Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZJenis-jenis baja dalam pertanian, pelajar Tingkatan 4 perlu hafal
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Jenis-jenis baja dalam pertanian, pelajar Tingkatan 4 perlu hafal

Pertanian moden pada hari ini banyak bergantung kepada penggunaan baja terutamanya baja yang berunsur nitrogen sebagai bahan untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman.

Baja merupakan satu bahan yang ditambah pada tanah untuk membekalkan nutrien kepada tanaman dengan tujuan meningkatkan hasil dan kualiti tanaman.
Keperluan pembajaan bergantung kepada jenis tanaman dan tahap kesuburan tanah. Penggunaan baja organik atau baja kimia memberi kesan sampingan kepada kesuburan tanah dan kualiti tanaman.

Oleh itu, GPSBestari akan menyenaraikan jenis baja yang sering digunakan di dalam pertanian masa kini. Secara umumnya, baja dikelaskan kepada dua iaitu baja organik yang mengandungi elemen semula jadi dan baja kimia yang mengandungi elemen kimia.

IKLAN

1. Baja organik
Baja organik merupakan baja yang terhasil daripada proses pereputan sisa haiwan dan tumbuhan. Baja organik merupakan baja yang mesra alam kerana dihasilkan tanpa menggunakan bahan kimia.
a. Tinja haiwan yang diproses
Tinja ternakan boleh dijadikan baja sama ada digunakan secara terus atau setelah diproses. Selalunya, tinja tersebut diasingkan daripada rumput dan sampah. Tinja disimpan selama 40 hari sehingga mengalami penguraian bakteria bagi menghasilkan baja kompos. Baja dalam bentuk kering sering digunakan kerana keadaannya yang lebih mudah ditangani dan tidak berbau.
b. Sisa kilang pertanian
Sisa kilang pertanian seperti kilang memproses minyak kelapa sawit menghasilkan bahan buangan sampingan seperti tandan kelapa sawit dan hampas isi rong. Kilang memproses padi pula menghasilkan sekam padi. Kesemua hasil sisa kilang pertanian ini boleh dihancurkan dan diproses menjadikan baja organik.
c. Sisa ladang
Sisa ladang terdiri daripada sisa tanaman dan sisa ternakan. Contoh sisa tanaman seperti batang jagung, sayuran yang rosak dan rumput yang dipotong. Sisa ternakan pula merujuk kepada baja haiwan ternakan.

IKLAN

2. Baja Kimia
Baja kimia ialah baja yang terhasil daripada bahan tidak organik yang diproses secara sintetik bagi memasukkan satu nutrien utama atau lebih. Baja terbahagi kepada empat jenis, iaitu baja tunggal, baja sebatian, baja campuran, dan baja lengkap.
a. Baja tunggal
Baja tunggal ialah baja yang mengandungi satu nutrien utama yang diperlukan oleh tanaman. Baja tunggal terdiri daripada Nitrogen atau Fosforus atau Kalium.
b. Baja sebatian
Baja sebatian merupakan baja yang mengandungi dua atau lebih unsur nutrien utama tanaman yang disebatikan secara kimia. Kandungan nutriennya disediakan dalam pelbagai nisbah.
c. Baja campuran
Baja campuran adalah baja yang dihasilkan daripada campuran dua atau lebih baja tunggal yang berbeza saiz, bentuk dan ketumpatan. Campuran dilakukan secara fizikal tanpa melibatkan tindak balas kimia.
d. Baja lengkap
Baja lengkap mengandungi kombinasi semua nutrien utama yang diperlukan iaitu nitrogen, fosforus dan kalium. Baja lengkap juga mengandungi nutrien mikro, campuran enzim dan pengawal tumbuhan semula jadi.

IKLAN

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu menambah pengetahuan dalam bidang pertanian.

Sumber: Buku teks pertanian Tingkatan 4

Artikel Berkaitan

MESTI BACA