Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZPengacaraan sudah sebati dalam diri, Cikgu Ahmad Baqi asah bakat sejak di...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Pengacaraan sudah sebati dalam diri, Cikgu Ahmad Baqi asah bakat sejak di IPG

Nampak mudah, sekadar berdiri dan membaca skrip yang telah tersedia. Hakikatnya seorang pengacara majlis atau MC (master of ceremony) memainkan peranan yang sangat penting dalam mengemudi sesuatu majlis.

Ini kerana program tersebut tidak akan bermula selagi pengacara belum membuat pengumuman.

Menjadi seorang pengacara majlis memerlukan kebolehan bertutur dengan lancar dan perlu ada kreativiti untuk menarik minat penonton.

Kenyataan ini dipersetujui oleh Cikgu Ahmad Baqi Yahaya, 36, seorang guru yang aktif dalam bidang pengacaraan selain bertanggungjawab mengajar anak-anak muridnya subjek Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sudah berkecimpung dalam bidang pengacaraan lebih sembilan tahun, Cikgu Ahmad Baqi semakin meminati bidang ini dan telah mengikuti pelbagai kursus yang berkaitan.

Katanya, ia bermula sejak dia menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Ia bermula apabila saya diminta menjadi pengacara  ‘bidan terjun’ menggantikan pengacara sebenar yang tidak dapat hadir saat akhir kerana hal kecemasan.

“Walaupun ia berlaku secara tiba-tiba saya tidak menolaknya dan sejak itulah pengacaraan menjadi sebahagian daripada diri ini.

“Peluang yang ada pastinya tidak akan disia-siakan. Saya akan sentiasa berusaha untuk terus melakukan yang terbaik sekali gus mencapai hasrat bagi menakluki media baharu dan berjaya dalam bidang pengacaraan,” jelasnya jujur.

IKLAN

Tambah Cikgu Ahmad Baqi, selama berkecimpung di dalam bidang pengacaraan, pelbagai majlis telah dikendalikan termasuklah majlis rasmi yang diadakan di peringkat kebangsaan.

Cikgu Ahmad Baqi ketika menjadi pengacara majlis penutup Pertandingan dan Pameran Seni Lukis Pelajar-Pelajar Malaysia – Jepun.

Kongsi ilmu dengan anak murid

Sebagai seorang cikgu, sudah tentu dia akan berkongsi ilmu pengetahuan bersama anak muridnya.

Menurut Cikgu Ahmad Baqi, dia akan memberi peluang kepada muridnya mengacara majlis di sekolah seperti jamuan akhir tahun pengawas, pertandingan bercerita dan majlis-majlis lain yang santai.

IKLAN

“Tidak dinafikan, seorang pengacara sebenarnya individu yang didatangkan dengan pakej bakat semula jadi. Begitupun, tiada salahnya sekiranya bakat tersebut diasah di peringkat awal.  Itulah yang saya terapkan kepada murid-murid di sini.

“Lagipun dalam subjek Bahasa Inggeris ada topik mengenai listening and speaking di mana ia merupakan kemahiran yang wajib diajar.  Kami  menyediakan speakers corner di mana ia khusus untuk murid-murid berlatih public speaking,” ulas Cikgu Ahmad Baqi.

Kriteria dalam bidang pengacaraan

Turut berkongsi pengalaman sepanjang menjadi pengacara, Cikgu Ahmad Baqi memberitahu, latihan berterusan merupakan antara elemen penting bagi mengurangkan gemuruh ketika berada di atas pentas.

Tambahnya, jangan mudah panik jika berlaku perkara di luar jangkaan, pengacara perlu tenang mengawal keadaan.

“Sehingga hari ini tidak dinafikan, saya sendiri akan berasa gemuruh ketika berada di atas pentas sebelum acara bermula. Bagaimanapun segala-galanya kembali sedia kala sebaik sahaja acara dimulakan.

“Inilah pentingnya latihan berterusan kerana selain dapat menangani masalah gemuruh di atas pentas, selain itu ia juga dapat memperbaiki sebutan, intonasi, memek muka dan penampilan kita,” katanya.

IKLAN

Cikgu Ahmad Baqi turut menasihatkan para pelajar yang berminat untuk berkecimpung di dalam bidang pengacaraan ini agar terus menggali ilmu tidak kira berguru dengan individu professional, belajar sendiri  melalui bacaan atau menonton di YouTube.

Menjadikan Ahmad Fedtri Yahya sebagai idola, bagi Cikgu Ahmad Baqi sebagai seorang pengacara, setiap individu itu haruslah sentiasa berdaya saing dan kreatif dalam melaksanakan tugas pengacaraan.

Sepanjang pandemik Covid-19, Cikgu Ahmad Baqi turut mengacara majlis secara maya.

INFO PERKONGSIAN CIKGU AHMAD BAQI

Bagi mendapatkan impak yang baik, sebagai pengacara kita haruslah bijak dalam pengawalan suara dari segi teknik pernafasan, nada, sebutan dan intonasi yang jelas serta kualiti suara yang menarik bagi memancing minat audien.

Pada masa yang sama, penting bagi seorang pengacara mengukuhkan asas-asas dalam bidang pengacaraan di samping memperoleh kemahiran tambahan seperti ekspresi wajah, unjuran suara, isyarat tangan dan hubungan mata.

Cikgu Ahmad Baqi tidak menyangka, menjadi pengacara secara bidan terjun satu ketika dahulu telah menjadikan kerjaya tersebut sebahagian daripada dirinya hari ini.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA