Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZDulu berniaga dari rumah ke rumah, kini Jovian Mandagie jenama gah dalam...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Dulu berniaga dari rumah ke rumah, kini Jovian Mandagie jenama gah dalam dunia fesyen

“Jovian Mandagie bukanlah satu jenama yang dicipta dalam sekelip mata dan kejayaan hari ini bukanlah suatu perkara mudah untuk dikecapi kerana saya bermula dengan menjual pakaian dari rumah ke rumah dan segalanya diusahakan dari bawah.” Itulah pembukaan cerita pereka fesyen ternama tanah air, Datuk Jovian Mandagie, 35, apabila ditanya mengenai pembabitan awalnya dalam dunia fesyen.

Menyambung perbualan, beritahu Jovian, walaupun dibesarkan dalam persekitaran dan keluarga yang mengusahakan perniagaan, ia bukanlah ‘tiket’ untuknya terus berjaya sebagai seorang usahawan dalam sekelip mata.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata ini, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil usahanya tanpa mengenal erti putus asa dan juga sokongan daripada keluarga tercinta.

Menyifatkan dirinya seorang yang cekal dan tidak mudah putus asa, Jovian bersyukur kerana keputusannya menukar jurusan ketika menyambung pengajian di universiti telah membawanya berada pada kedudukan hari ini.

Bercerita mengenai peristiwa tersebut, ujar anak kelahiran Jakarta, Indonesia, dia membuat keputusan untuk menukar kursus pengajian daripada seni bina ke fesyen ketika berada pada semester dua.

Sanggup meniru tandatangan ibunya, Silvan Salim, semata-mata kerana ingin menukar jurusan yang mendapat tentangan daripada ibunya itu, akhirnya ‘penipuan’ tersebut berbaloi apabila dia kini merupakan seorang pereka fesyen terkenal.

“Sebaik ibu mengetahui mengenai penukaran kursus pengajian, saya telah dicabar dan pastinya cabaran itu disahut dan alhamdulillah di sinilah Jovian Mandagie hari ini.

“Ibu tidak suka saya mengambil kursus rekaan fesyen kerana stigma orang dulu-dulu kalau terlibat dalam bidang ini, terutamanya lelaki akan bertukar menjadi ‘lembut’.

“Alhamdulillah, berkat usaha selama ini saya berjaya membuktikan kepada keluarga fesyen juga merupakan bidang yang boleh mencipta kejayaan,” tuturnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Mengukuhkan jenama

IKLAN

Hari ini selain cukup terkenal di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia, Jovian ingin mengukuhkan lagi jenamanya di Indonesia sebelum mengembangkannya ke negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Katanya, Indonesia merupakan sebuah negara yang besar dan dia ingin ‘menakluki’ keseluruhannya.

Jovian ingin mengembangkan lagi jenamanya ke seluruh Indonesia.

Lagipun katanya, dia terlebih dahulu bekerja bersama-sama artis dan selebriti Indonesia semasa menjalani latihan magang (internship) sewaktu bergelar pelajar.

“Indonesia mempunyai populasi penduduk yang ramai malah ia juga merupakan sebuah negara yang besar dan luas.

IKLAN

“Pasaran Jovian di sana belum meliputi keseluruhan tempat. Jadi saya mengambil keputusan untuk mengukuhkan dahulu jenama di tiga buah negara yang sedia ada dan mengembangkannya ke seluruh Indonesia,” sambungnya.

Mengulas lanjut mengenai pengukuhan jenamanya itu, jelas Pengarah Kreatif Cheetah ini, bukan dia tidak mahu mengembangkan perniagaannya ke negara-negara Eropah, tetapi biarlah jenamanya dikukuhkan dan dikembangkan di negara yang senang untuk berkomunikasi.

Bukan menidakkan kebolehan diri, tetapi Jovian yang pernah menetap di Paris dan Itali selama tiga bulan menjelaskan agak sukar untuk memulakan perniagaan seterusnya bertapak di negara yang hanya menggunakan bahasa ibunda dalam komunikasi harian.

Katanya, daripada pengalaman sebelum ini, dia pastinya memerlukan tempoh masa yang lama untuk mencipta nama di sana.

Mengembangkan kerjaya

Hari ini setelah 15 tahun bergelar pereka fesyen, Jovian Mandagie yang turut terkenal sebagai pengacara dan selebiriti akan mengembangkan kerjayanya ke peringkat yang lebih tinggi.

IKLAN

Dengan pasukan yang cukup besar dan mampu mengemudi Jovian Mandagie, menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini yakin mereka dapat menguruskan perniagaan sedia ada manakala dia mencari peluang yang lebih besar.

“Saya bermula tanpa sesiapa (berseorangan) dan Alhamdulillah hari ini saya mempunyai satu pasukan besar yang dapat menguruskan perniagaan yang telah dimulakan sejak 15 tahun yang lalu.

“Jadi hari ini saya rasa cukuplah menjadi pereka fesyen dan saya ingin mengembangkan lagi kemahiran dan bakat yang ada.

“Perniagaan sedia ada tetap berjalan seperti biasa tetapi saya akan lebih menumpukan perhatian kepada pemasaran dan juga menjadi penasihat dalam bidang fesyen,” katanya lagi.

Terkini, Jovian juga merupakan penata gaya kepada Perdana Menteri.

Ujarnya, 70 peratus pakaian yang digayakan oleh Ismail Sabri adalah hasil kerja pasukannya dan pada masa sama pembabitannya juga adalah untuk menjaga penampilan Perdana Menteri supaya lebih kelihatan kemas dan bertenaga.

SENARAI JENAMA

  • JOVIAN MANDAGIE COUTURE
  • JOVIAN MANDAGIE BRIDAL
  • JOVIAN READY-TO-WEAR
  • JM CORPORATE
  • FABRIC 66

PENCAPAIAN

  • Anugerah Perniagaan Cemerlang ASEAN untuk Jenama Pakaian Fesyen Paling Dikenali
  • Pereka Fesyen Terbaik 2013, Mercedes-Benz Stylo Grand Prix
  • Anugerah Bintang Couture, Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia 2011
  • Anugerah Penghargaan sebagai Pereka Fesyen Terkenal Antarabangsa oleh Kedutaan Malaysia di Manama, Bahrain
  • Top 40 Under 40 oleh majalah Prestige
  • Pereka Pakaian Wanita Terbaik

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA