Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZMacGyver Malaysia tidak pernah sunyi mereka cipta, inspirasi anak muda untuk terus...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

MacGyver Malaysia tidak pernah sunyi mereka cipta, inspirasi anak muda untuk terus kekal berinovasi

Mendapat jolokan MacGyver Malaysia, pembabitannya dalam dunia reka cipta kira-kira empat dekad lalu tidak boleh disangkal.

Sudah mencipta tidak kurang 1,000 inovasi sepanjang pembabitannya dalam bidang reka cipta, Zulkifli Haron, 65, sememangnya tidak pernah kehabisan idea untuk mereka cipta dan berinovasi.

Bermatlamat ingin menyelesaikan masalah masyarakat setempat, Zulkifli memberitahu, setiap ciptaan dan inovasinya adalah berdasarkan masalah semasa dalam kehidupan seharian.

“Alhamdulillah setakat ini segala ciptaan dan inovasi yang dihasilkan adalah hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan terlebih dahulu.

“Realiti sebenarnya, mereka ini hanya akan terjadi apabila kita mendapat ‘subjek’ dan dari situ baru mula berfikir.

“Sekiranya tiada subjek yang diberikan, hasil rekaan dan inovasi akan lebih terarah kepada keadaan semasa, sebagai contoh pintu semburan sanitasi yang dihasilkan apabila dunia dilanda pandemik Covid-19,” ujarnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam bidang inovasi dan reka cipta, jelas anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, selain minat membaiki pelbagai barangan ketika kecil, dia juga dibesarkan oleh nenek dan datuknya yang gemar bertukang.

Sememangnya diberikan sepenuhnya kebebasan untuk melakukan apa sahaja semasa kecil, Zulkifli tidak menafikan, kemahiran yang ada dalam dirinya juga merupakan anugerah daripada Tuhan.

Apa yang dilakukan hanyalah mengasah dan menggilap lagi kemahiran sedia ada untuk menjadi lebih cekap.

“Saya dibesarkan di kampung oleh datuk dan nenek. Ketika itu mereka tidak begitu kisahkan soal pendidikan, jadi apa juga saya lakukan mereka tidak halang.

“Tambahan pula datuk memang seorang tukang, jadi segala peralatan pertukangan ‘terdedah’ begitu sahaja dan saya pula rajin ‘memperbaiki’ apa juga barang yang ada di sekeliling ketika itu.

“Kembali tinggal bersama keluarga di Kuala Lumpur ketika berumur tujuh tahun, ayah juga tidak pernah menghalang apa  yang saya suka lakukan kerana padanya itu adalah hobi dan  akhirnya saya lebih didedahkan dengan kemahiran,” tambahnya.

Setelah mengetahui potensi diri, Zulkifli tidak pernah mensia-siakan bakat yang ada apabila mendalami lagi ilmu kemahiran di Institut Kemahiran Mara (IKM).

Dari situlah Zulkifli yang ‘tamakkan’ ilmu turut ‘berguru’ dengan pelajar-pelajar jurusan lain yang duduk bersamanya di dalam satu dorm.

IKLAN

Daripada hanya satu ilmu, akhirnya bapa kepada tujuh orang cahaya mata ini telah memperoleh pelbagai ilmu dalam pelbagai bidang.

Akademi

Pada tahun 1985, Zulkifli akhirnya membuat keputusan untuk membuka perniagaan. Bermula dengan jenama Zull Design Autotronic (ZDA) yang menawarkan perkhidmatan mereka cipta produk, inovasi, membaik pulih peralatan dan sebagainya, kini ia turut menawarkan kursus-kursus kemahiran kepada yang berminat.

“Apabila kita bercakap mengenai inovasi, ia membabitkan ilmu pengetahuan yang tidak akan habis sampai bila-bila.

“Jadi semuanya terpulang kepada individu tersebut sama ada hendak buat atau tidak.

“Jadi dalam usaha kekalkan apa yang ada (ilmu kemahiran) saya menawarkan kursus-kursus kemahiran di bawah ZDA,” tuturnya.

Dalam pada itu, ZDA turut menawarkan kursus-kursus kemahiran kepada mana-mana pihak atau sekolah yang berminat untuk tempoh jangka pendek selain Final Year Project (FYP) yang dikhususkan untuk pelajar-pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi.

Pelajar tahun akhir akan menyertai Final Year Project (FYP) di Zull Design Autotronic untuk menghasilkan projek mereka.

IKLAN

Pelapis

Kini, memberi sepenuh kepercayaan kepada pelapis muda ZDA menghasilkan ciptaan terbaharu mereka, Zull Design menjadi lambang kejayaan Zulkifli sebagai sebuah syarikat yang memperkasa teknologi reka cipta dan juga melahirkan generasi muda  berinovasi dan kreatif.

“Bercakap mengenai pelapis, bukannya tidak ada tetapi tidak ramai kerana bidang kemahiran reka cipta ini tidak semua berminat.

“Lagipun apa yang saya lihat hari ini, kesedaran dalam kalangan anak-anak muda mengenai bidang kemahiran ini kurang.

“Apa yang diharapkan dengan sedikit usaha yang saya lakukan dapatlah kita melahirkan legasi dan generasi dalam bidang ini,” katanya.

Yang pasti, sehingga hari ini, Zulkifli tidak pernah lelah atau berhenti mereka cipta dan berusaha untuk melahirkan pelapis dalam usaha merancakkan dunia kemahiran reka cipta dan inovasi tempatan.

Zulkifli ‘menurunkan’ ilmunya kepada generasi muda hari ini dalam usaha menggalakkan mereka menceburi bidang inovasi.

INFO

IKLAN

PROGRAM DAN KURSUS ZULL DESIGN AUTOTRONIC

KURSUS REKA CIPTA DAN INOVASI

Kursus ini lebih menekankan kepada menghasilkan sesebuah projek secara berkumpulan. Ia melibatkan kursus-kursus mekanikal dan elektrikal dalam tempoh masa antara tujuh hingga 14 hari. Peserta terbuka kepada pelajar sekolah, institusi atau kolej, jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

PROGRAM KOLABORATIF PELAJAR INSTITUSI/ UNIVERSITI DALAM PROJEK TAHUN AKHIR

Program yang dijalankan bersama mahasiswa dan mahasiswi ini bertujuan membimbing pelajar menghasilkan projek tahun akhir dari segi reka bentuk, mekanikal dan elektrikal.

Program ini turut mendedahkan dan mendekatkan pelajar kepada alam industri. Pelajar juga dikenalkan dengan bahan dan komponen yang sering digunakan dalam industri.
Tempoh masa yang diambil bergantung kepada komitmen dan kemahiran pelajar sehingga berjaya menghasilkan projek yang dikehendaki oleh institusi/ universiti/ kolej (secara puratanya adalah antara 10 hingga 14 hari).

KURSUS ASAS MICROCONTROLLER 

Pengenalan asas alat kawalan mikro untuk pelajar bermula seawal usia 10 hingga 40 tahun. Tempoh masa kursus adalah antara dua hingga tiga hari sahaja bagi menghasilkan pendawaian litar dan pengaturcaraan. Kursus ini juga cenderung ke arah robotik dan industri 4.0.

KURSUS ASAS ELEKTRIKAL DAN ELEKTRONIK DALAM INOVASI

Kursus asas elektrik dan elektronik pula diadakan secara berkumpulan antara 20 hingga 30 orang peserta. Peralatan elektrik dan elektronik digunakan sebagai alat untuk menjana idea baharu dalam aktiviti-aktiviti yang diberikan. Kursus ini bertujuan mendalami sifat-sifat asas elektrikal dan elektronik dalam sesebuah litar.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA