Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZKemahiran dan kreativiti elemen penting, Ili Sulaiman sifatkan ia diperlukan dalam bidang...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
631FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Kemahiran dan kreativiti elemen penting, Ili Sulaiman sifatkan ia diperlukan dalam bidang kulinari

Kepetahannya berbicara ketika mengacara rancangan masakan dan kecekapannya menyediakan pelbagai jenis masakan menjadikan Ili Sulaiman dikenali ramai dalam sekelip mata.

Tambahan pula dia turut menampilkan kelainan dalam setiap rancangan masakannya, ia sekali gus menjadikan anak kelahiran Selangor ini idola ramai dalam bidang kulinari.

Melihat caranya bagai seorang cef yang berpengalaman luas dalam bidang masakan, hakikatnya Ili tidak pernah mengikuti sebarang pengajian di dalam bidang kulinari.

Ili menjadikan masakan satu bidang yang mudah.

Segala kemahiran dalam bidang masakan diperoleh Ili daripada kedua orang neneknya, baik di sebelah bapa mahupun sebelah ibunya.

Apa yang istimewa mengenai masakan yang dihasilkan Ili, selain masakan tradisional Melayu, Ili juga berkebolehan menghasilkan pelbagai jenis masakan Cina, India dan juga Barat.

Ini termasuklah membuat dan menghias kek dan juga pelbagai jenis roti dan pastri.

Bagi Ili tiada apa yang mustahil sekiranya ia diusahakan bersungguh-sungguh untuk mendalami sesuatu ilmu itu.

Pembuatan dan menghias kek

Ujar Ili, tiada apa yang membezakan antara masakan harian dan pembuatan serta menghias kek kerana kesemuanya memerlukan kemahiran dan kreativiti.

“Jika kita berbicara mengenai pembuatan dan menghias kek, tidak dinafikan segala-galanya bergantung kepada kemahiran dan juga kreativiti individu tersebut.

“Selain perlu memastikan segala sukatan setiap bahan adalah tepat, kita juga perlu memastikan setiap arahan pembuatannya diikuti langkah demi langkah.

“Ini kerana sekiranya setiap sukatan dan arahan tidak diikuti dengan betul, kek yang dihasilkan pasti tidak menjadi.  Begitu juga hiasannya, sekiranya tanpa kreativiti dengan idea menarik, kek tersebut tidak cantik. Pada masa yang sama, pembuatan dan menghias kek juga memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi,” ujarnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Sambung Ili, pembuatan dan menghias kek turut memerlukan latihan  berterusan dalam usaha menghasilkan yang terbaik, kerana katanya walaupun segala timbangan dan arahan telah diikuti adakalanya kek yang dihasilkan tidak menjadi.

IKLAN

Apabila perkara ini terjadi, Ili menjelaskan ada kala teknik yang digunakan tidak betul dan untuk itu sebelum membuat adunan, teknik-teknik penghasilan dan menghias kek juga perlu dipelajari.

“Tidak dinafikan walaupun pembuatan kek segala bahan-bahannya perlu disukat dan dibuat mengikut langkah demi langkah seperi membuat uji kaji sains, tetapi ada kala ia tidak menjadi.

“Ini kerana dalam pembuatan kek terdapat perkara-perkara yang perlu diikuti dengan tepat dan teknik yang digunakan juga seharusnya betul.

“Apabila ada setengah langkah dilangkau atau teknik mengacau adunan salah, ini yang menjadikan kek bantat, keras dan sebagainya,” tuturnya lanjut.

Disebabkan pembuatan dan menghias kek perlu mengikut prosedur, Ili memberikan fokus kepada bidang masakan harian.

Katanya, bidang masakan, bahan-bahannya tidak perlu disukat dan ia juga tidak perlu terlalu mengikut langkah demi langkah.

Disebabkan inilah apabila melihat semua cef-cef yang berpengalaman, mereka banyak menggunakan sukatan menggunakan sudu, cawan, cubitan dan sebagainya.

Bagi Ili, pengakhirannya adalah rasa.

Belajar memasak dengan nenek

IKLAN

Bercerita mengenai kemahiran memasak yang ada pada dirinya, Ili memberitahu, dia didedahkan dengan peralatan dapur seawal usia tujuh tahun ketika kanak-kanak seusianya masih leka bermain.

Ili sudah dibiasakan memasak di dapur dan menyediakan hidangan untuk keluarga dan walaupun dipengaruhi kehidupan moden, kedua-dua neneknya sangat mementingkan keupayaan dan kemahiran memasak .

“Saya dibesarkan dan tinggal bersama kedua-dua nenek sebelah ibu dan bapa kerana mereka (ibu bapa) bekerja dengan syarikat penerbangan sebagai pramugari dan pramugara.

“Jadi kedua-dua nenek memang suka masak dan disebabkan itu jugalah saya boleh makan apa juga jenis masakan kerana nenek sebelah ibu berketurunan Cina manakala sebelah bapa adalah Melayu.

“Sekarang, apabila sudah berkahwin, ibu mentua berketurunan India, jadi saya mengambil peluang belajar masakan India,” tuturnya.

Ili merupakan cef yang lebih kepada masakan harian.

Kemahiran memasak Ili tidak berhenti di situ apabila ia diteruskan ketika pemenang Food Asia Hero 2015 ini melanjutkan pengajian ke Universiti Queen Mary di London dalam jurusan perniagaan.

Sebagai satu-satunya pelajar Melayu yang boleh memasak dengan baik sudah pasti dia menjadi tumpuan.

Setiap kali musim perayaan, Ili ditugaskan untuk menyediakan juadah Aidilfitri tetapi ia sedikit pun tidak membebankan malah memberikan kegembiraan kepada Ili kerana dapat menyediakan hidangan istimewa di sana.

IKLAN

Lapan tahun menetap di London, Ili turut mencari pengalaman dengan bekerja di kafe mewah dalam bidang pemasaran dan juga pengurus acara.

Banyak yang dipelajarinya, bermula daripada cara membuka perniagaan sehingga komunikasi dengan pelanggan dan pengalaman ini digunakan dalam pengurusan restoran Agak Agak satu ketika dahulu.

Ili mengakui kulinari bukanlah satu bidang yang mudah tetapi sekiranya ia disusuli dengan usaha yang berterusan tidak mustahil kemahiran dan kreativiti itu akan datang dengan sendirinya.

BIODATA

Nama: Ili Khalisah Sulaiman

Umur: 36 tahun

Asal: Ampang, Selangor

Bilangan adik beradik: Anak tunggal

Status: Berkahwin

Kerjaya: Cef, pengacara televisyen

Pencapaian: Pemenang Food Asia Hero 2015 (Asian Food Network (AFN))

RANCANGAN YANG PERNAH DIKENDALIKAN ILI

  1. Diari Mangkuk Tingkat Bersama Ili (2015, Astro Ria)
  2. Home Cooked: Malaysia (2015, Asian Food Channel)
  3. Family Feast with Ili (2016, Asian Food Channel)
  4. By The Sea With Ili (2016, Asian Food Channel)
  5. Inspired with Anna Olson (2016)
  6. Confucius was a Foodie (2018)
  7. Belanga Kacukan (2019, TV Okey)

Artikel Berkaitan

MESTI BACA