Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen Z‘Saya sudah lakukan yang terbaik sepanjang 18 bulan bersama KPM’ – Kata-kata...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

‘Saya sudah lakukan yang terbaik sepanjang 18 bulan bersama KPM’ – Kata-kata terakhir Dr Mohd Radzi buat orang ramai tersentuh hati

“Saya mengabdikan diri sepenuhnya kepada urusan kementerian sepanjang 18 bulan yang lalu.”

Demikian kata bekas Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, menerusi laman Facebooknya pada Selasa.

Memandangkan semalam merupakan hari terakhir beliau di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), warga pendidik sebak apabila perkhidmatan ikon hebat ini telah berakhir.

“Allah sedihnya. YB seorang yang sangat komited sepanjang menerajui KPM. Walaupun dalam keadaan sukar tapi berjaya laksanakan tugas dengan baik, contohnya terlaksana juga SPM 2020 dengan SOP yang terbaik. Semoga ALLAH membalas segala jasa YB.” – tulis Rabiah Musa.

“Terima kasih YB Dr Radzi. Saya sebagai seorang bapa dan seorang pendidik merakamkan setinggi penghargaan atas segala bakti dan curahan idea serta bersama-sama dengan kami menempuh dunia pendidikan dalam suasana pandemik ini. Saya doakan semoga YB sentiasa sihat dan sentiasa dalam lindungan dan rahmat ALLAH.” – Eddie Yusof.

“Kehilangan besar buat warga KPM terutama guru-guru apabila tiada lagi YB Dr di KPM. Seorang menteri yang sangat memahami permasalahan pendidikan dan guru-guru. Banyak dasar dan keputusan menjurus terus kepada permasalahan yang sekian lama kami hadapi. Walau sekejap namun sudah banyak impak besar yang dicapai. Walau tak banyak berhujah dan berpolitik, namun gerak kerja sangat memberi kesan postif kepada kami warga pendidik dan anak-anak Malaysia. Terima Kasih YB Dr.” – Shuhaida Ibrahim.

Berkongsi sedikit latar belakang Dr Mohd Radzi, beliau mendapat pendidikan awal di sekolah rendah dan menengah di Ketereh, Kelantan, kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Selepas RMC dan tamat membuat persediaan untuk belajar di luar negara, beliau ke Australia mengikuti pengajian Ijazah Pertama Perdagangan (Perakaunan dan Kewangan) di La Trobe University, Melbourne, Australia.

Sebelum itu beliau kembali ke tanah air untuk menyiapkan Master di Universiti Utara Malaysia (UUM). Kemudian kembali semula ke Australia untuk mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (Phd) di The Australian National University.

Hampir 20 tahun berada di negara Kanggaroo itu, beliau berkhidmat sebagai pensyarah dan pakar perunding.

Baca juga Pemergian secara mengejut, dunia pendidikan kehilangan ramai guru-guru berkaliber dan berhati mulia

Baca juga 5 tip pastikan bateri telefon tahan lama

Dr Radzi seorang murid yang cemerlang dan pintar. Sepanjang pengajian beliau mendapat berbagai pengiktirafan termasuk penerima Biasiswa Kecemerlangan Akademik dari Fakulti Pengurusan dan Undang-Undang, La Trobe University.

Seterusnya, mari kita ikuti coretan ikhlas Dr Mohd Radzi buat semua.

*****

Semalam merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah memberi kepercayaan kepada saya mengemudi sebuah kementerian yang memainkan peranan amat besar dalam membangunkan generasi pewaris negara. Thank you very much, Sir!

Dari hari pertama menjejakkan kaki di kementerian, saya telah menyatakan kepada warga KPM bahawa saya adalah seorang pekerja sepertimana mereka.

Yang membezakan kita cuma nama kerja saya iaitu, Menteri.

Saya mengabdikan diri sepenuhnya kepada urusan kementerian sepanjang 18 bulan yang lalu.

IKLAN

Bagi saya, setiap detik itu adalah amanah yang perlu digunakan sebaiknya untuk melakukan penambahbaikan kepada ekosistem pendidikan negara. Saya berada di Kementerian bukan untuk menjadi popular. Tetapi untuk saya melakukan perkara yang betul mengambil kira data dan maklumat yang ada serta analisis yang dibuat.

Sejujurnya, menguruskan kementerian dalam waktu pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak ada sesiapa pun di antara kami di kementerian atau di luar sana pernah melaluinya. Sebab itu kami amat teliti dalam membuat sebarang perancangan. Setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan yang amat mendalam selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Secara peribadi saya merasakan bahawa setiap detik saya di kementerian dalam tempoh 18 bulan yang lalu telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik demi generasi pewaris negara.

Banyak perkara tunjang di kementerian yang berlarutan bertahun-tahun lamanya telah dapat diselesaikan. Sebahagiannya sedang diselesaikan. Prinsip saya mudah. Jika niat kita ikhlas dan kita ikhtiarkan sebaiknya untuk menyelesaikan sesuatu perkara, Insya-ALLAH sesukar mana sekalipun penyelesaiannya, ALLAH akan membuka jalan untuk kita.

Ada yang dicapai dalam masa yang singkat dan ada yang mungkin memerlukan masa yang lebih panjang. Sekiranya apa yang telah diikhtiar dengan terbaiknya itu tidak berjaya seperti yang dihasratkan, tentu ada hikmah disebaliknya. Apa pun, saya selalu berpesan kepada warga kementerian, Nothing beats hard work!

Selain menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan, banyak juga penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan. Insya-ALLAH, sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.

Kepada dua pendokong utama saya di kementerian, Ketua Setiausaha, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datin Sri Nor Zamani, terima kasih atas jasa baik dan usaha gigih kalian.

Baca juga: Aplikasi terbaik yang mesti ada dalam telefon pintar pelajar

Terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh kakitangan kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah yang bertungkus lumus untuk memastikan segala perancangan dapat berjalan dengan baik.

Sebagai Panglima Perang di waktu krisis, mungkin ada yang tersinggung dengan tindakan atau ketegasan saya. Maafkanlah saya.

Untuk guru-guru, terima kasih atas bakti dan keringat yang dicurahkan dalam tempoh sukar ini. Semua dalam kalangan kita tidak pernah melalui situasi sebegini, jadi kita sentiasa sama-sama berikhtiar untuk dapatkan penyelesaian terbaik.

Masing-masing telah berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat. Tidak kira sama ada secara bersemuka atau PdPR.

Apa yang penting, murid terus mendapat akses kepada pendidikan.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

IKLAN

Akhir kalam, saya menginsafi bahawa saya cuma dipinjamkan oleh ALLAH SWT untuk mengemudi KPM dalam tempoh yang amat sukar dan tidak pernah dilalui oleh mana-mana Menteri Pendidikan sebelum ini.

Saya anak kampung yang merantau ke luar negara hampir 20 tahun dan kembali ke tanah air dengan niat semata-mata untuk menabur bakti kepada ibu pertiwi.

Amanah mengemudi KPM telah saya pikul dengan seikhlas hati tanpa sekelumit niat lain selain daripada melihat kualiti pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang jauh lebih tinggi.

Kini, dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat, negara hampir keluar dari kemelut pandemik Covid-19, tempoh persinggahan yang dizinkan ALLAH di KPM akhirnya tamat semalam.

Kepada ibu bapa, sesungguhnya saya telah ikhtiarkan yang terbaik untuk anak-anak kalian dalam tempoh yang penuh cabaran ini.

Kepada guru, saya tidak pandai beretorik. Tapi yakinlah dan tanyalah rakan-rakan di kementerian, saya telah usahakan yang terbaik untuk kalian dalam tempoh yang amat sukar ini.

Kepada anak-anak, pak cik doakan yang terbaik buat semua. Jangan lupa doakan pak cik!

Penghargaan demi penghargaan

Seluruh pendidik di Malaysia meluahkan rasa sedih dan sebak atas perkhidmatan terakhir Mantan Menteri Kanan (Pendidikan) itu.

Rata-ratanya mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Dr Mohd Radzi atas segala jasa dan pengorbanan yang beliau lakukan sepanjang berada di KPM.

GPSBestari memetik sebahagian kata-kata semangat, sokongan dan penghargaan warga pendidik untuk Dr Radzi Jidin.

Ini kata mereka

IKLAN

“Terima kasih Dr Radzi Jidin untuk khidmat bakti sepanjang perkhidmatan dengan KPM.” –  tulis Cikgu Aman.

“Dr Radzi semoga Dr sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki, Amin.” – Hasni Bt Mohamed.

“Terima kasih Dr atas semua kudrat dan jasa, moga ALLAH balas dengan sebaik-baik ganjaran.” – Aidil Sahipaludin.

“Perjuangan Dr memang sangat jelas. Saya suka cara Dr. Sangat tersusun. Saya doakan Dr dipilih lagi untuk perkhidmatan yang seterusnya.” – Munawirah Muhammad.

“Thank you, Sir. You are the only one who had spoken a lot on behalf of KPM as well as the parents who are worrying about the safety of their children during this Pandemic. I always enjoy listening to your speeches. It’s sad that your service ended so soon. All the best to you.”Mayvis Kyc.

“Dr Radzi, terima kasih atas khidmat yang diberikan sepanjang menjadi Menteri Kanan (Pendidikan). Walaupun tempoh agak singkat, tidak dinafikan banyak jasa terutama dalam mendengar rintihan masalah guru, walau tidak semua dapat diselesaikan namun usaha untuk membantu sangat dihargai. Semoga Dr dikurniakan kesihatan yang baik dan terus berbakti kepada negara dalam platform lain. Terima kasih atas kata-kata semangat dan nasihat Dr kepada golongan pendidik.” – Husna Qalesya.

“Ucapan terima kasih tidak dapat menggantikan setiap detik dan waktu yang Dr berikan kepada kami warga pendidik. Kata-kata semangat dan sokongan tuan akan sentiasa kami ingat dan jadi pendorong untuk kami terus tabah memikul tanggungjawab ini. Semoga Dr sentiasa dirahmati ALLAH dan dilindungi daripada sebarang musibah. Terima kasih tuan.” – Affida Helmi.

“Antara menteri yang ikhlas bekerja, Insya-ALLAH masih ada ruang dan peluang untuk terus berkhidmat, moga YB lebih berjaya di masa hadapan, Aamiin.” – Siti Salama Idris.

“Semoga Allah membalas semua kebaikan Dr selama 18 bulan berkhidmat. Terima kasih banyak-banyak Dr, atas segala aturan, anak-anak KAFA juga banyak terlibat dalam PdPR sepanjang pandemik ini. Semoga Dr sihat walafiat dan diberkati umur.” – Siti Suriah.

“Terima kasih atas segala jasa bakti yang dicurahkan. Kami sangat-sangat berterima kasih. Semoga usaha murni Dr akan dibalas dengan sebaik-baiknya oleh Allah SWT. Mengamati setiap baris ayat, perkataan demi perkataan sangat mengharukan, terima kasih Dr.” – Aishah Mohamed.

“Thank you for the initiative of one-off teacher’s recruitement Dr! It does bring and give us hope at very least.”Patricia A. Robin.

“Terima kasih Dr Radzi, antara Menteri Kanan (Pendidikan) yang saya sangat respect, kurang bercakap tapi kerja jalan untuk tambah baik mutu pendidikan negara, very humble person. Tq so much Dr Radzi Jidin.” – Fendi Abdul Rahman.

So sad, thank you Sir. Kami ibu bapa sudah mula rasa selesa dengan barisan kementerian yang dah diterajui selama 18 bulan. Tapi apakan daya, ALLAH telah mengaturkan segalanya. Terima kasih atas jasa-jasa yang diberikan selama ini. Moga ALLAH SWT saja yang membalas budi baik anda semua. Aamiin.” – Lina Leong Ahmad.

Sumber Gambar: Koleksi Facebook Dr Radzi Jidin

Artikel Berkaitan

MESTI BACA