HomeGen AlphaRahsia konsisten dalam dunia berbasikal, Cikgu Engku Nazaruddin kongsi rahsianya 
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Rahsia konsisten dalam dunia berbasikal, Cikgu Engku Nazaruddin kongsi rahsianya 

Semenjak aktiviti sukan dihadkan ekoran pandemik Covid-19, Guru Cemerlang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2), Cikgu Engku Nazaruddin Engku Mohd Nawi mula mencari minat baharu dalam memenuhi masa lapangnya.

Memandangkan hanya aktiviti sukan berbasikal sahaja yang dibenarkan ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu, Cikgu Engku Nazaruddin mula terfikir melibatkan diri dalam sukan tersebut.

“Saya ingat lagi 24 Julai 2020 di mana itulah permulaannya. Itupun saya minta pandangan keluarga dan sahabat handai terlebih dahulu.

“Saya juga merujuk dengan cyclist yang pakar dan berpengalaman agar keputusan yang diambil ini tepat pada masanya,” ujarnya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Anak kedua daripada tujuh beradik ini berkata, setelah mendapat sokongan daripada semua, perkara pertama yang diberi perhatian adalah soal peralatan khas untuk berbasikal.

“Peralatan berbasikal bergantung kepada kemampuan kita. Sekiranya berkemampuan untuk membeli basikal berjenama dan berkualiti, harganya boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

“Jika tidak, boleh sahaja beli basikal yang berharga sekitar RM2,000 hingga RM4,000 sebagai permulaan. Ini pun sudah memadai kerana apa yang penting kita selesa semasa berkayuh,” tuturnya.

Dalam keselesaan berbasikal, aspek keselamatan tidak harus diketepikan. Untuk itu sekiranya mampu keluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli alatan lain seperti topi keledar, sarung tangan, botol air, lampu keselamatan, gear, cyclo meter, dan pakaian lengkap khas adalah digalakkan kerana ia  membuatkan anda lebih selesa untuk berbasikal.

IKLAN

Tambah bapa kepada tiga orang cahaya mata ini lagi, kos peralatan tersebut juga bergantung kepada jenama dan kualiti, anggarannya sekitar RM500.

Kriteria untuk kekal aktif

Cikgu Engku Nazaruddin turut berkongsi, terdapat beberapa kriteria untuk menjadi seorang yang aktif dalam dunia berbasikal.

“Kriteria pertama adalah pemilihan basikal yang tepat dan selesa. Jika ada masalah, anda boleh rujuk dengan mereka yang pakar.

“Sentiasa menunggang basikal dengan rakan-rakan kerana ia lebih menyeronokkan dan meningkatkan motivasi,” ulasnya lagi.

IKLAN

Sambung beliau, pengayuh basikal perlu meningkatkan jarak kayuhan supaya dapat megenalpasti peningkatan prestasi dari sudut daya tahan kardio masing-masing.

“Juga, naikkan kelajuan purata kayuhan sebanyak 1mph dan anda akan lihat perubahan  kayuhan dan ini akan meningkatkan motivasi anda,” jelas graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, UiTM Shah Alam, ini lagi.

Cemerlang dalam bidang sukan

Bagi Cikgu Engku Nazaruddin, guru hari ini tidak hanya perlu cemerlang dalam akademik tetapi mereka juga harus cemerlang dalam bidang sukan.

Ulasnya, menjadi guru yang cemerlang dalam sukan bukan sukar.

IKLAN

“Pendidik perlu mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan bidang sukan yang diceburi kerana kita akan menjadi rujukan kepada guru-guru lain.

“Minat juga penting kerana sekiranya kita melakukan sesuatu itu berdasarkan minat, kita akan berusaha untuk mempelajari sesuatu yang baharu dengan lebih mendalam dan semangat kena kuat terutama apabila mendapat kritikan,” ujarnya yang pernah menyertai Pasukan TCT Putrajaya – Teachers Cycling Team, Malaysia Prihatin Flag -0- Cycle 2020, dan Sesi Libat Urus kempen Keselamatan Jalan Raya bersama Komuniti Putrajaya.

Tidak ketinggalan, Cikgu Engku Nazaruddin berkongsi rahsia kepada pendidik yang ingin memulakan aktiviti sukan berbasikal ini.

“Pilihlah basikal yang sesuai kerana jika tidak, ia akan mengakibatkan ketidakselesaan dan mendatangkan kecederaan.

“Mulakan dengan cabaran yang mudah iaitu mengayuh di tempat yang rata dan latih diri untuk tingkatkan kepantasan. Tambahkan jarak kayuhan apabila prestasi kayuhan semakin baik.

“Juga, pastikan anda makan dan minum yang membekalkan tenaga supaya badan cukup kuat untuk melindungi otot dan tulang. Nutrisi yang baik tentunya membantu mengurangkan risiko kecederaan,” katanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Sukan (program EDD) di Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA