Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZHazieque Aqashah suka cabaran dan kreatif bangunkan inovasi
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Hazieque Aqashah suka cabaran dan kreatif bangunkan inovasi

Bagi Hazieque Aqashah Mohd Famy, 19, inovasi bukanlah sesuatu yang baharu dalam kehidupan hariannya kerana minat dalam bidang tersebut berputik ketika dia beralih ke sekolah menengah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Sa’id, Pulau Pinang, ini memberitahu, walaupun ketika itu dia mempunyai pelbagai idea untuk membangunkan inovasi tetapi dia tidak berpeluang mengembangkannya.

Hasrat tersebut dipendamkan sehinggalah Hazieque Aqashah menyambung pengajian ke Kolej Vokasional (KV) Sungai Petani 2, Kedah.

Menurut Hazieque Aqashah, bidang inovasi adalah satu bidang yang memerlukan kemahiran dan kecekapan berfikir.

“Saya suka menghasilkan benda baharu, mencabar dan rumit. Tambahan pula jika inovasi yang dihasilkan itu membabitkan cikgu dan pelajar lain, lagilah seronok kerana boleh bertukar-tukar idea dan pendapat,” ujar anak ketiga daripada empat adik-beradik ini lagi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Sa’id, Pulau Pinang, Hazieque Aqashah Mohd Famy.

Sambung Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2021, dek kerana minat yang mendalam dengan inovasi, dia telah menyertai beberapa pertandingan bersama Pasukan Inovasi daripada Program Seni Kulinari.

“Yang terbaharu, pasukan ini berjaya merangkul pingat emas pada Pertandingan Inovasi Reka Cipta Antarabangsa keenam di Kanada (iCAN 2021) bagi produk dodol labu (teknik memasak tekanan tinggi) atau pumpkin dodol (pressure cooking technique).

“Pesertanya terdiri daripada empat orang guru iaitu Cikgu Razis Rahim (Ketua Pasukan), Cikgu Radziah Lateh, Cikgu Azhawati Mohd Noor, Cikgu Sharon Agapitus dan saya selaku penyunting video,” ujarnya.

IKLAN

Hazieque Aqashah (tiga dari kanan) bergambar bersama Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Ulas Hazieque Aqashah, kemenangan tersebut sememangnya di luar jangkaan.
“Bayangkan 70 negara menyertai pertandingan tersebut yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini, semuanya hebat dan mendapat perhatian ramai. Mungkin rezeki kami untuk mendapat pingat emas,” tuturnya.

Walaupun penglibatan pelajar ini secara berkumpulan, Hazieque Aqashah menjelaskan, ia tetap memberi cabaran dari segi masa dan komitmen kerana selain bergelar pelajar, dia turut menggalas tugas sebagai Presiden MPP dan beberapa jawatan lain.

“Apa yang paling sukar ketika membangunkan inovasi dodol labu ini, semuanya termasuklah perbincangan dilakukan secara online dan produk akhir hanya dihasilkan guru yang tinggal berhampiran secara bergilir-gilir,” jelas anak kelahiran Perak ini lagi.

Sementara itu, menurut Cikgu Razis, 36, Hazieque Aqashah merupakan pelajar yang sangat berbakat dan memiliki idea segar dalam membangunkan apa jua inovasi.

“Pelajar ini boleh pergi jauh. Dalam produk dodol labu, dia menjadi suara latar dan menghasilkan video inovasi tersebut. Satu tugasan yang memang bagus.

IKLAN

“Malah, komitmen dan kerja keras semua peserta termasuk Hazieque Aqashah memang di luar jangkaan tambahan pula kami perlu menghasilkannya secara online. Terima kasih buat semua,” kata guru yang berasal dari Kodiang, Kedah.

Periuk tekanan tinggi yang digunakan untuk menghasilkan dodol labu.

Berkongsi tentang kejayaan dodol labu, penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 ini berkata, ia merupakan idea asal bekas pelajar tahun akhir, Nurul Nadhirah Abdul Munshi yang menghasilkan makanan tersebut menggunakan kaedah tradisional.

“Jadi, bila Pasukan Inovasi Program Seni Kulinari mahu menyertai pertandingan, kami perlu mengubah suai resipi dan menukarkan kaedah ke cara moden iaitu memasak menggunakan tekanan tinggi.

“Semua tahu, proses penghasilan dodol secara tradisional mengambil masa 7 hingga 9 jam.

IKLAN

“Kerana masalah tersebut, pasukan mengambil inisiatif menambah baik kaedah dan teknik memasak menjadi lebih cepat dan efisien.

“Kaedah memasak menggunakan tekanan tinggi dapat mengurangkan masa penyediaan, 30 minit sahaja dan pada masa sama dapat menghasilkan dodol dengan kualiti yang setara dengan kaedah tradisional,” ujarnya panjang lebar.

Pengarah KV Sungai Petani 2, Majmin Md Noor.

Dalam pada itu, Pengarah KV Sungai Petani 2, Majmin Md Noor, melahirkan rasa bangga kerana mempunyai guru dan pelajar yang sangat berbakat dalam bidang inovasi.

“Cikgu Razis, Hazieque Aqashah dan yang lain-lain memang sentiasa bersemangat setiap kali membangunkan inovasi.

“Justeru, kami akan sentiasa menyokong mereka serta memastikan KV Sungai Petani 2, dapat melahirkan anak-anak didik yang berketerampilan, berpencapaian tinggi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ulasnya.

Senarai pencapaian dan penyertaan Pasukan Inovasi Program Seni Kulinari
iCAN 2021

– Pingat emas menerusi dodol labu (teknik memasak tekanan tinggi).
– Pertandingan Inovasi dan Penciptaan Melalui Pameran 2021 (Icompex 2021) – Produk: Esen cempaka, macaron kelapa kering, pes pesamah segera, nugget ubi keladi vegan meringue kisses.
– Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi (Innovation Development Through Educational Activities (iDEA)) Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan 2021 – Produk pewarna GA, TS-Board, papadom hampas kelapa, nugget pedal ayam, peknga segera.
– Pertandingan Inovasi Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail Peringkat Antarabangsa (Serai 2021) – Produk: Layar kertas perikarpa manggis – dekorasi kek, perisa makanan cempaka
– Pertandingan Inovasi Kulinari Antarabangsa Kedah (KEDIEC’21) – Produk: Esen cempaka
– Pameran Inovasi EUREKA Antarabangsa 2021 (i-EIE 2021) – Produk: Table setting board

Artikel Berkaitan

MESTI BACA