Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZLakukan kebaikan sekecil apa pun kerana kita tidak pernah tahu kebaikan yang...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Lakukan kebaikan sekecil apa pun kerana kita tidak pernah tahu kebaikan yang mana akan membawa ke syurga – Cikgu Aidil Azahar

Setiap kali guru ini berkhidmat di sesebuah sekolah, sudah pasti beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan Gerobok Rezeki di sekolah tersebut.

Baginya, kewujudan Gerobok Rezeki sangat bermakna  kepada murid-murid yang memerlukan sekali gus membantu membentuk persekitaran yang selesa untuk pembelajaran mereka.

“Masih ramai murid yang hidup dalam kesempitan dan memerlukan perhatian kita.

“Jadi, dengan adanya Gerobok Rezeki ini, saya yakin murid berkenaan akan dapat menikmati apa yang murid lain ada,” kata Cikgu Aidil Azahar Ahmad kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Di Gerobok Rezeki, pelbagai barangan disediakan, antaranya barang keperluan asas seperti minyak masak, beras, gula, garam, bihun, sos cili dan kicap.

“Juga barangan kebersihan  dan penjagaan diri seperti berus dan ubat gigi, sabun mandi, syampu serta sabun basuh,” ujarnya.

Cikgu Aidil Azahar merupakan anak jati Pahang dan sudah 20 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan.

IKLAN

Beliau kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Beliau cukup disenangi oleh warga sekolah tersebut dek perwatakannya yang mesra.

Selain SK Kampung Bharu, Cikgu Aidil Azahar pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah lain termasuk SK Danau Kota (2), Setapak sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid; SK Jalan Sungai Besi 1, SK Wangsa Maju Seksyen 1, SJKC Jinjang Selatan dan SK Wangsa Jaya.

Beliau turut mengajar di SK Taman Maluri, SK Danau Kota, SK Datuk Keramat 1 dan  SK Danau Kota 2.

Sumber rujukan

Cikgu Aidil Azahar seringkali menjadi sumber rujukan rakan-rakan guru yang lain disebabkan sikapnya yang cukup baik hati itu.

Guru Besar SK Taman Kepong, Halimi Md Rasip yang juga rakannya sejak dua dekad lalu berkata, Cikgu Aidil Azahar terkenal rajin dan tekun dalam melaksanakan sesuatu.

IKLAN

“Beliau seorang guru yang amat tenang dalam menghadapi apa jua situasi. Kematangan beliau dalam membuat sesuatu keputusan benar-benar mengagumkan saya,” katanya.

Bagi Wan Rozie Wan Jaafar pula, beliau mengenali Cikgu Aidil Azahar sejak berkecimpung dalam dunia kebajikan di bawah Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project) beberapa tahun lalu.

Mereka turut sama-sama terlibat dalam beberapa perkongsian pintar berkaitan Matematik baik di peringkat wilayah mahupun kebangsaan.

“Kami sering berkongsi idea dalam bidang Matematik selain meminati aktiviti kebajikan. Kepakaran beliau dalam bidang teknologi maklumat juga sering menjadi rujukan utama saya,” ujarnya.

Akhir sekali, Cikgu Aidil Azahar menitipkan sebingkis nasihat untuk semua lapisan terutamanya kepada guru-guru generasi baharu yang baru berjinak-jinak dalam dunia kebajikan.

IKLAN

“Lakukan kebaikan sekecil apa pun kerana kita tidak pernah tahu kebaikan yang mana akan membawa ke syurga.

“Boleh jadi saat kita tidur terlelap, pintu-pintu langit sedang diketuk oleh puluhan doa kebaikan, dari seorang fakir yang telah ditolong, atau dari orang kelaparan yang pernah kita berikan makanan, atau dari seorang yang sedih yang telah kita bahagiakannya.

“Maka, janganlah kita sekali-kali meremehkan sebuah kebaikan,” ujarnya yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2009 dan 2016.

 

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA