Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZMahasiswa seru masyarakat agar lebih cakna mengenai kes penderaan kanak-kanak
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Mahasiswa seru masyarakat agar lebih cakna mengenai kes penderaan kanak-kanak

Sejak akhir-akhir ini, media sosial sering menyiarkan isu kanak-kanak yang menjadi mangsa dera kepada individu tidak berperikemanusiaan malah lebih menyedihkan, ada di antara mereka bukan sahaja dipukul, ditendang bahkan dirogol sehingga meragut nyawa.

Perbuatan tidak berhati perut ini seakan menjadi barah dalam masyarakat apabila ramai kanak-kanak tidak mengira jantina menjadi mangsa nafsu amarah dan serakah individu tidak bertanggungjawab ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 20 peratus kes penderaan kanak-kanak meningkat dari hari ke hari.

Masalah ini, menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat di mana pandemik Covid-19 dan PKP dijadikan alasan untuk si pendera bertindak sedemikan.

Mungkin ramai masyarakat yang bersikap tidak mahu mengambil peduli dengan sengaja memekakkan telinga dan menutup mata atas alasan tidak mahu ‘menjaga tepi kain orang.’

Susulan masalah ini, mahasiswa kursus kokurikulum berkredit Pembangunan Kesukarelawanan Kumpulan Tiga, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), telah melaksanakan kempen ‘Jaga Tepi Kain Orang: Jom Hentikan Penganiayaan dan Penderaan Kanak-kanak!’, bagi memupuk kesedaran orang ramai agar lebih cakna terhadap masalah ini.

Kempen ini turut mendapat jalinan kerjasama daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Untuk Anak Kita (PUAK), Bahagian Kaunseling UPM, dan Kelab Rakan Siswa UPM.

Selain itu, Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur (KL), Pertubuhan Pusat Jagaan Rumah Amal Titian Baiti Al-Jannah, Pertubuhan Talasemia Pulau Pinang, Cybersecurity Malaysia, dan Knockoutend Esport turut menyokong kempen berkenaan.

IKLAN

Program yang telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Profesor Dr Zamberi Sekawi ini, bertujuan untuk melindungi dan membela nasib kanak-kanak agar dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lainnya.

Oleh itu, kempen kesedaran ini bertindak sebagai platform kesedaran dan pendedahan kepada seluruh masyarakat di Malaysia agar lebih prihatin mengenai isu penderaan dan penganiayaan kanak-kanak ini.

Menurut Dr Zamberi, program ini sangat penting dan bertepatan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di samping menunjukkan peranan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam aktiviti kesukarelawan.

Berhubung isu ini, beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai kes kesihatan mental dan penderaan kanak-kanak yang semakin tidak terkawal terutamanya sepanjang tempoh PKP ini.

IKLAN

Paling membimbangkan, panel e-Forum, Syed Azmi Alhabshi berkata, kempen ini sangat penting bagi memperbetulkan pemikiran dan kekeliruan fakta dalam usaha membantu pihak berkuasa menghentikan isu ini.

“Siapa sangka sebanyak 3,000 kes penderaan direkodkan dan lebih mengejutkan apabila sebanyak 70 peratus pendera terdiri daripada mereka yang rapat dengan mangsa.

“Angka yang tercatat dalam statistik adalah kes yang direkodkan dan 50 peratus terdiri daripada ibu bapa sendiri dan pengasuh,” jelasnya.

Peratusan ini sekali gus mencetuskan kerungsingan pihak berkuasa apabila melibatkan kes yang tidak dilaporkan.

Oleh itu, beliau menyeru semua jiran atau orang sekeliling agar tidak memilih untuk berdiam diri kerana sikap ini menjadi punca kepada peningkatan kes penderaan kanak-kanak di negara ini.

IKLAN

Kenyataan ini turut disokong oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, bahawa masyarakat perlu bangkit dan bertekad membanteras masalah ini.

“Ini kerana keselamatan dan kehidupan kanak-kanak, satu tanggungjawab bersama yang perlu dibela bagi melahirkan pewaris negara.

“Oleh itu, masyarakat perlu membuang sikap ‘menyepikan diri’ agar nyawa yang tidak berdosa ini dapat diselamatkan daripada mereka yang tidak bermoral ini,” jelas beliau.

Dalam forum ini, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak perlu takut membuat laporan polis sekiranya saksi mempunyai bukti dan asas yang kukuh mengenai kes penganiayaan ini.

Oleh itu, masyarakat perlu berganding bahu dalam mengawal dan menyusun strategi bagi membantu kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah ini daripada terus menjadi mangsa kepada individu tidak bertanggungjawab.

Diharapkan perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat untuk terus ‘menjaga tepi kain orang’ dan mengambil langkah yang proaktif dalam melaporkan kes penderaan dan penganiayaan kanak-kanak kepada pihak berkuasa bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang selamat dan terjamin.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA