Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZAlumni UMK jadi tauke nanas, raih pendapatan lumayan
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Alumni UMK jadi tauke nanas, raih pendapatan lumayan

KUALA KRAI – Niatnya sekadar mahu mencuba, namun tidak menyangka percubaan sulungnya untuk mengusahakan tanaman nanas di ladang seluas 10 ekar di Kampung Chuchuh Puteri, di sini, akhirnya mampu menjana pendapatan sehingga lima angka semusim.

Wan Lokman Wan Haron, 33, alumni pertama Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya membuktikan bahawa bidang Agro Tani mampu memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara serius dan komited.

Selepas tiga tahun berpanas dan bermain lumpur akhirnya ladang nanas Wan Lokman mampu menghasilkan sekitar tujuh tan buah nanas semusim dan dijual dengan harga borong di pasaran tempatan iaitu RM2.50 sekilogram bagi nanas Madu Kaca manakala nanas MD2 pula dijual pada harga RM4 sekilogram.

Bagi jualan secara runcit, harga sekilogram nanas Madu Kaca sekitar RM3.50 hingga RM5 dan nanas MD2 mencecah harga RM5 hingga RM8 per kilo bergantung kepada pasaran semasa.

Menurut pelajar lulusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Teknologi Pertanian itu, terdapat dua varieti nanas di ladang nanasnya yang semakin popular di pasaran iaitu jenis Madu Kaca dan MD2.

Wan Lokman memulakan ladang nanas dengan berbekalkan modal sebanyak Rm30,000.

Jelasnya, nanas MD2 antara yang menjadi rebutan dan mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang manis, lebih berjus dan serat yang bagus untuk kesihatan manakala Madu Kaca juga tidak kurang hebatnya dengan rasa yang manis.

IKLAN

Wan Lokman berkata, beliau mula mengusahakan tanaman nanas sejak 2018 selepas mendapat galakan dan sokongan daripada keluarga terutama bapanya yang sentiasa memberi semangat dan motivasi untuk mengusahakan nanas di kawasan tanah pertanian yang terbiar.

“Berbekalkan modal kira-kira RM 30,000 yang diperoleh daripada wang simpanan keluarga, saya memulakan projek tanaman nanas tanpa memohon bantuan mana-mana agensi kerajaan.

“Saya mengusahakan kawasan tanaman secara berperingkat-peringkat dengan permulaan modal yang kecil dan memperoleh anak benih nanas yang dibeli di pasaran,” katanya lagi.

Petani muda itu menyifatkan pengalaman belajar ketika menuntut di UMK banyak membantunya untuk menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan.

IKLAN

Ujar beliau, ketika di universiti pensyarah sentiasa berpesan bahawa untuk menjadi usahawan yang berjaya perlu sentiasa mementingkan produk berkualiti.

“Justeru, saya amat mementingkan hasil pengeluaran tanaman yang berkualiti bagi menjamin dan memastikan pelanggan atau pemborong sentiasa berpuas hati.

“Pendidikan keusahawanan di UMK banyak memberi inspirasi kepada saya dan ia bertepatan dengan moto UMK iaitu “Enterpreneurship is Our Thrust”.

IKLAN

Alumni UMK ini mahu mempelbagaikan lagi jenis tanaman yang akan ditanam di masa depan.

Seperti tanaman lain, Wan Lokman berkata tanaman nanas juga tidak sunyi daripada masalah dan cabaran tetapi beliau perlu cekal untuk bertahan dalam menjaya atau meneruskan perusahaan ini.

“Pada awalnya, terdapat banyak cabaran yang terpaksa saya tempuhi dan bagi saya sememangnya tidak mudah untuk sampai ke tahap ini.

“Tetapi Alhamdulillah, dengan dorongan dan semangat daripada kedua ibu bapa serta keluarga, saya mampu sampai ke tahap ini.

Wan Lokman juga merancang untuk mempelbagaikan lagi hasil pertanian pada masa hadapan dengan mengusahakan kebun durian, sayur-sayuran dan beberapa lagi hasil tanaman yang lain.

Beliau turut menaruh harapan tinggi untuk menjadikan kawasan Kampung Chuchuh Puteri antara lokasi pengeluaran nanas premium di Kuala Krai sekiranya kawasan ini terus dimajukan dengan tanaman nanas secara komersial, selain kawasan ini terkenal dengan buah durian dan sebagainya.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA