik.

Pensyarah Kanan, Unit Automasi dan Robotik, Jabatan Industrial Automasi, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysian France Institute (MFI), Ts Samsi Md Said berkata, Malaysia mempunyai persediaan yang tinggi untuk menggunakan teknologi robotik dalam pelbagai industri.

Ts Samsi Md Said.

Menurut beliau, terdapat banyak syarikat turut membina dan memasang sistem robotik di kilang masing-masing yang mana industri automotif dilihat mempunyai kadar penggunaan robotik yang tinggi.

“Selain itu, potensi dan peluang bidang robotik untuk membantu manusia di rumah menerusi pelbagai produk dan sistem yang dihasilkan juga menunjukkan perkembangan yang positif dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, saya melihat penerimaan dan perkembangan teknologi robotik di Malaysia menunjukkan trend yang positif sejajar dengan IR 4.0 yang berlaku ketika ini,” katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Samsi yang berpengalaman 22 tahun sebagai tenaga pengajar dalam bidang robotik industri berpendapat pendedahan kepada revolusi robotik, teknologi simulasi dan IR 4.0 perlu dibuat dengan lebih luas kepada pelajar kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada peluang kerjaya pada abad ini.

Pelajar jurusan kejuruteraan automasi dan robotik telah didedahkan dengan suasana industri ketika dalam proses pengajian lagi.

Jelasnya, teknologi simulasi perlu digunakan supaya pelajar boleh membina sistem robotik menggunakan teori dipelajari yang turut bertindak sebagai serampang dua mata bagi menguji kemahiran mereka sekali gus menghilangkan ketakutan pada robot yang besar di kilang-kilang seterusnya membiasakan diri dengan penggunaan aplikasi robotik dalam industri.

IKLAN

“Robotik adalah bidang berbagai disiplin. Secara langsung, saya dapati tidak banyak institusi pendidikan di negara ini yang menawarkan ijazah dalam bidang ini sebaliknya lebih menjurus kepada program seperti komputer sains, mekatronik, elektro-mekanikal dan automasi industri.

“Berikutan itu juga, pelajar yang berbeza program pengajian mungkin menghadapi kesukaran dalam menguasai beberapa aspek akademik berkaitan bidang automasi dan robotik ini sekali gus memaksa semua pihak untuk keluar daripada kepakaran masing-masing dan bergabung merentasi bidang bagi mencari lebih banyak ilmu baharu untuk kebaikan bersama,” ujarnya.

IR 4.0 yang berlaku di seluruh dunia ketika ini mempercepatkan lagi penggunaan sistem automasi dan robotik dalam dunia pekerjaan.

Sementara itu, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Automasi dan Robotik) dengan Kepujian dari UniKL MFI, Nur Aiman Najmi Asmawi, 22, berkata, Malaysia masih lagi dalam proses bertukar ke arah IR 4.0 sepenuhnya kerana kebanyakan industri di negara ini masih percaya dengan penggunaan tenaga pekerja berbanding robot.

“Meskipun begitu, saya yakin negara mampu beralih ke arah industri automasi dan robotik di masa akan datang apatah lagi situasi dan keadaan semasa pandemik Covid-19 ini sedikit sebanyak menyebabkan lebih banyak industri memerlukan tenaga robot berbanding manusia untuk menjaga jarak fizikal dan sosial dalam kalangan pekerja,” katanya yang kini berada dalam tahun empat pengajian.

Nur Aiman Najmi Asmawi.

Kemudahan lengkap

Mengulas mengenai kemudahan yang disediakan universiti sepanjang pengajian dalam bidang berkenaan, pelajar semester tujuh itu berkata semuanya mencukupi di UniKL MFI dan potensi pelajar-pelajar hanya terbatas kepada kerajinan mereka saja.

IKLAN

“Ini kerana kemudahan yang lengkap saja tidak mencukupi untuk menjadi pelajar cemerlang, ia perlu disertakan dengan kesungguhan yang tinggi daripada pelajar itu sendiri untuk belajar mengendali mesin dan robot yang berkuasa tinggi ini.

“Jika fasiliti yang lengkap dan kesungguhan yang tinggi ini digabungkan, saya percaya ia akan memberikan hasil yang luar biasa sekali gus melahirkan graduan yang mempunyai peluang pekerjaan cerah dalam bidang ini di masa depan,” tambahnya lagi.

Pelajar jurusan automasi dan robotik mendapat pendedahan mengenai cara mengendalikan robot yang digunakan dalam industri.

Peluang pekerjaan cerah

Pelajar semester lima, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Automasi dan Robotik) dengan Kepujian, UniKL MFI, Nur Anis Athirah Mohamad, 24, pula berkata, pembelajaran yang diterapkan universiti sangat efisien dan menarik kerana mendedahkan mahasiswa dengan perkara yang berlaku dalam industri.

Menurut pelajar yang berasal dari Kedah ini, projek atau ‘case study’ yang diberikan dari semasa ke semasa serta pendedahan dalam industri dapat melatih pelajar untuk menyelesaikan masalah malah tenaga pengajar juga terdiri daripada pensyarah berpengalaman luas dan mempunyai kepakaran tersendiri dalam bidang masing-masing.

Nur Anis Athirah Mohamad.

IKLAN

“Selain belajar mengenai pengendalian robot, sistem automasi dan penggunaan perisian, jurusan ini juga memperkenalkan aspek ‘industrial networking’ yang membolehkan sesuatu alatan dikawal dalam jarak yang jauh serta mempunyai elemen-elemen yang diperlukan dalam IR 4.0 seperti kecerdasan buatan (AI) dan IoT.

“Disebabkan itu juga, saya memilih untuk mengikuti jurusan ini yang hanya ditawarkan di UniKL MFI kerana saya percaya universiti menyediakan kemudahan pembelajaran yang lengkap dan mampu melahirkan graduan yang holistik.

“Saya percaya graduan jurusan ini juga mempunyai peluang cerah di masa depan kerana kebanyakan syarikat di Malaysia sudah mempraktikkan penggunaan sistem automasi dan robotik sekali gus menjadikan ia bukan lagi perkara asing dalam industri,” tuturnya.

Pengajian dan kelayakan yang diperlukan untuk menyambung pengajian dalam bidang automasi dan robotik di UniKL MFI

Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Automasi dan Robotik) dengan Kepujian, UniKL MFI didaftar di Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah bidang pengkhususan Elektronik dan Automasi.

Tempoh pengajian sepenuh masa selama empat tahun.

Pengambilan dibuat pada bulan Januari dan September setiap tahun.

Pelajar dikehendaki melengkapkan 120 jam kredit kursus yang merangkumi teras teknologi kejuruteraan, kemanusiaan, usahawan teknologi, projek tahun akhir dan latihan industri.

Graduan jurusan ini boleh mencari kerjaya dalam bidang automasi pembuatan, automasi berasaskan robotik, kecerdasan buatan dalam pembuatan, pembangunan perisian dan kawalan mesin.

Bagi program ijazah, pelajar perlu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lima kredit atau mempunyai diploma yang diiktiraf.

Untuk kemasukan ke program diploma pula, pelajar perlu mendapat sekurang-kurangnya gred C untuk subjek Sains dan Matematik atau apa-apa subjek teknikal.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA