HomeGen ZUTM hasilkan kajian persekitaran maya 3D
164,827FansLike
4,964FollowersFollow
603FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

UTM hasilkan kajian persekitaran maya 3D

Sejajar dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan yang semakin rancak berlaku di seluruh dunia, sudah tiba masanya universiti di negara ini mereka bentuk semula ruang pembelajaran supaya kekal relevan dalam landskap pendidikan negara.

Konsep yang lebih segar dan interaktif dilihat mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta menyeronokan terutama di saat pelajar berdepan kekangan tidak dapat hadir ke universiti kerana pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

Sehubungan itu, pelbagai usaha dilakukan oleh universiti, penyelidik, dan pensyarah dalam membantu menyediakan ruang pembelajaran berkonsepkan kelas pintar menggunakan pelbagai pendekatan teknologi termasuklah teknologi realiti maya (VR) dan tiga dimensi (3D).

Menyahut cabaran dalam mendepani era globalisasi dunia pendidikan ketika ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif menghasilkan kajian mengenai persekitaran 3D untuk kelas secara maya masa depan.

Penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik dari Pusat Kecemerlangan Inovasi Media dan Permainan (MaGICX), Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia (iHumEn), UTM, itu diketuai oleh Profesor Dr Mohd Shahrizal Sunar dan dibantu empat penyelidik lain.

Dr Mohd Shahrizal berkata, penyelidikan yang dijalankan sejak 2018 itu mengambil idea daripada permainan digital dan simulasi yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi VR dan 3D dalam aplikasi pendidikan bagi membuka ruang baharu untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran menarik pada masa depan.

Katanya, persekitaran maya 3D merupakan komponen paling utama dalam platform pembelajaran menggunakan teknologi VR itu untuk sesi pembelajaran, tutorial, makmal, dan pembentangan tugasan.

IKLAN

“Teknologi VR baik untuk memperkenalkan pelajar kepada subjek yang kompleks, seperti modul reka bentuk kejuruteraan, di mana ilustrasi dalam buku mungkin tidak mencukupi untuk pemahaman pelajar.

“Kaedah ini juga dapat membantu pelajar memahami sukatan pelajaran daripada demonstrasi dan menggunakan model 3D malah projek ini juga merangkumi analisis pembelajaran yang terdiri daripada analisis kendiri, rekod dan penilaian pemahaman pelajar,” katanya kepada GPS Bestari.

Simulasi pelantar minyak yang dihasilkan penyelidik UTM bagi tujuan pembelajaran.

Penyelidikan yang membabitkan pensyarah daripada pelbagai bidang iaitu Sains Komputer, Kejuruteraan dan Alam Bina itu mendapat geran Kementerian Pengajian Tinggi Jaringan Universiti Penyelidikan Malaysia (KPT MRUN) – Virtual Reality & Augmented Reality Gamification Platform for Engineering and TVET Learning in University 4.0.

IKLAN

Menurut Dr Mohd Shahrizal lagi, antara kandungan yang telah dibangunkan dalam kajian itu ialah berkaitan persekitaran maya 3D di pelantar minyak.

Katanya melalui persekitaran maya 3D ini, pelajar kejuruteraan petroleum dapat mempelajari dan berpengalaman mengenal aktiviti serta kerja-kerja yang dilaksanakan di pelantar minyak secara praktikal dan interaktif tanpa perlu berada di tempat sebenar.

“Persekitaran maya telah dihasilkan secara permodelan 3D menyerupai situasi sebenar di pelantar minyak luaran dan dalaman.

IKLAN

“Kandungan lain turut dibina untuk pelajar jurusan Ukur Bahan, Pembinaan dan Senibina. Persekitaran maya secara 3D telah dibangunkan untuk mereka mempelajari Industrialise Buiding System (IBS).

“Persekitaran maya 3D ini membolehkan pelajar mendapat berpengalaman membangunkan bangunan bermula daripada pelan sehingga bangunan tersebut siap,” katanya lagi.

Beliau berkata, antara kelebihan projek ini ialah pelajar dapat melaksanakan latihan amali secara maya tanpa perlu masuk ke makmal sebenar terutamanya ketika pandemik Covid-19.

“Pelajar juga boleh merasai pengalaman seolah-olah berada di persekitaran sebenar seperti di pelantar minyak dan berinteraksi dengan persekitaran tersebut menggunakan elemen gamifikasi dalam pendidikan.

“Kajian ini memberi tumpuan untuk memberi manfaat kepada industri pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta kursus profesional bagi industri yang spesifik seperti pembinaan, pembuatan, petroleum dan gas.

“Sebagai impak translasi penyelidikan kepada komuniti, hasil penyelidikan ini dapat dilaksanakan di mana-mana program pendidikan tinggi kejuruteraan Malaysia dan TVET untuk pengajian kejuruteraan selaras dengan agenda kerajaan berkaitan dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0),” katanya.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA