Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen Alpha‘Perjalanan seorang guru yang menggunakan tiket ikhlas pasti akan membina kekuatan jiwa,...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

‘Perjalanan seorang guru yang menggunakan tiket ikhlas pasti akan membina kekuatan jiwa, percayalah’

Seorang guru akan berkorban apa sahaja demi kecemerlangan anak-anak didiknya. Jarang sekali mengeluh sebaliknya yang terpancar adalah senyuman manis dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik.

Namun, guru juga seorang manusia yang kadang kala berhadapan kepenatan untuk meneruskan proses pengajaran.

Segala penat lelah dalam arena pendidikan, hanya mereka sahaja yang tahu.

Guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu, Penaga, Pulau Pinang, Ustazah Mawaddah Mohd Nor berkata, warga pendidik memerlukan sokongan dan kata-kata semangat untuk mereka kekal dalam dunia pendidikan.

“Untuk itu, saya kongsikan lima tip ini untuk rakan-rakan guru jadikan sebagai motivasi diri. Semoga segala kerja buat kita, dipermudahkan ALLAH,” katanya.

Mari ikuti apa yang ditulis Ustazah Mawaddah menerusi hantaran di Facebook pada 10 November lalu.

*****

Hakikatnya, ramai yang sudah burnout berada di arena pendidikan. Sudah penat dan sudah berputus asa. Ada pelbagai asbab yang masing-masing sahaja mengetahuinya sehingga ramai yang menanti saat untuk pencen awal.

Saya tidak bercadang untuk menulis perihal kenapa ramai yang sudah pudar semangatnya berada di arena ini. Tetapi, mahu membuat sedikit perkongsian bagaimana mahu menjadi guru yang bersemangat dan gigih dalam bidang pendidikan walau apa jua badai melanda.

Saya senaraikan lima tip yang diperolehi hasil daripada nasihat, pedoman dan pandangan yang dicurahkan oleh guru-guru senior yang sudah sekian lama mendidik anak bangsa melangkau zaman dan sistem yang sering berubah-ubah.

1) Laksanakan amanah di bidang perguruan dengan hati yang ikhlas mendidik dan membina generasi berakhlak mulia dan berilmu.

Sesungguhnya, perjalanan seorang guru menggunakan tiket ikhlas itulah yang akan membina kekuatan jiwa seorang guru untuk terus bersemangat melangkah melaksanakan amanah yang terpundak di bahu seorang guru.

IKLAN

Sistem pendidikan yang sering kali berubah sehingga mengundang keresahan banyak pihak, sesekali tidak akan mengganggu perjalanan khidmatnya kerana keikhlasan yang sudah dipacak kukuh di jiwanya.

Baca juga Panduan penggunaan ubat secara selamat, para guru mesti tahu

Baca juga Mendidik dan berfikir melalui hati: Mendasari kajian kes dari sudut pandangan seorang pendidik

Meskipun begitu, bukanlah kesemua yang berhajat untuk berundur lebih awal dari bidang pendidikan ini tidak ikhlas berkhidmat. Tetapi, kerana keikhlasan inilah yang menjadi penguat kepada guru-guru untuk terus memberi khidmat tanpa mengira penat dan lelah.

2) Meyakini bahawa pentas khidmat seorang guru ini merupakan landasan pahala yang besar kepada seorang guru. Ilmu yang dicurahkan membentuk insan yang hebat dan bertaqwa akan mengalirkan pahala berpanjangan sehingga ke hari akhirat.

Malah, setiap butir mutiara ilmu yang dimanfaatkan oleh anak-anak yang dididik juga akan menjadi saksi atas kegigihan dan kesungguhan seorang guru membentuk generasi di masa hadapan.

Inilah pahala besar yang mungkin tidak kelihatan di dunia. Tetapi, percayalah pahala inilah yang akan dituai ketika di akhirat kelak. Insya-ALLAH.

3) Peluang meninggalkan legasi pahala yang berpanjangan apabila berkhidmat di sesebuah sekolah. Seorang guru pasti akan sering berubah tempat berkhidmat mengikut keperluan perkhidmatan atau memohon bertukar atas sebab peribadi.

IKLAN

Lalu, di sinilah peluang membina legasi melalui amanah yang diberikan. Sahabat guru saya yang pernah berkhidmat bersama pernah bercerita. Saat beliau berkhidmat di mana pun, beliau akan meninggalkan khidmatnya kepada surau sekolah.

Jika tiada surau di sekolah, beliaulah yang akan membina jawatankuasa pembinaan surau di sekolah dengan keizinan pihak pengurusan tertinggi.

Jika surau sudah ada, tetapi tidak diurus dengan baik, beliaulah yang secara sukarela akan menawarkan diri membaiki pulih surau dan menyelenggara surau dengan sebaiknya biarpun beliau bukanlah seorang ustaz.

Malah, urusan dekorasi surau serta kemudahan surau juga, beliaulah yang akan menguruskan sehingga surau hidup dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan keilmuan.

Percayalah, saat kaki melangkah meninggal tempat berkhidmat itu, pasti akan terasa puas dan bersyukur kerana sedikit sebanyak sudah meninggalkan sesuatu yang baik untuk dimanfaatkan.

Subanallah, saya amat terpesona dengan perkongsiannya. Lalu saya coretkan di sini agar turut memberi inspirasi kepada sahabat-sahabat pembaca terutamanya dalam kalangan sahabat-sahabat guru.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

IKLAN

4) Pekakkan telinga saat melakukan khidmat bakti terbaik. Bukanlah bermakna tidak bersosial dengan rakan-rakan yang lain. Kebaikan itu kadang-kadang menjadi inspirasi. Kadang-kadang, menjadi pencetus kebencian dan keresahan pemilik hati yang gelap.

Memandangkan arena pendidikan ini adalah medan khidmat bersama manusia, maka perlulah menyedari akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia dengan keadaan hati yang tidak dapat diketahui.

Maka, saat dicemuh dan diugut kerana membuat kebaikan, ketika itulah perlu memekakkan telinga. Jalan terus dan jangan menoleh lagi kerana ia akan menjadi punca runtuhnya semangat dan kekuatan untuk meneraju pembaharuan di arena pendidikan ini.

Hakikatnya, itulah cabaran yang perlu ditempuhi dalam kehidupan tanpa mengira bidang perkhidmatan.

Cabaran itu adalah lumrah hidup di dunia. Wajib ditempuhi. Cara bagaimana seseorang itu mendepani cabaran itulah yang akan menentukan bagaimana ia akan berakhir di garisan penamat atau tersadung sebelum berakhir.

5) Memastikan bahawa segala khidmat bakti sebagai seorang guru itu adalah bermatlamatkan mencari keredaan ALLAH Taala. Percayalah, bahawa keredaan ALLAH itulah yang akan mengheret keredaan dan kasih manusia kepada manusia.

Elakkan sama sekali berkhidmat mencari nama di mata manusia. Apalagi menjadi batu loncatan demi pangkat dan kedudukan. Pastinya, saat pangkat dan kedudukan itu tidak mampu digapai, meroyanlah jiwa sehingga mencipta mafsadah dalam diri.
Pahalanya kurang dan doanya menimbun. Nauzubillahi Minzalik.

Sekadar sedikit perkongsian dan motivasi kepada kita semua.

Selamat bertugas rakan-rakan guru yang sudah mula bertugas di sekolah.

Semoga terus kekal kuat dan bersemangat meneruskan legasi pendidikan yang berkualiti.

Sumber: Facebook Mawaddah MN

Artikel Berkaitan

MESTI BACA