HomeGen ZAplikasi Modern Standard Arabic, bantu kuasai bahasa Arab dengan mudah
168,577FansLike
4,980FollowersFollow
637FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Aplikasi Modern Standard Arabic, bantu kuasai bahasa Arab dengan mudah

Modern Standard Arabic (MSA) atau Bahasa Arab Moden merupakan aplikasi yang membantu pelajar mempelajari bahasa Arab dengan mudah.

Pensyarah Kurikulum, Pengajaran & Penilaian Bahasa Arab, Pusat Kajian Bahasa Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Kaseh Abu Bakar berkata, MSA terdapat dalam bentuk konvensional (edisi cetak) dan e-Edition.

“Hari ini, versi e-Edition dilihat mudah digunakan kerana ia dapat dicapai di telefon bimbit, komputer riba atau gajet yang berkaitan.

“Versi e-Edition dapat dilayari menerusi laman sesawang https://modern-standard-arabic.net/ms/ dan ia boleh dilayari pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” ujarnya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

MSA versi e-Edition boleh digunakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

 

Terdahulu, Dr Kaseh bersama Prof Dr Eckehard Schulz, Profesor Linguistik Arab dan Terjemahan, Universiti Leipzig, Jerman telah membangunkan aplikasi MSA untuk memudahkan rakyat Malaysia belajar bahasa Arab.

Aplikasi ini pada asalnya dibangunkan di Universiti Leipzig yang terkenal dengan pengajaran bahasa Arab lebih 250 tahun.

Universiti ini juga terkenal sebagai institusi terbaik di Eropah dalam melahirkan penterjemah bahasa Arab-Jerman.

IKLAN

Pelajar yang memasuki program bahasa Arabnya tanpa mengetahui sepatah huruf Arab mampu mencapai tahap kecekapan B2 CEFR dan boleh menjadi penterjemah dalam tempoh dua tahun sahaja.

Dr Kaseh berkata, aplikasi MSA ini mempunyai 8,000 fail audio oleh penutur asli, latih tubi, dan kekunci jawapan setiap latihan dan latih tubi yang diberikan.

Jawapan yang betul akan muncul warna merah dengan hanya menggerakkan tetikus ke ruangan jawapan. Ia juga didatangkan dengan ujian di akhir setiap tahap.

“Pemilihan kosa kata dan tatabahasa dalam MSA adalah berdasarkan analisis kekerapan dan keperluan komunikasi.

“Teks asal MSA dipilih daripada pelbagai disiplin ilmu seperti sejarah, sosial, agama, politik, sukan, sains, dan budaya.

“Kursus ini tidak mengajar kandungan yang nadir dan tidak perlu, tetapi ia fokus kepada kemahiran asas komunikasi,” tutur Dr Kaseh yang pernah dilantik sebagai Penilai Kit Latihan Simulated Oral Proficiency Interview Arabic Speaking Test untuk Center for Applied Linguistics, Washington D.C.

Menerusi aplikasi ini juga, pelajar dapat mempelajari cara menguasai komunikasi dalam pelbagai situasi.

“Oleh itu, MSA memberi penekanan khusus kepada ungkapan yang kerap berulang dalam pertuturan dan penulisan seperti sapaan, ucapan selamat, panggilan, memperkenalkan diri, ungkapan harapan dan perasaan, memohon maaf, peribahasa serta frasa yang lazim,” jelasnya.

IKLAN

MSA untuk semua

MSA tidak terhad untuk pelajar yang mengikuti major atau minor dalam bahasa Arab di universiti sahaja, tetapi ia sesuai untuk semua peringkat umur.

Menurut Dr Kaseh, hasil yang akan mereka perolehi setelah melayari aplikasi ini adalah dapat menguasai sebutan, makna, dan penggunaan 2,000 kosa kata Arab.

Di akhirnya nanti, pelajar boleh membaca dan memahami teks tanpa baris, membina dan menulis struktur ayat Arab serta karangan yang betul tatabahasanya, mempunyai ‘linguistic survival’ untuk bertutur dalam suasana Arab, dan memahami dialek harian.

Cetusan idea

Pada April 2017, Dr Kaseh membawa lima pelajarnya melawat beberapa universiti tertua di Jerman yang hebat dalam program bahasa Arab.

Setibanya di sana, rombongan itu kagum dengan kepakaran tuan rumah yang mahir bertutur dalam bahasa Arab dan Prof Dr Eckehard Schulz telah membentangkan sistem MSA yang digunakan di Jerman.

IKLAN

“Tertarik dengan sistem yang mereka gunakan, saya menawarkan diri untuk kembali lagi ke Jerman dengan membawa beberapa pakar bahasa Arab dari Malaysia.

Dr Kaseh (dua dari kanan) dan Prof Dr Eckehard Schulz (tiga dari kanan) ketika menghadiri salah satu bengkel pada Ogos 2017.

“Tapi tak sangka, Prof Dr Eckehard Schulz telah mengajak saya untuk berkerjasama dengannya membangunkan MSA versi Malaysia,” tuturnya lagi.

Akhir sekali, Dr Kaseh kongsi harapan dengan lebih ramai individu yang melayari aplikasi MSA tersebut.

“Guru sering mengadu, penat mengajar tetapi pelajar baca teks pun tidak faham, bertutur juga tidak lancar. Pelajar mengadu, bertahun-tahun belajar ibarat membuang masa kerana baca teks tanpa baris ibarat berjalan dalam hutan, apatah lagi untuk bertutur bahasa Arab.

“Di sini perlunya kita berlapang dada mencari rahsia kejayaan institusi yang telah melahirkan ramai pelajar yang tinggi kecekapan bahasa Arabnya.

“Kerana itu, saya menyeru semua institusi dan rakan yang terlibat dengan pengajaran Arab untuk meningkatkan kecekapan berbahasa Arab pelajar masing-masing sebagaimana pelajar lain di seluruh dunia. Gunalah aplikasi MSA ini kerana ia bukan sahaja seiring dengan pendidikan era digital, malah mampu melonjakkan keupayaan pelajar untuk berbahasa Arab di peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

MESTI BACA