Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZMalu bertutur dalam bahasa asing? Pensyarah dan pelajar Kolej Genius Insan ini...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Malu bertutur dalam bahasa asing? Pensyarah dan pelajar Kolej Genius Insan ini kongsi cara atasinya!

Seiring dengan peredaran masa, dunia semakin hari semakin menuju ke arah kemajuan, baik dari segi teknologi, sains, mahupun gaya hidup manusia.

Antara buktinya ialah sistem mata wang sedang perlahan-lahan berevolusi ke arah sistem bayaran atas talian dengan wujudnya mata wang digital seperti Bitcoin dan yang seangkatan dengannya.

Kemajuan yang ingin dicapai menyebabkan syarikat-syarikat ternama dunia cuba merekrut pekerja baharu yang berdaya saing dan mampu memberi impak kepada dunia.

Salah satu ciri pekerja yang dicari oleh syarikat-syarikat ini termasuklah calon pekerja yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa.

Ini kerana pekerja yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa mampu menggalas tanggungjawab terutamanya dalam pengurusan hal syarikat tempatan dengansyarikat asing, sekaligus memudahkan syarikat meluaskan rangkaian pengaruhnya ke negara lain.

Kepelbagaian bahasa yang dimaksudkan disini adalah bahasa selain bahasa Inggeris iaitu seperti bahasa Mandarin, bahasa Perancis, bahasa Jepun, bahasa Russia, bahasa Turki, bahasa Arab dan lain-lain.

Hal ini demikian telah mewujudkan kesedaran kepada sistem pendidikan negara bahawa penguasaan bahasa asing bukan sahaja memberi kelebihan kepada mereka, malah dapat membantu meningkatkan daya saing serta menjadi salah satu faktor nilai tambah bagi murid yang dapat menguasainya.

Justeru, tanpa mengenepikan kewajipan mempelajari bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu serta bahasa Inggeris, kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia telah mula menawarkan subjek bahasa asing yang mana murid diberi peluang memilih bahasa asing mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

Rebut peluang

Peluang pembelajaran pelbagai bahasa asing ini sudah cukup menjadi wadah kepada pelajar-pelajar untuk meningkatkan daya saing diri melalui aspek penguasaan bahasa.

Meskipun peluang pembelajaran bahasa asing telah luas tersedia, namun tahap penguasaan, pengukuhan dan penggunaan secara maksimum bahasa asing yang telah dipelajari oleh murid masih menjadi tanda tanya.

Persoalannya, adakah murid benar-benar menguasai serta berupaya mempraktikkan bahasa yang telah dipelajari?

Rata-rata kita berpandangan, sebahagian besar murid-murid tidak berani mempraktikkan bahasa asing yang mereka pelajari apatah lagi untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa tersebut bersama rakan-rakan di sekolah.

Sudah pasti terdapat pelbagai faktor yang mengekang dan menjadi halangan bagi murid untuk mempraktikkannya.

Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor pertama yang menjadi penghalang kepada keupayaan murid untuk berbahasa asing dengan fasih dan lancar.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, sikap rakan sebaya yang suka memerli, mengejek dan merendah-rendahkan rakan yang sedang cuba berkomunikasi dengan menggunakan berbahasa asing menjadi faktor utama.

Sebagai contohnya, penulis mempunyai seorang rakan yang amat meminati budaya Rusia, sehinggakan beliau belajar bahasa Rusia dengan sendiri.

Antara kaedah yang beliau gunakan untuk kuasai bahasa Rusia adalah bertutur dalam bahasa Rusia sebanyak mungkin dalam sehari. Beliau cuba membiasakan diri untuk berbahasa Rusia supaya mudah mengingati perkataan-perkataan baharu dalam bahasa tersebut.

Namun, rakan-rakan di sekelilingnya selalu memerli beliau dan melabel sebagai seorang yang ‘acah’ dan ‘kerek’.

Tidak kurang juga ada yang melontarkan ayat-ayat negatif yang mematikan semangat murid tersebut untuk mempraktikkan bahasa asing yang diminati.

Mungkin rakan-rakan beliau menggunakan ayat-ayat negatif sekadar untuk bergurau, namun tanpa mereka sedari, kata-kata mereka bukan sahaja telah mengguris hati beliau, malah turut membunuh impiannya untuk menguasai bahasa Rusia.

Ini seterusnya menjadikan beliau malu dan trauma untuk berbahasa Rusia lagi.

Mungkin ramai yang memandang remeh perkara sebegini dan menganggapnya satu perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka, namun realitinya pelajar-pelajar yang mempelajari bahasa asing di Malaysia cukup terkesan dengan ejekan dan perlian sebegini.

Perlu sistem sokongan yang kukuh

Sistem sokongan yang kukuh juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pembudayaan penggunaan bahasa asing.

Tiada sistem sokongan dari sekeliling menjadikan pelajar-pelajar tidak biasa dan malu untuk berkomunikasi menggunakan bahasa asing.

IKLAN

Kebanyakan murid di Malaysia tidak berada dalam persekitaran atau kelompok penutur asing.

Contohnya, tidak ramai rakyat Malaysia yang bertutur dalam bahasa Perancis disebabkan tiadanya penutur bahasa Perancis di kalangan komuniti di Malaysia.

Oleh itu, pelajar yang mempelajari bahasa Perancis tidak dapat mempraktikkan bahasa ini sebagaimana mereka mempraktikkan bahasa ibunda dengan komuniti sekeliling.

Mewujudkan persekitaran penutur bahasa asing ini amat membantu murid menguasai bahasa asing.

Satu analogi yang boleh dibuat adalah ketika kita pertama kali bertutur sewaktu masih kecil lagi.

Di rumah, kita mendengar ibu bapa bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Lama kelamaan, kita sendiri sudah terbiasa dengan perkataan-perkataan dan frasa-frasa ringkas dalam bahasa Melayu dan kita mula membina ayat-ayat ringkas seperti “Adik nak makan”.

Kita juga tidak malu untuk melakukan kesalahan kerana orang di sekeliling boleh membetulkan kita.

Berbeza jika kita berbahasa asing dengan orang sekeliling yang tidak mampu bertutur dan berkomunikasi dengan bahasa asing, sekaligus mengakibatkan ketiadaan sistem sokongan bagi membantu murid menguasai bahasa asing dengan mudah.

Ini membuktikan betapa mudahnya murid untuk menguasai bahasa asing jika mereka berada dalam kelompok penutur bahasa asing tersebut.

Justeru, murid-murid yang mempelajari bahasa asing di dalam kelas yang sama perlulah menyokong serta menggalakkan komunikasi melalui bahasa asing antara satu sama lain bagi mewujudkan sistem sokongan yang berterusan bagi membudayakan penggunaan bahasa asing ini sesama sendiri.

“hendak betul dahulu, sebelum bercakap”

Selain itu, sikap ingin sempurna boleh diterangkan dalam bahasa yang mudah sebagai “hendak betul dahulu, sebelum bercakap”.

Sikap ini ada ketikanya membawa kebaikan, contohnya melakukan pekerjaan yang memerlukan ketelitian. Akan tetapi, dalam proses mempelajari bahasa asing, sikap ini agak kurang sesuai dipraktikkan.

Ini kerana, seseorang yang mempunyai fikiran ‘sentiasa ingin sempurna’ tidak akan berupaya bertutur dan menguasai bahasa asing langsung kerana takut untuk melakukan kesalahan semasa bertutur.

Walhal, adalah lebih baik kita membuat kesilapan semasa bertutur dalam bahasa asing berbanding tidak bertutur langsung dalam bahasa tersebut.

IKLAN

Sikap ingin sempurna ini selalunya berkait rapat dengan faktor pertama tadi, iaitu ejekan rakan sebaya.

Ramai murid malu bertutur kerana khuatir kesalahan-kesalahan kecil seperti tatabahasa dan sebutan kerana takut ditertawakan dan dimalukan oleh rakan-rakan yang lain.

Sifat ingin sempurna juga akan menjadikan seorang pelajar itu semakin takut dan malu untuk bertutur dalam bahasa asing.

Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Dalam menangani masalah perlian dan ejekan rakan sebaya, kita tidak mempunyai kuasa untuk menutup mulut semua orang, pada masa yang sama kita juga tidak mampu menjadi sempurna di mata semua orang.

Oleh itu, kita perlu bijak menghadapi dan menapis segala komen-komen yang dilontarkan oleh rakan-rakan kita. Segala komen-komen negatif perlu diabaikan serta mengambil kritikan yang membina untuk memperbaiki diri pada masa hadapan.

Bagi komen-komen positif pula, kita boleh jadikannya sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih keras.

Selain daripada itu, ibu bapa dan guru juga perlu mendidik anak-anak untuk menjadi rakan yang bersikap terbuka dan menghormati sesama rakan.

Budaya murni sesama rakan sebaya perlu diajar dan dipupuk agar tidak berlakunya budaya memerli rakan-rakan.

Sikap menghargai dan menyokong usaha rakan-rakan yang sedang mencuba benda baharu, seperti belajar bahasa asing perlu disemai didalam diri mereka.

Guna aplikasi bersesuaian

Bagi menggalakkan lagi penggunaan bahasa asing dengan lebih kerap, kumpulan-kumpulan murid perlu mewujudkan persekitaran yang selesa untuk mereka menuturkan bahasa asing dalam kehidupan seharian.

Murid boleh menggunakan aplikasi-aplikasi yang membolehkan mereka berbahasa asing bersama penutur asal dalam aplikasi tersebut.

Antara aplikasi yang mempunyai fungsi ini termasuklah Tandem, Interpals dan HelloTalk.

Melalui aplikasi-aplikasi ini, murid boleh berhubung dengan rakan-rakan di luar negara yang bertutur bahasa asing yang sedang dipelajari.

Penulis sendiri pernah menggunakan aplikasi-aplikasi ini dan telah menemui ramai rakan dari luar negara yang merupakan penutur asli bahasa yang sedang dipelajari.

Contohnya, sewaktu penulis sedang mempelajari bahasa Rusia, penulis telah menjumpai ramai rakan dari Rusia, Kazakhstan dan Kyrgyzstan.

IKLAN

Kami berkomunikasi dalam dua bahasa, iaitu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Rusia.

Penulis akan menulis mesej dalam bahasa Rusia dan rakan penulis yang merupakan penutur asli Rusia akan menulis dalam bahasa Inggeris.

Mereka akan membetulkan penulis dari segi tatabahasa bahasa Rusia dan pada masa yang sama, penulis turut membantu mereka dalam bahasa Inggeris.

Ada beberapa ketika di mana kami turut berbahasa Rusia penuh dan berbahasa Inggeris penuh, mengikut keperluan.

Ini secara tidak langsung telah mewujudkan satu persekitaran yang membolehkan seseorang murid mempraktikkan bahasa asing dalam kehidupan seharian.

Pelajari pelbagai benda baru

Dalam mengejar kesempurnaan, murid perlu dididik bahawa setiap kesalahan yang dilakukan akan mengajar kita sesuatu yang betul kepada kesalahan tersebut.

Dengan melakukan kesalahan juga, murid akan mempelajari benda baharu dan ini dipanggil sebagai proses pembelajaran.

Jika seseorang itu sering melakukan perkara yang betul sahaja, maka tiada benda baharu yang akan mereka pelajari.

Oleh itu, murid perlu berani menggunakan dan menutur bahasa asing yang dipelajari dan jangan takut untuk melakukan kesilapan.

Satu lagi tip adalah meletakkan satu sasaran atau matlamat dalam mempelajari bahasa asing.

Ini adalah untuk mengingatkan murid untuk terus berusaha dan tidak berputus asa serta kekal komited mempelajari bahasa asing tatkala melakukan kesilapan.

Sebagai contohnya, penulis sendiri meletakkan satu sasaran akhir dalam mempelajari bahasa asing, iaitu untuk menjadi seorang Polyglot yang boleh bertutur sekurang-kurangnya lebih daripada tiga bahasa asing.

Jadi, setiap kali penulis melakukan kesilapan atau rasa kurang bermotivasi, penulis akan sentiasa mengingati semula sasaran ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa mempelajari bahasa asing amatlah sukar dan perlu menempuh pelbagai halangan sepanjang proses pembelajaran sebelum dapat menguasai bahasa tersebut sepenuhnya.

Faktor-faktor seperti yang dibincangkan di atas pasti dirasai oleh mana-mana penuntut bahasa asing di dunia ini.

Namun, apa yang membezakan seorang murid itu adalah cara berhadapan dengan halangan tersebut dan bagaimana memilih solusi terbaik sekaligus tidak mematahkan semangat kita untuk mahir bertutur dalam bahasa asing.

Walaupun sukar, namun kuncinya adalah jangan pernah berputus asa.

Berkat kegigihan mengatasi halangan dan dugaan yang ditempuh sepanjang proses pembelajaran dan penguasaan bahasa asing, mudah-mudahan anda semua ‘tidak takut’ untuk bertutur menggunakan bahasa asing.

Ayuh mulakan daripada sekarang!

*****Aiman Fariz Zaqwan Akmal Hizam & Dr Rahayu Ahmad merupakan pelajar dan pensyarah Kolej Genius Insan, Universiti Sains Islam Malaysia. 

 

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA