Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZBerpengalaman 27 tahun sebagai pendidik, Cikgu Abdullah guna pendekatan berbeza ajar pelajar...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Berpengalaman 27 tahun sebagai pendidik, Cikgu Abdullah guna pendekatan berbeza ajar pelajar Tingkatan 6

Mula berkecimpung dalam bidang perguruan sejak tahun 1993 sudah cukup untuk menjadikan guru di Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam, Selangor, Cikgu Abdullah Ali seorang yang sangat berpengalaman dalam dunia pendidikan.

Buktinya, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan antaranya Jurulatih Utama bagi Mata Pelajaran Pengajian Am Negeri Selangor, diberi tanggungjawab sebagai Moderator Kolokium Pendidikan Kebangsaan Tingkatan Enam Kali Pertama dan Penyampai bagi Rancangan DidikTV untuk slot Road To Success STPM 2020 secara langsung di NTV7.

Terkini Cikgu Abdullah merupakan Penolong Kanan Kokurikulum di Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra.

Berkongsi mengenai detik awal perjalanan sebagai pendidik, guru yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor, itu berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuda, Klang, Selangor, adalah sekolah pertama beliau memulakan khidmat sebagai guru selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bahru.

“Pada tahun 1998, ketika baru sahaja mendirikan rumah tangga, saya membuat keputusan yang berat untuk menyambung pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) secara sepenuh masa.

“Saya kemudian memilih untuk mengajar di Tingkatan Enam sebagai guru mata pelajaran Pengajian Am pada tahun 2003 sehinggalah sekarang kerana saya sukakan cabaran sekali gus melengkapkan pengalaman mengajar bermula daripada murid Tahun 1 hinggalah kepada pelajar prauniversiti,” katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Raih pelbagai anugerah

Selain menyandang pelbagai jawatan, Cikgu Abdullah juga turut cemerlang dalam profesion sebagai guru Tingkatan Enam apabila mendapat pelbagai anugerah termasuklah Pembentang dan Kajian Tindakan Terbaik Peringkat Kebangsaan dalam Kolokium Pendidikan Kebangsaan Tingkatan Enam Kali Ke-2 di Pulau Pinang pada tahun 2018.

IKLAN

Menceritakan mengenai pendekatan pengajaran yang digunakan dalam mendidik pelajar-pelajar Tingkatan Enam, anak sulung daripada enam adik beradik itu berkata, pelajar adalah “pelanggan” bagi seorang guru.

Menurut beliau, sebagai individu yang menawarkan perkhidmatan, guru perlu bijak menarik minat pelajar dan kaedah pengajaran yang diterapkan dalam setiap pengajaran adalah berpusatkan pelajar.

“Guru hanyalah sebagai pemudah cara. Pelajar dibimbing bagaimana untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber dan membuat pembentangan.

“Saya juga menggunakan konsep guru muda dalam pengajaran. Ini akan memberi fokus kepada pelajar yang dapat menguasai sesuatu topik dan mereka akan membantu rakan-rakan yang lemah atas bimbingan dan nasihat guru.

IKLAN

Cikgu Abdullah bersama Pengetua, Rahmat Mardi semasa Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor Tahun 2021.

“Hal ini membolehkan pelajar lebih fokus dan dapat menguasai sesuatu topik dengan lebih mendalam sekali gus meningkatkan penguasaan dan pencapaian mereka dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” ujarnya.

Kaedah PdP

Ditanya mengenai perbezaan mengajar pelajar peringkat menengah berbanding prauniversiti, kongsi Cikgu Abdullah pendekatan yang digunakan haruslah berlainan tetapi matlamat masih sama iaitu membantu mereka menguasai subjek dan menjawab dengan baik ketika peperiksaan.

IKLAN

Tambahnya, murid yang masih belajar di peringkat rendah lebih banyak bermain sambil belajar kerana konsep itu mampu menarik minat mereka belajar tetapi dalam masa yang sama, kawalan disiplin perlu dilaksanakan dengan lebih tegas supaya segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan kementerian mampu diikuti.

“Bagi peringkat menengah bermula Tingkatan Satu hingga Lima, guru perlu menggabungkan dua pendekatan iaitu berpusat pelajar dan guru kerana ini adalah fasa perubahan di mana mereka mula meningkat remaja dan menunjukkan ego masing-masing tetapi masih memerlukan pengawasan daripada guru.

“Bagi pelajar Tingkatan Enam, mereka lebih banyak berdikari dan mempunyai hala tuju sendiri. Oleh itu, peranan guru hanya sebagai pembimbing serta pemudah cara,” tuturnya.

Bagi pelajar yang berminat menyambung pengajian ke Tingkatan Enam, Cikgu Abdullah sempat menitipkan pesanan supaya mereka fokus kepada matlamat belajar iaitu menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Profil

Nama: Abdullah Ali
Tempat Lahir: Tanjong Karang, Selangor
Kedudukan dalam keluarga: Anak sulung daripada enam orang adik-beradik
Kelulusan Akademik: Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Geografi), Universiti Malaysia Sabah
Anugerah :
Anugerah Khidmat Cemerlang Tahun 2005 dan 2009
Johan Debat Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2005
Pendebat Terbaik Debat Hari Guru Tahun 2005, 2006, 2007
Anugerak Khas Pendidik Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2019
Anugerah Guru Inovatif Lepas Menengah Peringkat Daerah Sabak Bernam dan Negeri Selangor Sempena Sambutan Hari Guru Tahun 2021
Pembentang Terbaik Kolokium Pendidikan Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan Kali ke-2
Kajian Tindakatan Terbaik Peringkat Kebangsaan dalam Kolokium Pendidikan Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan Tahun 2018
Pembentang Terbaik Kajian Tindakan Negeri Selangor Tahun 2018
Kajian Tindakan di Terbitkan Oleh KPM dalam Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam Tahun 2018 Jilid Ke-2
Pembentang Kajian Tindakan Peringkat Antarabangsa dalam Program Perkongsian Pintar Amalan Terbaik dalam Pendidikan Tahun 2019 dan E-Bicara Tahun 2021

Artikel Berkaitan

MESTI BACA