Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen Z25 tahun dalam bidang automotif, tiada apa yang mustahil bagi Mastinah
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

25 tahun dalam bidang automotif, tiada apa yang mustahil bagi Mastinah

Bermula sebagai seorang runner alat ganti, siapa sangka ibu kepada lima orang cahaya mata, kini berjaya menguruskan empat cawangan bengkel kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Membuktikan tiada apa yang mustahil dalam kehidupan asalkan rajin berusaha, Mastinah Mohd Sani, 48, menjadi antara wanita yang berjaya mencipta nama dalam bidang automotif.

Hari ini bukanlah lagi satu perkara pelik atau mustahil apabila wanita bekerja dalam bidang penyelenggaraan kenderaan kerana ia dilihat sebagai persaingan sihat buat kaum lelaki.

Bagaimanapun bagi Mastinah, bukan mudah untuk seorang wanita menceburi bidang yang kebiasaannya dipelopori lelaki.

Mastinah turut ‘turun padang’ untuk mendalami lagi ilmu dalam bidang automotif.

“Saya mengambil masa selama lima tahun untuk betul-betul stabil dan memahami selok-belok mengenai dunia automotif. Ia bukanlah satu perkara mudah tambahan pula saya seorang wanita di mana rata-rata masyarakat tidak yakin dengan kemampuan saya ketika itu.

“Begitupun, adakalanya saya mendapat keistimewaan kerana pada tahun 90an, tidak ramai wanita yang terlibat dalam bidang automotif.  Apa yang berlaku sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk terus belajar tanpa putus asa agar dapat membantu suami menguruskan perniagaan ini.

“Alhamdulillah, berkat usaha gigih, di sinilah saya sekarang dan pastinya berbangga dengan pencapaian walaupun ia mengambil masa,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang automotif kira-kira 25 tahun yang lalu, nenek kepada tiga orang cucu ini tidak menafikan di awal pembabitannya dia tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

Menyifatkan semua itu adalah asam garam dalam kehidupan, Mastinah berpendapat pengalaman tersebut adalah guru terbaik dalam pembelajaran dan ia sedikit pun tidak pernah melunturkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya baharunya itu.

IKLAN

“Mula-mula dulu, saya ditugaskan sebagai runner untuk alat ganti kenderaan, jadi akan berulang-alik ke kedai untuk mendapatkan barang yang diperlukan bengkel.

“Nama lagi manusia, siapa yang tidak pernah membuat kesilapan? Begitu juga saya, ada ketikanya kena marah juga tetapi akhirnya dari semasa ke semasa segalanya dipelajari,” katanya lagi.

Pendidik

Bagi Mastinah, automotif bukanlah pekerjaan pertamanya kerana pada awalnya dia merupakan seorang pendidik.

Sememangnya ia satu kerjaya dan suasana yang cukup berbeza buat anak kelahiran Banting, Selangor, ini, namun dia tidak pernah menyesali dengan pilihan itu.

“Sebelum membuat keputusan untuk membantu suami, saya merupakan seorang guru di mana suasananya sama sekali berbeza dengan bidang automotif.

IKLAN

“Tetapi saya mencabar diri sendiri untuk mencuba sesuatu yang baharu dan bermulalah episod di mana saya belajar semuanya sendiri tidak kira sama ada melalui pemerhatian ataupun ‘turun padang’ bersama-sama pekerja yang lain.

“Pada masa itu, internet belum lagi popular jadi tidak boleh ‘berguru’ dengan YouTube atau Google seperti hari ini,” tuturnya lanjut.

Walaupun kini Mastinah dilihat seorang ikon automotif yang punyai segala-galanya, dia masih lagi mengikuti kursus-kursus yang dikendalikan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam usaha memantapkan lagi ilmu yang ada.

Maka tidak hairanlah sekiranya bekas pendidik ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk melatih mekanik-mekanik serta pelajar-pelajar Kolej Komuniti, Kolej Vokasional dan juga Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Mastinah diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk melatih mekanik-mekanik serta pelajar-pelajar Kolej Komuniti, Kolej Vokasional dan juga Institusi Pengajian
Tinggi (IPT).

“Industri kini ada menawarkan pelbagai jenis kursus sama ada untuk jangka pendek mahupun jangka panjang.

IKLAN

“Ia adalah bertujuan untuk memberi pendedahan awal serta kemahiran kepada pelajar-pelajar sebelum mereka masuk ke dalam industri.

“Insya-ALLAH saya akan berikan yang terbaik buat pelajar-pelajar agar mereka boleh sesuaikan diri kelak,” tuturnya.

 Akademi Automotif

Melihat kejayaan perniagaan dan pengalamannya, Mastinah tidak teragak-agak untuk membuka Akademi Automotif suatu hari nanti.

Ingin melahirkan pekerja automotif dalam kalangan pelajar-pelajar tahfiz, Mastinah ingin mengusahakan sesuatu yang belum pernah diterokai.

“Terdapat banyak pusat pembelajaran yang dibuka dan dikendali mereka yang bertauliah kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia sesuatu yang biasa.

“Untuk itu, saya bercadang membuka Akademi Automotif yang dikhususkan untuk pelajar-pelajar tahfiz yang berminat dalam bidang automotif.

“Sebagai permulaan, Azam Motor berkolaboratif dengan sebuah pusat tahfiz dan seramai enam orang pelajar mereka ditempatkan di sini untuk menimba ilmu.  Insya-ALLAH sekiranya tiada sebarang halangan saya akan jadikan lebih tersusun tahun hadapan,” katanya.

LATAR BELAKANG MASTINAH

  • Pengarah Syarikat Azam Motor
  • Presiden Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Malaysia (PUSPAWM)
  • Penerima Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia 2021 (Anugerah Syarikat Terunggul Tahunan 2021 Automotif, Niaga Times 2020)
  • Penerima Malaysia Prestigious Industry Awards 2020 (Prestigious Achievement Award In Automotive Industry, Ikon Malaysia 2020)
  • Penerima Msosh SME Osh Award Category A (Malaysian Society For Occupational Safety And Health 2019)
  • Penerima Anugerah Gangsa Pengiktirafan Perusahaan Berproduktiviti Tinggi Menggunakan Pekerja Tempatan (Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Malaysia 2017)
  • Pensijilan ISO 9001:2015 ‘Quality Management System’ (Platinum Shauffmantz Veritas International Standard)
  • Pensijilan ‘Quality Environment Management System’ 5S (Malaysian Productivity Corporation (MPC))

Artikel Berkaitan

MESTI BACA