Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZChris Deng, etnik Kenyah pertama yang diterima masuk ke Universiti Oxford
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Chris Deng, etnik Kenyah pertama yang diterima masuk ke Universiti Oxford

Anak jati Baram, Sarawak, Chris Deng Vinsien, melakar sejarah apabila menjadi etnik Kenyah pertama di negara ini yang diterima masuk ke Universiti Oxford, United Kingdom (UK) dalam jurusan undang-undang.

Chris yang membanggakan seluruh etniknya dengan keputusan tersebut, menjelaskan bahawa apa yang dicapai pada hari ini adalah hasil kerja keras keluarga dan juga orang-orang di sekelilingnya.

“Saya akan berusaha sehabis baik supaya tidak mensia-siakan peluang ini. Cabaran ini bukan sahaja sebuah pengembaraan untuk diri saya sendiri, tetapi ia adalah perjalanan kita semua iaitu pelajar-pelajar Sarawak yang ingin membuktikan bahawa walaupun hanyalah orang biasa tetapi kita boleh menjadikannya luar biasa.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua-dua ibu bapa saya yang banyak mendidik sejak kecil. Vinsien Gau, ayah yang selalu mendorong saya supaya berimpian tinggi dan Maria Dun, ibu cantik yang tidak pernah lupa untuk mengingatkan saya agar tetap berpijak di bumi nyata dan rendah diri.

IKLAN

“Adik-beradik saya, Christal Asong dan Moses Lenjau yang sentiasa menjadi pesaing utama saya, menetapkan standard yang tinggi untuk saya kejar sejak kecil lagi. Siapa saya pada hari ini adalah kerana mereka semua, yang sangat saya sayangi,” tulis Chris di laman Facebook peribadinya.

IKLAN

Chris dibesarkan di Bintulu dan bersekolah di sekolah berasrama pada peringkat menengah. Dia kemudian belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah sebelum melanjutkan pelajaran A-level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor.

Selain cemerlang dalam akademik, Chris juga merupakan seorang pendebat serta seorang pemain alat muzik.

IKLAN

“Bagi mereka yang mengenali saya, kalian pasti tahu bahawa saya bukan genius. Saya juga seperti anda – bermain futsal setiap petang dan lepak dengan rakan-rakan pada waktu malam. Kita semua ada kebolehan dan bakat tersendiri. Manfaatkan sepenuhnya. Anda pasti akan pergi jauh, yang mana semuanya bermula dengan satu langkah,” kongsi Chris lagi.

Selain diterima ke Universiti Oxford, Chris turut ditawarkan tempat di London School of Economics (LSE) dan King’s College di London.

Untuk rekod, Universiti Oxford adalah merupakan universiti terbaik di Eropah dan yang kedua di dunia.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA