HomeGen ZPemantapan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar SPM
168,577FansLike
4,980FollowersFollow
637FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Pemantapan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar SPM

Masalah penguasaan bahasa Inggeris bukan satu perkara baharu dalam kalangan pelajar pada hari ini. Keadaan persekitaran yang dikelilingi oleh kaum yang sama mengakibatkan mereka sukar untuk berbahasa Inggeris dengan baik.

Komunikasi harian menggunakan bahasa ibunda menjadikan mereka tidak yakin untuk menggunakan bahasa Inggeris semasa berkomunikasi. Ada segelintir mereka yang malu dan tidak bersedia dengan tanggapan masyarakat yang akan mengejek kelemahan mereka sekiranya berbahasa Inggeris.

Sikap dan pemikiran ini sekali gus memberi kesan kepada penguasaan mereka dalam mata pelajaran bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain di sekolah. Keadaan ini menjadi satu cabaran hebat kepada mereka apabila bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa utama dalam proses pembelajaran.

Bukan setakat itu, kita sendiri sedia maklum bahawa bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib lulus bagi membolehkan para pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti.

Gambar hiasan daripada Pexels.

IKLAN

Oleh itu, para pelajar perlu mengubah pemikiran dan persepsi negatif sebagai langkah awal bagi mendapat skor yang terbaik dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

Menurut Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan, Cikgu Norhuda Mohamad Ali, bahasa Inggeris bukan satu bahasa yang sukar untuk dikuasai lebih-lebih lagi untuk lulus.

“Untuk lulus bahasa Inggeris, para pelajar perlu menumpukan kertas satu kerana majoriti markah untuk keseluruhan kertas bahasa Inggeris terdapat di kertas satu.

IKLAN

“Apa yang perlu dilakukan pelajar adalah banyakkan membaca isu semasa, surat khabar, contoh-contoh karangan, buku cerita, dan apa-apa bahan dalam bahasa Inggeris,” katanya lagi.

Melalui pembacaan ini, para pelajar perlu menulis nota ringkas dan mencatat perkataan-perkataan baharu bagi memantapkan bagi penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris.

Gambar hiasan daripada Pexels.

IKLAN

Sehubungan itu, sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, para pelajar perlu membuat latihan bagi soalan sastera iaitu novel yang telah dibekalkan oleh pihak sekolah. Ini kerana, soalan pada bahagian ini mampu dikuasai pelajar kerana soalan yang dikeluarkan adalah berulang- ulang berdasarkan jalan cerita novel tersebut.

“Bagi menguasai bahasa Inggeris, para pelajar juga perlu menguasai dan membiasakan diri dengan format soalan bahasa Inggeris dengan mencuba soalan- soalan daripada negeri lain seterusnya menghantar kertas soalan yang telah dijawab kepada guru untuk disemak supaya pelajar tahu di mana kesalahan yang dibuat,” ujarnya.

Melalui perkongsian guru ini, diharapkan pelajar-pelajar bertindak segera dalam usaha mendapatkan skor yang terbaik dalam peperiksaan akan datang.

Biarpun penguasaan terhadap bahasa Inggeris bukan satu perkara yang mudah, namun melalui pembacaan dan latihan yang berterusan tidak mustahil para pelajar akan mendapat keputusan yang cemerlang bagi mata pelajaran bahasa Inggeris ini.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

MESTI BACA