HomeGen ZPendidikan Ulul Albab UniKL
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Pendidikan Ulul Albab UniKL

Sistem Pendidikan Ulul Albab ialah satu sistem yang melahirkan teknokrat dan profesional sains huffaz yang berilmu, beriman, berakhlak mulia serta bertakwa.

Berpaksikan objektif inilah, hari ini kebanyakan institusi pendidikan di negara ini menawarkan program pendidikan Ulul Albab dengan kaedah dan modul yang bersesuaian.

Selain Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut mengambil inisiatif menawarkan program tersebut kepada para pelajar.

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswanya, Prof Madya Dr Tuan Salwani Awang @ Salleh, pihaknya menawarkan program Huffaz Professional bertitik tolak daripada program Ulul Albab yang diperkenalkan di MRSM.

Katanya lagi, program tersebut memberi peluang kepada pelajar yang cemerlang dalam pencapaian akademik dan turut berminat untuk mengikuti program tahfiz secara seimbang, pengajian akademik dan tahfiz.

“Perkembangan Maahad Tahfiz yang semakin bertambah bilangannya di seluruh negara dijangka akan melahirkan ramai golongan penghafaz al-Quran pada masa yang akan datang.

Dr Tuan Salwani

“Justeru itu, mengambil kira perkembangan semasa dalam pendidikan tahfiz, wajar UniKL menyediakan platform kepada semua lepasan program tahfiz ini sebagai kesinambungan untuk mereka mengekal, memelihara dan memantapkan hafazan al-Quran yang telah diikuti pada peringkat pendidikan menengah atau tahfiz.

“Penawaran program Huffaz Professional UniKL Ulul Albab ini turut memberikan ruang kepada mana-mana pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam pelbagai program akademik, namun pada masa yang sama turut berminat untuk mengikuti program tahfiz,” ujarnya kepada GPSBestari.

IKLAN

Program Ulul Albab

Bercerita lebih lanjut mengenai program tersebut, Dr Tuan Salwani menjelaskan, UniKL mula menawarkan program Ulul Albab pada September 2016 di empat kampus cawangannya iaitu UniKL MFI, UniKL MIAT, UniKL MICET dan UniKL MITEC.

Sambung beliau, program ini telah diperluaskan pada Semester September 2017 ke beberapa kampus cawangan lain seperti UniKL MSI, UniKL BMI, UniKL MIMET dan UniKL RCMP.

Hari ini, UniKL dalam proses untuk mengembangkan program Ulul Albab yang telah dijenamakan semula sebagai Huffaz Professional UniKL Ulul Albab ke empat lagi kampus cawangan yang lain iaitu UniKL MIDI, UniKL MIIT, UniKL BiS dan UniKL MESTECH.

Memanah antara sukan sunnah Nabi.

Berkongsi pula mengenai mata pelajaran yang diajar, Dr Tuan Salwani berkata, sebelum ini pihaknya hanya menumpukan kepada program memantapkan teknik-teknik hafazan selain pendedahan kepada tanggungjawab yang bakal mereka galas sebagai huffaz al-Quran seperti menjadi imam, memberi syarahan agama dan mengajar ilmu-ilmu agama serta tidak ketinggalan kemahiran sukan yang digalakkan oleh sunnah Nabi seperti memanah.

Terbaharu UniKL telah membuka satu kursus yang ditawarkan dalam mata pelajaran umum iaitu Huffaz Profesional yang membawa dua kredit bagi mereka yang ingin merasai pengalaman menjadi pelajar huffaz al-Quran.

IKLAN

“Hifz al-Quran melibatkan sesi tasmi’, muraja’ah dan tajwid selain beberapa subjek lain untuk memperbaiki kefahaman dan penghayatan al-Quran para pelajar yang mengikuti program ini.

“Tenaga pengajar pula terdiri daripada guru tahfiz yang memiliki Diploma Tahfiz al-Quran yang diiktiraf oleh Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Pelajar-pelajar perempuan yang mengambil jurusan Ulul Albab di UniKL.

“Ia merupakan program elektif yang ditawarkan sepanjang pelajar mengikuti pengajian sama ada di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda dan sesi pengambilan pelajar baru pada bulan September setiap tahun. Para pelajar yang diterima masuk untuk sesi pengambilan baharu pada bulan Januari dan Julai juga boleh memohon,” tuturnya lanjut.

Pasaran pekerjaan

Berbicara pula mengenai bidang pekerjaan, Dr Tuan Salwani menjelaskan pelajar-pelajar lulusan Huffaz Profesional UniKL pada asasnya telah memiliki ilmu dalam bidang al-Quran.

IKLAN

Sambung beliau, mereka ini berada dalam komuniti setempat sebagai seorang profesional.

“Lepasan Ulul Albab bila-bila masa boleh ke depan untuk menjadi imam solat, guru al-Quran atau berkongsi ilmu agama.

“Jadi selain daripada pekerjaan yang sesuai dengan latar belakang pengajian akademik atau profesional yang diikuti, lulusan program Huffaz Professional UniKL Ulul Albab juga boleh memberi khidmat sebagai imam, guru al-Quran, pendakwah dan lain-lain profesion sesuai yang berkaitan dengan pengajian al-Quran,” katanya mengakhiri bicara.

INFO

KRITERIA PEMOHON PROGRAM ULUL ALBAB UNIKL

  1. Semua pelajar layak memohon mana-mana program pengajian di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda

2. Terbuka kepada semua pemohon yang memiliki kemahiran bacaan al-Quran yang baik.

3. Memiliki latar belakang dalam pendidikan tahfiz adalah satu kelebihan buat pemohon terutamanya yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan ke atas.

4. Pemohon juga perlu melalui proses temu duga untuk menilai kemahiran bacaan al-Quran, daya hafazan dan ujian personaliti untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar berminat dan sanggup memberikan komitmen yang tinggi diterima masuk

Artikel Berkaitan

MESTI BACA