HomeGen ZPeroleh PhD pada umur 27 tahun, alumni MRSM kongsi tip berkaitan pengajian...
165,220FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Peroleh PhD pada umur 27 tahun, alumni MRSM kongsi tip berkaitan pengajian PhD

Menggenggam segulung ijazah tidak kiralah peringkat sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah (PhD) sekali pun, sudah tentunya menuntut komitmen tinggi daripada setiap individu apatah lagi di musim pandemik yang serba mencabar ini.

Berjaya menamatkan pengajian pada usia muda pula menjadi satu bonus kerana dapat memasuki dunia pekerjaan ketika tenaga masih gagah dan semangat juga masih membuak-buak untuk membuat perubahan dalam bidang masing-masing.

Perkongsian yang dibuat Kaunselor, Dr Zulkifli Hussain di laman Facebook beliau mengenai pencapaian cemerlang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Muhammad Syahmeer How Mohd Firdaus How yang berjaya menamatkan pengajian PhD pada umur 27 tahun mendapat respon positif daripada warga maya.

Anak muda yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu turut berkongsi beberapa tip yang boleh digunakan oleh calon PhD di luar sana supaya pengajian lebih tersusun dan lancar.

Ikuti perkongsian penuh daripada Dr Zulkifli mengenai perjalanan pengajian Muhammad Syahmeer How yang akan bertugas di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai sumber inspirasi kepada pembaca GPSBestari.

*****

Pelajar MRSM – Peroleh PhD pada umur 27 tahun

Muhammad Syahmeer How bin Mohd Firdaus How.

Dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak namun menetap di Cheras, Selangor sejak kecil.

Anak pertama daripada empat adik beradik. Tingkatan Satu hingga Tiga di MRSM Transkrian, Pulau Pinang.

Meraih keputusan 8A dlm PMR 2008. Merupakan ahli badan wakil pelajar (BWP) dan mewakili maktab dalam pertandingan Choral Speaking dalam peringkat daerah, negeri dan MRSM. Tingkatan Empat dan Lima berpindah ke MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka. Meraih keputusan 6A+ 3A dlm Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Menggunakan keputusan percubaan SPM di MRSM TGB, beliau berjaya mendapatkan tempat di Kolej MARA Kuala Nerang untuk peringkat foundation (2011), sebelum menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Kimia) di UniKL MICET untuk tahun pertama (2012) dan tahun kedua-keempat di Massey University, New Zealand (2013-2015) dengan tajaan MARA.

IKLAN

Selepas menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Muda, alhamdulillah beliau diberi tawaran oleh Professor di Massey University untuk menjalani pengajian PhD dengan tajaan geran penyelidikan beliau sendiri.

Kajian PhD beliau ialah tentang menggunakan konsep dan teori asas dalam kejuruteraan kimia untuk memahami impak proses pengunyahan makanan terhadap deria rasa dan aroma.

Alhamdulillah pada awal tahun ini beliau berjaya menghabiskan pengajian PhD dan bakal pulang ke tanah air untuk bekerja sebagai pensyarah kanan di UPM, insya-ALLAH.

Sedikit tip daripada beliau berkaitan pengajian PhD:

1) Kerap berjumpa dengan penyelia (supervisor).

Saya akan bertemu dengan keempat-empat supervisor saya seminggu sekali untuk membincangkan tentang struktur dan hasil kajian. Penting untuk memastikan kajian kita ada kemajuan setiap minggu walaupun sedikit.

2) Sering berinteraksi dengan pelajar yang lain.

Disebabkan pengajian PhD adalah perjalanan yang sunyi, mudah untuk hilang motivasi terutamanya bila hasil kajian kita ‘gagal’ atau tidak seperti yang dirancangkan.

Tip saya ialah untuk sentiasa kongsikan masalah kajian bersama rakan-rakan PhD yang lain kerana lebih senang untuk menghadapi masalah itu bila kita tahu orang lain pun sudah melalui masalah yang sama.

IKLAN

3) Berani mengambil inisiatif.

Semasa saya di tahun kedua PhD, kerja penyelidikan saya tergendala untuk seketika apabila saya diuji dengan dugaan yang besar di mana ayah saya meninggal dunia secara tiba-tiba.

Disebabkan itu, walaupun saya sudah di tahun ketiga, saya tidak lagi mempunyai hasil kajian yang cukup, ditambahkan pula dengan peralatan yang diperlukan untuk eksperimen tidak ada di universiti saya. Kebetulan juga pada masa itu saya diberi peluang untuk membentang sebahagian daripada penyelidikan saya di persidangan antarabangsa di Nottingham, United Kingdom.

Melalui persidangan tersebut saya sempat berjumpa dengan beberapa penyelidik terkemuka di dalam bidang kajian saya yang kebetulan juga mempunyai peralatan tersebut di makmal mereka.

Hasil daripada perjumpaan tersebut saya ditawarkan untuk menjalani kajian saya di Paris, Perancis selama tiga bulan di mana hasil kajian tersebut memberi impak yang besar dalam kejayaan PhD saya.

4) Amalkan kehidupan yang seimbang.

IKLAN

PhD memerlukan penjanaan dan perkembangan idea yang berterusan, terutamanya apabila sudah sampai tahap penulisan tesis.

Bagi saya idea lebih mudah untuk keluar dengan fikiran yang tenang dan segar. Cara paling mudah ialah dengan bersukan dan sering mengambil percutian yang jauh dari tempat belajar.

Semasa saya menjalani pengajian, saya akan mengambil masa untuk bersukan (skuasy) sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan sering bercuti di luar negeri pada hari minggu.

5) Anggap PhD seperti kerja, bukan belajar.

Tip saya yang terakhir ialah untuk menganggap PhD ini seperti suatu pekerjaan kerana ianya tidak sama seperti Ijazah Sarjana Muda di mana jadual harian kelas sudah diberi oleh universiti.

Semasa saya menjalankan pengajian, saya selalunya berada di kampus jam 8 pagi dan hanya akan pulang selepas jam 5 petang, Isnin sampai Jumaat. Bagi saya suasana pekerjaan itu penting untuk memastikan kita serius semasa menjalani kajian.

Tahniah Syahmeer How! Cikgu bangga dengan anda.

Tahniah MARA kerana berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang hebat seperti ini.

Kita bentuk mereka dari MRSM sehingga penajaan belajar ke luar negara.

Caiyookkk MARA!

Artikel Berkaitan

MESTI BACA