Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZDalami bidang dekorasi kek, Shafikah teruskan legasi keluarga dalam bidang kulinari
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Dalami bidang dekorasi kek, Shafikah teruskan legasi keluarga dalam bidang kulinari

Siapa yang tidak suka melihat kek dihias cantik apatah lagi dihasilkan dengan kombinasi warna menarik dengan menggunakan bahan-bahan bermutu tinggi bagi mengekalkan rasa yang premium.

Sudah tentunya ia berjaya menarik perhatian dan memikat selera kebanyakan orang yang melihatnya.

Keseronokan menghasilkan dekorasi kek yang cantik dan dibuat khusus berdasarkan permintaan pelanggan membuatkan pelajar Management and Science University (MSU), Shafikah Nuriman Md Nazri, nekad untuk menubuhkan perniagaan bakeri yang dikenali dengan nama semanisiman.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Patisserie, ini memilih untuk memulakan perniagaan berkenaan yang beroperasi di rumah dengan berbekal modal permulaan kira-kira RM300, hasil sumbangan daripada ahli keluarganya.

Menurut Shafikah, minat dalam bidang pembuatan kek dan pastri mula timbul sejak dari kecil lagi kerana nenek, ibu dan ibu saudaranya gemar memasak dan membuat kuih serta kek.

“Jadi saya ingin meneruskan legasi keluarga dengan menyambung pengajian Diploma Seni Kulinari di MSU dan meneruskan ke peringkat ijazah dalam bidang pattiserie kerana saya gemar membuat dekorasi kek terutama membabitkan kek yang ditempah khas oleh pelanggan.

IKLAN

“Tugas menghias kek ini bukan mudah sebaliknya memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi serta latihan berterusan agar kek yang dihasilkan itu kelihatan cantik dan sempurna di mata pelanggan,“ ujarnya.

Setakat ini, anak sulung daripada enam adik beradik itu mempromosikan perniagaan bakerinya secara dalam talian melalui platform media sosial Instagram.

Kek yang dihasilkan pula dijual dengan harga mampu milik dan berpatutan berdasarkan tempahan pelanggan serta menyediakan pelbagai pilihan termasuklah brownies, victoria sandwich, pavlova, kek cawan, pandan gula melaka, marble, choc and cheese dan beberapa jenis biskut.

Berdepan cabaran
Berkongsi mengenai cabaran yang pernah dihadapi sepanjang menceburi bidang pembuatan kek dan pastri, gadis manis yang berasal dari Shah Alam, Selangor, itu memberitahu ada pernah satu ketika dia terpaksa menolak tempahan pelanggan gara-gara ketuharnya rosak.

IKLAN

“Saya bersyukur kerana sejak tiga tahun mengusahakan perniagaan ini, kejadian itu terjadi sekali sahaja.

“Selain itu, sudah tentunya saya berdepan kekangan masa kerana menjalankan perniagaan ketika masih bergelar pelajar di mana perlu bijak membahagikan masa antara akademik dan bisnes yang diusahakan.

IKLAN

“Saya biasanya akan bergegas membeli barang keperluan membuat kek sebaik habis kelas dan menghabiskan masa menyiapkan tempahan pelanggan sehingga jam 2 atau 3 pagi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak mempunyai masalah untuk ke kuliah pada keesokan harinya,“ kongsi Shafikah lagi.

Sepanjang menyambung pengajian di MSU, Shafikah turut berpeluang menyertai beberapa pertandingan antaranya World Chef Championship 2019 yang diadakan di Kedah dan berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Sebelum mengakhiri perbualan, Shafikah sempat menitipkan pesanan buat pelajar di luar sana yang berminat menyambung pengajian dalam bidang kulinari atau menceburi perniagaan bakeri supaya berbuat demikian kerana minat.

“Bidang pembuatan kek terutama membabitkan dekorasi yang rumit dan mengambil masa yang lama ini amat bergantung kepada minat kerana apabila seseorang itu tidak bersungguh-sungguh dalam apa yang dilakukan, ia tidak akan berjaya.

“Buat kek atau pastri ini bukan selalunya terus menjadi pada percubaan pertama. Ia memerlukan latihan dan pembelajaran berterusan, sebab itu saya tekankan pilih bidang ini kerana minat supaya walau apa pun halangan dan cabaran mendatang, kita akan terus gigih mendepaninya,“ tuturnya.

Biodata
Nama: Shafikah Nuriman Md Nazri
Umur: 27 tahun
Tempat lahir: Shah Alam, Selangor
Pendidikan: Diploma Seni Kulinari dan Ijazah Sarjana Muda Seni Pattiserie, MSU
Pencapaian (Penyertaan):Competition of Teaffani Canape (2018)
University Entrepreneurship Masterclass (2018)
Melaka Culinary Challenge (2019)
MSU Young Chef Battlefield (2019)
Malaysia Culinaire FHM (2019)
Pingat gangsa World Chef Championship di Kedah (2019)

Artikel Berkaitan

MESTI BACA