HomeGen ZAlumni YOSH anjur perjumpaan santai bersama Naib Canselor UPM
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Alumni YOSH anjur perjumpaan santai bersama Naib Canselor UPM

SERDANG – Selain belajar dengan tekun dan rajin, memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan akhir tahun adalah cara terbaik untuk menghilangkan rasa debaran mereka.

Inilah yang dilakukan Chapter Alumni Youth of Strength and Happiness (YOSH), Universiti Putra Malaysia (UPM), menganjurkan perjumpaan ‘Coffee Talk @ Pecutan Akhir Peperiksaan: Kejayaan Pasti Milik Anda Insya-Allah bersama Naib Canselor UPM, Prof Dr Roslan Sulaiman’, baru-baru ini.

Program yang diadakan secara maya ini, telah bermula pada 8.30 malam hingga 10 malam dan dihadiri oleh pelajar dan beberapa tetamu kehormat yang lain.

Antara yang turut serta adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Arifin Abdu; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof Madya Dr Soaib Asmirin; Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Prof Madya Dr Arba’ie Sujud; Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof Madya Dr Mursyid Arshad dan Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Bukryman Sabri.

Dengan kehadiran pensyarah dan pegawai UPM dalam program tersebut, ia dilihat sebagai tanda solidariti terhadap pelajar kampus yang bakal menduduki peperiksaan akhir di mana mereka tidak bersendirian mengharungi detik mencabar itu.

Terdahulu, program anjuran YOSH UPM ini turut mendapat kerjasama beberapa persatuan pelajar seperti Gerakan Pengguna Siswa UPM, Kelab Al-Huda UPM, Kelab Penyayang UPM, Kelab Scuba UPM, Kelab Insan dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan (FEDSSA) UPM.

Tanda prihatin

Dr Roslan dalam ucapannya menzahirkan rasa terima kasih kepada Chapter Alumni YOSH di atas inisiatif dengan menganjurkan perjumpaan santai secara dalam talian ini.

Walaupun tidak dapat bersua secara bersemuka, namun capaian teknologi hari ini membolehkan perjumpaan secara maya dilaksanakan.

IKLAN

“Saya pasti semua pelajar telah bersedia untuk menduduki peperiksaan.

“Walaupun kini dalam norma baharu, saya yakin masing-masing ada cara tersendiri dalam mendepani setiap cabaran. Anda manusia hebat, maka beradaptasilah dengan sebarang situasi dan keadaan. Kita perlu meletakkan diri kita pada keadaan yang mudah untuk diubah dan dilentur. Inilah uniknya kita sebagai manusia,” ujar beliau.

Tambah beliau, situasi pada hari ini memungkinkan ramai yang mudah berasa tertekan dengan Open Distance Learning (ODL). Tekanan jika tidak dikawal akan membawa kemudaratan.

“Janganlah beranggapan bahawa anda bersendirian dalam situasi sukar ini. Walaupun tidak bersua muka, tidak berada di dalam kelas yang sama, tetapi pensyarah telah menyediakan dan memudahkan akses untuk diri mereka dihubungi oleh pelajar.

“Telefon, video call, Google Meet dan pelbagai aplikasi boleh menjadi penghubung pada masa ini. Cabaran perlu diubah menjadi peluang, tukarkan fikiran negatif dengan minda yang positif,” jelasnya.

IKLAN

Dr Roslan turut berkata, para pelajar perlu mengimbangi kemahiran akademik, insaniah dan sahsiah diri.

“Universiti adalah medan untuk melatih diri dengan keperibadian yang unggul sebagai persediaan untuk menempuh alam kerjaya kelak.

“UPM akan terus menyediakan landasan yang kondusif untuk para pelajar mengejar impian dan harapan,” ujarnya.

UPM menerusi Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) akan terus memandang serius masalah tekanan yang dihadapi pelajar dalam meneruskan pembelajaran secara ODL.

IKLAN

Mahu atau tidak, ODL membuka evolusi baru Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada masa kini.

Pendidik dan pelajar perlu bersedia. Mendepani situasi ini kemungkinan besar ada pelajar yang tertekan untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan dan rasa kebimbangan itu adalah tinggi.

ARCUPM lancar program

Dalam pada itu, ARCUPM turut melancarkan program dalam talian iaitu Program UPM Alumni Mentorship 2021.

Program ini diwujudkan khas untuk sama-sama membantu memberikan bimbingan kepada pelajar yang terjejas dari sudut psikologi agar mereka dapat menamatkan pengajian dengan jayanya.

Bimbingan daripada alumni UPM kepada pelajar ini akan dilakukan secara individu dan berkumpulan mengikut keselesaan pelajar itu sendiri.

Ini antara usaha UPM dalam melahirkan rasa kebertanggungjawaban ke atas pelajar demi memastikan mereka berjaya dan merealisasikan harapan mereka seusai menjejakkan kaki ke menara ilmu ini.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA