Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZCikgu Roslani sahut cabaran guru Sejarah, miliki pengalaman 24 tahun sebagai pendidik
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Cikgu Roslani sahut cabaran guru Sejarah, miliki pengalaman 24 tahun sebagai pendidik

Minat dan kecintaan terhadap subjek Sejarah mula berputik dalam diri Cikgu Roslani Maskan selepas dicabar oleh gurunya supaya mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran tersebut.

Mengimbau kembali kenangan ketika di bangku sekolah menengah, guru Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu, Melaka, itu berkata, semuanya bermula apabila keputusan peperiksaan bagi subjek Sejarah kurang memuaskan.

Perkara itu menyebabkan guru Sejarahnya yang dikenali dengan nama Cikgu Hamid mencabar Cikgu Roslani supaya membuktikan kemampuan diri dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek berkenaan.

“Cabaran Cikgu Hamid itu menyebabkan diri ini tersentak dan marah tetapi dalam masa yang sama ia memberi lonjakan dan menjentik hati saya untuk berusaha gigih bagi memastikan kecemerlangan berjaya dicapai.

“Akhirnya saya berjaya menjadi calon pertama di sekolah berkenaan yang mendapat Pangkat Satu untuk subjek Sejarah, mendapat tawaran menyambung pengajian ke peringkat universiti dan seterusnya bergelar pendidik sehinggalah ke hari ini,“ katanya yang sudah 24 tahun bergelar guru Sejarah.

Bersama guru Sejarah negeri Melaka ketika taklimat DSKP.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Sambung pengajian

Perjalanan menyambung pengajian di universiti juga tidak mudah buat guru yang berasal dari Pontian, Johor ini kerana dirinya bukan berasal daripada keluarga senang atau kaya.

IKLAN

“Kakak menjual barang kemas miliknya dan memberikan saya RM500 sebagai duit belanja untuk mendaftar di universiti.

“Jika saya boleh menjadikan kesusahan ini sebagai pendorong, kenapa tidak pelajar-pelajar saya.

“Disebabkan itu, kisah ini sering kali saya kongsikan dengan pelajar-pelajar sebagai motivasi untuk mereka berusaha mendapat keputusan terbaik dalam subjek Sejarah,“ kongsinya lagi.

Cikgu Roslani yang kini bergelar Penolong Kanan Kokurikulum sangat berterima kasih kepada Cikgu Hamid kerana menjadi individu yang mencetuskan perubahan dalam diri beliau sehingga menjadikan arwah gurunya itu sebagai idola dalam bidang pendidikan.

Menurut Cikgu Roslani, ketegasan Cikgu Hamid mendidik para pelajar sedikit sebanyak turut diterapkan beliau sepanjang bergelar guru di tiga buah sekolah setakat ini.

Cikgu Roslani (kiri) ketika penyerahan modul Sejarah YaPEIM kepada SMK Pernu.

IKLAN

Kerjaya sebagai pendidik

Berkongsi perjalanan kerjayanya sebagai guru Sejarah, Cikgu Roslani berkata, beliau memulakan tugas pertama di SMK Santubong, Kuching, Sarawak pada tahun 1997.

“Selepas tujuh tahun berkhidmat di negeri Bumi Kenyalang, saya ditukarkan ke SMK Telok Mas, Melaka pada 2005 hingga 2017 dan seterusnya berpindah ke SMK Pernu pada Julai 2017 sehinggalah sekarang.

“Sejak lebih 20 tahun bergelar guru Sejarah, saya pernah menjawat jawatan sebagai Jurulatih Kebangsaan untuk subjek Sejarah dan panel penilai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) untuk Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM),“ tutur Cikgu Roslani.

Baca juga: Negara negara di dunia yang anda jarang dengar, jom ambil tahu

IKLAN

Baca juga: Antara cadangan pertandingan dan aktiviti sempena bulan kemerdekaan. Cikgu-cikgu boleh cuba buat!

Sepanjang bergelar guru, sudah tentunya banyak pengalaman pahit manis yang dilalui Cikgu Roslani termasuklah berpeluang menjelajah ke seluruh negara kerana menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih utama serta bertemu dengan ramai ilmuwan dalam bidang sejarah termasuklah Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

“Tidak dinafikan dalam masa yang sama saya juga berdepan situasi sukar apabila ada pelajar datang mengadu bahawa mereka gagal dalam subjek Sejarah kerana ia seolah-olah saya yang gagal mendidik mereka untuk berjaya.

“Oleh itu, saya akan meminta maaf kepada mereka kerana sedikit sebanyak kegagalan mereka adalah kerana kegagalan saya tetapi ia tidak pernah mematahkan semangat untuk terus memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajar,“ ujar beliau.

Cikgu Roslani berharap agar anak muridnya menjadikan Sejarah satu subjek yang diminati dalam usaha menyemai semangat patriotisme dalam diri masing-masing.

Sumbangan Cikgu Roslani dalam subjek Sejarah

– Jurulatih Kebangsaan untuk subjek Sejarah
– Panel penilai DSKP untuk KSSM
– Ketua jurulatih utama bagi mata pelajaran Sejarah
– Jurulatih utama subjek Sejarah
– Guru Cemerlang Sejarah
– Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan
– Ketua Panitia Sejarah Daerah Melaka Tengah
– Aktif sebagai penulis buku serta membuat sumbangan di ruangan pendidikan akhbar –  tempatan dan DidikTV

Artikel Berkaitan

MESTI BACA