Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZKek Macaroon, idea dari Paris, Wahdi Farhad tubuhkan Le Chouette Macaron
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Kek Macaroon, idea dari Paris, Wahdi Farhad tubuhkan Le Chouette Macaron

Paris, bandar raya yang mendapat jolokan “City of Love“ atau kota cinta itu menjadi titik tolak tercetusnya minat Wahdi Farhad Hadithon terhadap manisan yang dikenali dengan nama macaroon.

Semuanya bermula ketika lulusan Seni Reka Grafik itu berkunjung ke Paris, Perancis, buat pertama kalinya pada 2009 kerana mengikuti program seni fotografi musim panas.

Sepanjang berada di kota Paris yang juga terkenal sebagai tempat kelahiran ramai cef terkemuka dunia itu, Wahdi mula jatuh cinta dengan butik-butik yang menjual manisan seperti Laduree, Pierre Herme dan banyak lagi.

Apabila dapat merasai sendiri macaroon Laduree yang sememangnya menjadi manisan popular di kota fesyen itu membuatkan Wahdi mula timbul minat untuk mempelajari seni membuatnya.

Apatah lagi kedai manisan yang diasaskan pada 1862 itu menjadi sebutan pencinta manisan di seluruh dunia kerana seleksi macaroon, kek dan pastri yang ditawarkan sangat enak lagi berperisa.

Wahdi menunjukkan kek yang pernah dihasilkan.

Kecintaan yang sangat mendalam terhadap macaroon akhirnya membawa Wahdi terbang sekali lagi ke Paris pada 2011 dan kali ini untuk mengikuti kelas membuat manisan dan kek bersama cef di negara Kesatuan Eropah itu.

“Peluang kali kedua berada di Paris ketika itu digunakan sebaik mungkin untuk mendalami ilmu serta selok belok membuat manisan dan kek.

“Saya turut mengikuti kelas secara peribadi daripada bekas cef yang pernah bekerja di butik-butik manisan terkemuka di sana,“ ujarnya.

Miliki perniagaan sendiri
Pembabitan aktif Wahdi dalam bidang pembuatan kek dan macaroon bermula pada 2012 apabila dia menubuhkan kafe miliknya yang diberi nama Le Chouette Macaron.

IKLAN

Le Chouette Macaron menawarkan pelbagai pilihan kek dan manisan, malah lebih istimewa lagi ia mengetengahkan dekorasi berasaskan macaroon yang ternyata berjaya menarik minat ramai penggemar kek dan pastri di negara ini.

Antara kek di Le Chouette Macaron yang dihasilkan oleh Wahdi.

Selain menjual kek dan macaroon, kafe yang beroperasi di Empire, Subang Jaya, itu turut menjual doorgift, manisan dalam bentuk jambangan bunga juga produk sampingan seperti t-shirt dan minyak wangi yang bertemakan kek serta manisan.

Berkongsi mengenai detik awal ketika menceburi dunia bakeri ini, Wahdi yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pada ketika itu tidak ramai kaum lelaki yang memilih kerjaya sebagai pembuat kek atau manisan di Malaysia.

“Jika ada pun, mereka beroperasi secara dalam talian. Pada masa itu juga, saya dapati belum ada pembuat kek atau kedai bakeri yang menggunakan macaroon sebagai bahan utama dalam hiasan kek.

IKLAN

“Sehubungan itu, saya melihat situasi berkenaan sebagai peluang untuk memperkenalkan konsep gabungan kek dan macaroon yang belum lagi dikenali ramai pada waktu itu,“ kongsinya lagi.

Hari ini, sudah tentunya nama Le Chouette Macaron tidak perlu diperkenalkan lagi kerana keunikan hiasan kek menggunakan macaroon dan gabungan warna-warna menarik sudah cukup membuatkan ia meniti dibibir ramai pelanggan yang pernah merasai sendiri keenakan kek dan manisan hasil air tangan Wahdi itu.

Wahdi ketika mengikuti kelas pembuatan kek dan manisan di Paris.

Kecanggihan teknologi, kemudahan capaian internet dan kewujudan media sosial pada hari ini juga membolehkan produk yang dihasilkan Wahdi berjaya menarik perhatian orang ramai di seluruh dunia sehingga ada yang sanggup terbang jauh dari negara masing-masing untuk membeli dan merasai produk hasil air tangan Wahdi.

Perlu ada minat
Mengulas mengenai kemahiran yang perlu dimiliki pelajar sekiranya ingin menceburi bidang pembuatan kek, manisan atau pastri, Wahdi berkata, perkara utama ialah minat dan keinginan tinggi untuk mendalami bidang itu.

Jelasnya, pelajar-pelajar pada hari ini sangat bertuah dan beruntung kerana mereka mempunyai pelbagai saluran untuk menuntut ilmu termasuklah melalui kelas persendirian, berkumpulan atau menerusi media sosial seperti YouTube.

IKLAN

Le Chouette Macaron mengetengahkan dekorasi kek berasaskan macaroon.

“Sejak dulu lagi, pendidikan pembuatan kek dan pastri sudah cukup meluas di Malaysia tetapi kurang diminati kerana trend atau budaya kafe belum meluas lagi pada waktu itu.

“Namun kini,dengan wujudnya banyak kafe unik dan menjual kek serta manisan yang menarik ditambah pula dengan keghairahan golongan muda pada hari ini membuat pelbagai perkongsian di media sosial menjadikan budaya kafe ini semakin popular di Malaysia.

“Secara tidak langsung ia membuatkan ramai anak-anak muda mula menunjukkan minat untuk menceburi bidang pembuatan kek dan kepelbagaian platform menuntut ilmu pada hari ini bermula daripada aplikasi TikTok, Youtube, Instagram serta buku-buku memudahkan lagi proses pembelajaran itu berlaku,“ tutur Wahdi lagi.

Buat pelajar yang baru berjinak-jinak dalam bidang pembuatan kek atau menceburi bisnes bakeri, Wahdi menitipkan nasihat supaya sentiasa mempelajari teknik baharu, mengikut trend semasa dan paling penting menjaga kualiti produk yang dihasilkan.

“Jika produk yang dihasilkan itu bagus dan berkualiti tinggi, ia akan menjadi buah mulut ramai orang sekali gus membantu mempromosikan kek tersebut tanpa kita perlu membelanjakan kos yang besar bagi membuat strategi pemasaran,“ katanya mengakhiri perbualan.

Biodata
Nama penuh: Wahdi Farhad Hadithon
Umur: 40 tahun
Asal: Subang Jaya, Selangor
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik, UiTM
Perniagaan: Le Chouette Macaron

Artikel Berkaitan

MESTI BACA