Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen AlphaProgram Didik Hibur 3M: Atasi Keciciran 3M Murid Sekolah Rendah Orang Asli...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Program Didik Hibur 3M: Atasi Keciciran 3M Murid Sekolah Rendah Orang Asli Negeri Perak

Sistem pendidikan merupakan kriteria penting yang harus dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah generasi muda Orang Asli pada hari ini.

Terdapat beberapa undang-undang dan dasar di peringkat domestik dan antarabangsa yang menjamin hak pendidikan Orang Asli.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)  telah menggariskan melalui Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi di mana pelaksanaannya adalah untuk memastikan ekuiti, iaitu kesamarataan akses pendidikan murid Orang Asli dan peribumi seiring dengan pendidikan arus perdana dapat direalisasikan dengan kesungguhan dan komitmen semua pihak.

Kegagalan untuk memajukan diri kanak-kanak Orang Asli dalam bidang pendidikan, apabila mereka meningkat dewasa bakal menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Oleh yang demikian, penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid-murid Orang Asli perlu dimulakan dari peringkat prasekolah dan Tahap 1 sekolah rendah.

Mengikut budaya masyarakat Orang Asli, mereka didapati kurang berminat untuk melibatkan diri dalam pendidikan malah mereka melihat sekolah sebagai suatu tempat untuk menghantar anak-anak mereka bermain dan kudapan.

Terdapat ibu bapa Orang Asli yang berpandangan sinis terhadap peranan dunia pendidikan dalam mengubah mobiliti sosial mereka serta berpersepsi negatif terhadap pendidikan formal boleh membantu keluarga mereka untuk memperbaiki kehidupan.

Sikap ini berpunca daripada pengalaman yang kurang didedahkan berkaitan persekolahan anak-anak mereka.

Selain itu, pandangan yang negatif dan kurang mengambil perhatian dalam pendidikan anak-anak,  secara tidak langsung telah menjejaskan perkembangan dan pencapaian akademik murid Orang Asli khususnya dalam aspek keciciran 3M.

Rentetan daripada keperluan Pendidikan Orang Asli yang melibatkan keciciran 3M ini, inisiatif telah dirancang oleh tiga orang pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Dr. Seah Siok Peh dan Azila Alias untuk membantu pendidikan Orang Asli di Sekolah Rendah khususnya di negeri Perak.

Dr. Abdul Halim, Azila dan Dr Seah ketika bermesra bersama anak-anak di perkampungan Pos RPS Kemar.

IKLAN

Berbekalkan pengalaman mengajar di prasekolah dan sekolah rendah Orang Asli, mereka telah berjaya mendapatkan peruntukan di bawah projek  Empowerncer [email protected] bagi membiayai projek ‘Didik Hibur 3M (Membaca, Menulis & Mengira) Murid Orang Asli’.

Projek ini telah mendapat pembiayaan yang melibatkan dua agensi utama, iaitu Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan Northern Corridor Economic Region (NCER) Wilayah Utara, pada Fasa 1 2019/2020.

Sebanyak lima buah sekolah rendah telah terpilih dengan melibatkan 300 murid Orang Asli Tahun Lima di negeri Perak, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bt7, SK Bt14, SK Legap, SK Perwor dan SK Kemar.

Bagi mengatasi masalah keciciran 3M diperingkat Tahap 2 Sekolah Rendah, Dr. Abdul Halim dan rakan-rakanya telah membangunkan produk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang dinamakan Didik Hibur 3M (Membaca, Menulis & Mengira).

Produk ini berbentuk kit pembelajaran yang mengandungi modul dan alat bantu mengajar yang melibatkan tiga aktiviti pendekatan Didik Hibur, iaitu Kreativiti, Nyanyian dan Permainan.

Pembangunan kit pembelajaran Didik-Hibur 3M telah berjaya menghasilkan gabungan elemen pengetahuan, kemahiran dan emosi melalui aktiviti yang boleh menarik minat murid untuk belajar, bersesuaian dengan tahap dan menyeronokkan.

Produk Kit Pembelajaran Didik Hibur 3M.

Lebih membanggakan lagi produk ini telah diiktiraf oleh pakar pendidikan dengan memenangi pingat emas di Pertandingan EDUINNOVATION 2020 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, pada 2 Disember 2020.

IKLAN

Program ini turut dibantu tiga orang pelajar universiti, dengan melibatkan tiga kali perjumpaan di dalam lima buah sekolah rendah terbabit.

Walaupun berdepan dengan cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, pengalaman mengendalikan aktiviti di SK perkampungan Orang Asli memang mengujakan.

Pengalaman yang paling mencabar adalah ketika melaksanakan program di SK Kemar yang terletak di kawasan empangan Temenggor.

Dengan menggunakan laluan bot dari Jeti Trojan selama 45 minit dan 15 minit laluan kenderaan pacuan 4 roda ke sekolah, berkampung pula selama tiga hari di kuartes guru, ia telah memberikan pengalaman berguna kepada pensyarah dan pelajar mengalami sendiri suasana pembelajaran di pendalaman yang dialami oleh guru dan murid di situ.

Perjalanan menaiki bot selama 45 minit Jeti Trojan ke Pos RPS Kemar.

IKLAN

Walaupun hanya melibatkan beberapa hari di sekolah, rata-rata guru yang mengendalikan murid di sekolah terbabit berpendapat bahawa program ini telah berjaya memberi manfaat kepada mereka sebagai panduan dalam membantu meningkatkan minat dan kemahiran 3M dalam kalangan murid Orang Asli melalui aktiviti Didik Hibur.

Murid-murid Orang Asli pula didapati menyukai aktiviti berteraskan belajar sambil menyanyi.

Aktiviti yang melibatkan modul dan tema yang bersesuaian dengan keupayaan murid, dijalankan pula dalam keadaan yang santai, aktiviti  yang berbentuk permainan dan penyelesaian masalah dengan menggunakan alat bantu mengajar dapat menarik minat murid untuk terus belajar dalam keadaan menyeronokkan.

Aktiviti permainan dan nyanyian yang melibatkan di dalam dan di luar kelas.

Diharapkan program Didik Hibur 3M ini dapat diteruskan dan diperluaskan kepada murid Orang Asli di seluruh Malaysia. Guru juga diharapkan dapat menguasai aktiviti didik hibur dengan mengaplikasikan pedagogi yang bermakna dan menyeronokkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran terutama di dalam kelas yang melibatkan 3M mengikut tahap pengetahuan  kognitif mereka.

Berdasarkan laporan penilaian pencapaian murid sebelum dan selepas aktiviti didapati selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia,  iaitu pendidikan Orang Asli perlukan pendekatan dan strategi pembelajaran yang berbeza berbanding murid-murid lain.

Ini disebabkan persekitaran sosial mereka dan kedudukan geografi banyak mempengaruhi tahap pencapaian mereka dalam penguasaan literasi, terutamanya literasi Bahasa Malaysia dan Numerasi.

Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Ketua Projek Didik Hibur 3M SR NCER Pendidikan

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA