Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen ZAktif jalankan aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan, Cikgu Maisarah Hannan mahu terus beri...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Aktif jalankan aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan, Cikgu Maisarah Hannan mahu terus beri manfaat kepada orang lain

Perkongsian mengenai aktiviti kebajikan dan sukarelawan yang dijalankan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St Cecilia, Cikgu Maisarah Hannan Chong Abdullah di media sosial sering kali mendapat perhatian warga maya yang tersentuh dengan usaha murni itu.

Sehubungan itu juga, guru ini pernah tular kerana pelbagai cerita sedih dan menyayat hati yang pernah dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya iaitu Maisarah Hannan.

Kecemerlangan yang ditunjukkan Cikgu Maisarah Hannan itu membuatkan GPSBestari terpanggil untuk mengetahui lebih lanjut detik awal permulaan kepada penyertaan beliau dalam aktiviti kebajikan berkenaan.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam membantu mereka yang memerlukan, pendidik yang berasal dari Tawau, Sabah, ini mula bergerak melakukan aktiviti kebajikan secara persendirian serta sukarela pada tahun 2018.

Menurut Cikgu Maisarah Hannan, semuanya bermula di sekolahnya sendiri dengan mewujudkan rak makanan percuma dan menyasarkan murid-murid yang tidak berkemampuan membeli makanan pada waktu rehat.

Projek makanan percuma yang dijalankan oleh Cikgu Maisarah Hannan di sekolahnya.

“Inisiatif ini pada mulanya cuma menggunakan duit sendiri membabitkan kira-kira RM20 saja untuk menyediakan 15 hingga 20 pek makanan sehari bagi menampung keperluan murid yang memerlukan.

“Saya tidak menyangka projek kecil ini mendapat sambutan sangat baik daripada rakan sekerja malah secara perlahan-lahan, ramai guru-guru lain dan juga kerani sekolah turut memberikan sumbangan dana untuk saya meneruskan usaha mulia ini,“ katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

IKLAN

Turun ke lapangan

Menerusi projek rak makanan percuma itu, Cikgu Maisarah Hannan yang pernah tercalon untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald‘s 2021 ini mula mengenali semua murid-murid yang tidak berkemampuan.

Setiap kali mempunyai masa terluang pada hujung minggu atau cuti sekolah, beliau dan beberapa orang rakan guru akan pergi ke rumah murid-murid ini untuk melihat sendiri keadaan sebenar mereka dan turut memberikan bantuan berupa barangan makanan asas.

Kemunculan virus Covid-19 yang menyebabkan negara berada dalam situasi pandemik membuatkan Cikgu Maisarah Hannan mula turun ke lapangan sejak awal tahun lalu bagi membantu murid-murid yang terputus bekalan makanan.

“Takut dan risau sentiasa bersarang dalam fikiran dan saya sangat gerun mendengar berita mengenai Covid-19 tetapi memikirkan tanggungjawab dan tidak sampai hati untuk membiarkan keadaan keluarga murid yang terdesak memerlukan bantuan, saya teruskan saja.

“Saya juga banyak berkongsi aktiviti kebajikan di media sosial untuk tatapan orang ramai supaya ia dapat membuka mata masyarakat bahawa ramai sebenarnya orang yang sangat susah di luar sana dan memerlukan pembelaan.

IKLAN

“Siapa sangka perkongsian itu menerima respon yang positif apabila ramai warga maya dari seluruh negara mahu turut sama menyumbang bagi meringankan beban mereka yang memerlukan,“ jelas beliau.

Cikgu Maisarah Hannan (duduk) bersama rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan membantu aktiviti kebajikan yang dijalankan selama ini.

Berikutan sumbangan yang semakin banyak diterima daripada orang persendirian, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat tertentu, pemberian bantuan itu berlanjutan sehingga hari ini.

Setiap pelosok kawasan bermula dari penempatan atas air hinggalah rumah yang terletak nun jauh ke dalam hutan, setinggan, flat projek perumahan rakyat (PPR), warganegara mahupun bukan warganegara, semua dijejaki demi untuk menghulurkan bantuan.

IKLAN

Guru profesion mulia

Meskipun aktif dalam kerja-kerja kebajikan, Cikgu Maisarah Hannan tidak pernah melupakan profesion sebagai pendidik yang bermula pada 2010 sebaliknya terus menerapkan nilai-nilai positif dalam diri sendiri dan juga anak muridnya.

“Guru adalah satu profesion yang sangat mulia. Kerjaya ini juga menjadikan manusia itu punya jiwa dan ilmu serta akan sentiasa belajar untuk mengajar.
Kita juga akan berusaha untuk perbaiki diri sendiri dan menjadi contoh teladan terbaik kepada murid serta masyarakat di luar sana.

“Oleh itu, setiap kali turun ke lapangan, nilai murni seperti simpati, empati, kasih sayang yang dipelajari dari luar, mengajar saya untuk memperbaiki diri sendiri seterusnya dipraktikkan dalam kerjaya sebagai guru seharian,“ tuturnya lagi.

Bagi pelajar di luar sana yang berminat menceburi kerjaya dalam dunia pendidikan, Cikgu Maisarah Hannan menitipkan pesanan supaya mereka meletakkan jiwa dalam profesion itu sendiri kerana menjadi guru pada hari ini tidak sama seperti dulu.

“Jadilah guru yang mesra digital kerana zaman semakin ke depan dan semua maklumat di hujung jari. Oleh itu, guru bukan saja perlu menguasai teknologi tetapi juga bijak mengawal media sosial masing-masing supaya boleh memberi manfaat kepada masyarakat,“ ujarnya mengakhiri perbualan.

Guru Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Maisarah Hannan.

Profil
Nama Penuh: Maisarah Hannan Chong Abdullah
Asal: Tawau, Sabah
Jawatan: Guru Bimbingan dan Kaunseling
Sekolah: SMK Konven St Cecilia Sandakan, Sabah
Pencapaian: Tercalon untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald‘s 2021
Menerima pengiktirafan daripada Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA) tahun lalu atas inisiatif dan usaha menyebarkan rahmah untuk semua.
Diberikan keistimewaan sebagai ahli seumur hidup dalam PERKAMA.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA