Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZAgro Techno Park UMK pacu sektor ekonomi berasaskan pertanian
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Agro Techno Park UMK pacu sektor ekonomi berasaskan pertanian

JELI – Demi merealisasikan strategi pemindahan ilmu kepakaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada masyarakat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengorak langkah ke hadapan dengan mewujudkan Agro Techno Park (ATP) sebagai platform yang mampu memacu sektor pertanian sekali gus menjana ekonomi berasaskan pertanian.

ATP adalah inisiatif UMK untuk menerapkan kemahiran keusahawanan dan teknikal kepada warga UMK serta masyarakat setempat untuk menceburi bidang keusahawanan di dalam sektor pertanian yang bertujuan meningkatkan sumber pendapatan universiti dan ekonomi setempat.

Pengarah ATP UMK, Dr Ch’ng Huck Yeoh berkata, penubuhan ATP adalah sebagai platform terbaik dalam meningkatkan lagi penjanaan pendapatan dengan memberi tumpuan dalam bidang pertanian manakala operasi urus tadbirnya adalah di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang diketuai oleh Prof Ts Dr Arham Abdullah.

Beliau berkata, secara keseluruhan ATP mempunyai kawasan seluas 120 ekar yang terdiri daripada dua kawasan pertanian iaitu ATP UMK Bachok dan ATP UMK Kampus Jeli.

“Peranan yang dimainkan oleh ATP ialah membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi semua fakulti di UMK malah usaha ini sudah dilaksanakan sejak 10 tahun kebelakangan ini dengan menyediakan kemudahan tapak atau infrastruktur bagi tujuan penyelidikan kepada pelajar dan pensyarah di UMK.

“Selain itu, ATP juga merancang dan membangunkan infrastruktur pertanian untuk rujukan kepada pelajar, staf dan masyarakat secara Showcase of Agricultural Technology, memberi bantuan khidmat nasihat dan latihan teknikal dalam bidang pertanian,” kata beliau.

Dr Huck Yeoh yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) berkata, pada masa kini ATP UMK Kampus Jeli telah membangunkan tapak Germplasm Durian terbesar di Kelantan.

Jelas beliau, perasmian tapak Germplasm Durian ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Mohd Saripudin Tuan Ismail pada Oktober tahun lalu.

“Tapak ini telah dibangunkan dengan plot komersial durian daripada pelbagai variasi durian seperti Musang King, Duri Hitam dan IOI dan akan dikomersialkan pada masa hadapan untuk tujuan penjanaan pendapatan universiti.

IKLAN

“Pihak ATP juga telah berjaya menanam sebanyak 31 variasi germplasm durian seperti Musang King, D200 Duri Hitam, D175 Udang Merah, D168 IOI (Hjh Hasmah), D164 Ang Rak dan Iain-lain,” ujar beliau.

Projek ini berpotensi menjadikan UMK sebagai satu pusat rujukan dan penyelidikan utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama bagi penyelidik-penyelidik dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Sementara itu, menurut Dr Huck Yeoh lagi, UMK turut membangunkan komponen pertanian yang lain seperti tanaman sayur-sayuran menggunakan sistem NFT (Nutrient Film Technique) dan sistem fertigasi, nurseri penjualan pokok dan tumbuhan hiasan, serta ternakan kambing, lembu, itik penelur dan burung puyuh.

Tambah beliau, penanaman sayur-sayuran menggunakan teknologi NFT ini adalah satu kaedah di mana tanaman yang mempunyai akar tanaman tumbuh pada lapisan air baja yang tipis dan sentiasa mengalir sehingga tanaman memperoleh cukup air, baja tanaman, dan oksigen.

“Kaedah ini mampu meringgankan kerja penyelenggaraan proses penanaman berbanding dengan kaedah tanaman di atas tanah yang melibatkan membajak tanah, merumpai, menyiram dan membaja.

IKLAN

“Walaupun kos asas penggunaan teknologi NFT ini agak tinggi dan memerlukan kemahiran, namun pulangan yang tinggi, cepat dan meringankan proses penyelenggaraan menyebabkan ia telah dipilih sebagai satu kaedah penanaman sayuran yang semakin popular di Malaysia,” kata Dr Huck Yeoh.

Ujar Dr Huck Yeoh, ATP turut mengusahakan tanaman Rock Melon menerusi sistem fertigasi yang mampu meningkatkan penyerapan dan penggunaan sumber nutrien oleh tanaman dengan lebih efisien serta dapat mengurangkan risiko larut resap nutrien yang biasa berlaku jika ditanam di atas tanah.

Selain itu, ATP menternak baka kambing terbaik dan berkualiti iaitu spesis baka Boer, Jamnapari dan Sannen.

Koleksi ternakan kambing pembaka berkualiti sekali lagi menjadikan ATP satu ladang yang istimewa dan mampu menyediakan peluang untuk tujuan kajian pelajar UMK bagi tujuan pembelajaran.

Di samping itu, ATP UMK berbesar hati dapat bekerjasama dengan Fakulti Industri Asas Tani UMK dalam pembangunan sistem Internet of Things (IoT) untuk tujuan tanaman dan ternakan kambing.

IKLAN

Sistem IoT yang terdapat di dalam kandang kambing mampu mengawal suhu dalam kandang dengan membuka kipas-kipas dalam kandang secara automatik apabila suhu sekeliling menjadi panas.

Penggunaan sistem ini mampu membantu dalam pengoperasian pembekalan air dan cahaya kepada kambing-kambing dalam kandang.

ATP UMK juga menyediakan tapak untuk PdP serta penyelidikan kepada pelajar prasiwazah dan pascasiswazah.

Menurut Dr Huck Yeoh, satu kajian penyelidikan padi juga telah dijalankan di atas plot penyelidikan ATP untuk mengkaji kesan hasil inovasi baja dalam mempertingkatkan keberkesanan pembebasan dan penyerapan nutrien oleh tumbuhan padi.

“Plot-plot ini mampu memberi peluang kepada para pelajar untuk mengadakan hands-on secara kendiri supaya mereka dapat menerap dan mengaplikasikan ilmu teknikal di bidang pertanian yang sebenar selain daripada proses pembelajaran secara teori dalam kelas.

“Selepas sesi tanaman, pelajar-pelajar dikehendaki menjual hasil tanaman mereka atau memproses hasil tanaman mereka kepada produk baru untuk penjanaan pendapatan.

“Ini membolehkan pelajar mendalami ilmu keusahawanan dan inovasi dengan lebih lanjut, selaras dengan konsep UMK yang berteraskan keusahawanan,” katanya.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA